NUF

AMARAN

PERINGATAN.

PENTING
SEMUA BENTUK PENULISAN DALAM BLOG INI PERLU DINILAI DAN DIKAJI. JANGAN TERUS DI AMBIL TANPA MEMPERSOALKANNYA.

OK

BIJAK MEMBELI

Mahasiswa Pendidikan Sejarah

Mahasiswa Pendidikan Sejarah

Sunday, October 31, 2010

BURMA DAN PENJAJAHAN


NAMA: NUAR, AZMI

TAJUK:
APAKAH KEFAHAMAN ANDA TERHADAP KONSEP PENTING YANG MERUPAKAN DAYA PENGGERAK PENJAJAHAN BARAT DI ASIA TENGGARA. PILIH SALAH SEBUAH NEGARA ASIA TENGGARA SEBAGAI KAJIAN KES. (BURMA)

Pengenalan
Mulai abad ke-18 minat British di Burma telah meningkat akibat persaingan British dan Perancis di India. Pihak British ingin memperluaskan perdagangan di Burma. Sumber asli Burma yang paling diminati oleh British ialah kayu jati. Pada abad ke-19, Burma telah dikalahkan oleh British dalam tiga peperangan iaitu perang British Burma pertama (1824-26) , perang British Burma kedua (1852-53) dan perang British Burma ketiga (1885) . Melalui perang British Burma yang pertama, British menakluki wilayah-wilayah Arakan dan Tenasserim manakala Pegu iaitu Burma Hilir ditakluki melalui perang British Burma kedua.
British menakluki Burma Hulu melalui perang British Burma ketiga. Ini bererti seluruh Burma telah jatuh ketangan British pada tahun 1885. Burma Hulu telah ditakluki oleh British secara rasmi pada 1 Januari 1886. Burma telah dijadikan sebuah wilayah India. Penaklukan Burma oleh British menamatkan Dinasti Konbaung yang diasaskan oleh Alaungpaya pada tahun 1752. Pemerintahan British seterusnya mengakibatkan perubahan sosial, ekonomi dan politik. Keadaan politik, ekonomi dan sosial di Burma inilah yang menjadi daya penggerak penjajahan British di Burma.

Politik
1) Masalah dalam sistem pentadbiran Burma.
Masalah dalam pentadbiran Burma bermula apabila Burma menakluki Arakan. Penaklukan Arakan dilakukan oleh Raja Bodawpaya pada tahun 1784. Penaklukan ke atasnya itu merupakan peristiwa yang paling penting sekali dalam zaman pemerintahan Bodawpaya; kerana sempadan Burma telah meluas sehingga ke kawasan India . Penaklukan tersebut menyebabkan Burma mempunyai sempadan yang sama dengan British di wilayah Chittagong. Keadaan di sempadan Arakan-Chittagong adalah tidak stabil kerana terdapat sebilangan besar orang pelarian Arakan yang menggunakan wilayah British untuk menentang pemerintahan Burma. Arakan ditadbir oleh seorang gabenor Burma.
Penawanan Arakan oleh Burma menandakan bermulanya pertikaian antara British dan Burma yang akhirnya mengakibatkan perang pada tahun 1824. Orang pelarian Arakan di bawah pimpinan Nga Than De dan Chan Byan telah memberontak menentang pemerintahan Burma pada tahun 1794 dan 1811. Sebagai tindak balas, askar-askar Burma seringkali memasuki wilayah British untuk menawan pemberontak-pemberontak yang melarikan diri ke Chittagong. Tindakan askar Burma ini telah mengancam ketenteraman wilayah British. Orang Burma pula mula mengesyaki bahawa orang pelarian Arakan menerima bantuan daripada British. Malahan terdapat pertempuran-pertempuran kecil di antara askar Burma dengan pihak British di kawasan sempadan Arakan-Chittagong. Hal ini telah memburukkan hubungan British Burma yang akhirnya menyebabkan peperangan.
Kekacauan politik juga berlaku semasa pemerintahan Raja Thibaw. Semasa pemerintahan Raja Thibaw (1878-85), Burma Hulu mengalami kekacauan politik yang serius. Raja Thibaw telah membunuh kira-kira 80 ahli keluarga diraja dalam Februari 1879 kerana khuatir satu pemberontakan akan meletus. Pembunuhan secara beramai-ramai juga telah berlaku di Mandalay pada tahun 1884. Dalam pada itu, Burma juga berada dalam keadaan kacau bilau. Orang Kachin telah memberontak dan gerila-gerila Cina telah membakar bandar Bhamo dan kebanyakan dari puak Sawbwa Syan yang tertakluk menderhaka kepada Ava . Kekacauan politik ini telah menambahkan desakan-desakan daripada golongan pedagang Inggeris di Rangoon bagi penaklukan Burma Hulu oleh Britain. Ini adalah kerana keadaan kacau bilau di Burma Hulu telah mengganggu perdagangan.

2) Masalah dalam hubungan diplomatik.
Kemerosotan hubungan diplomatik telah menyebabkan peletusan perang British Burma yang pertama. British telah menghantar beberapa utusan antara tahun 1795 hingga 1811 (seperti Michael Symes pada tahun 1795 dan 1802, John Canning pada tahun 1809 dan 1811). Mereka dihantar untuk menyelesaikan masalah-masalah sempadan Arakan-Chittagong, masalah perdagangan dan perluasan pengaruh Perancis di Burma. Utusan-utusan tersebut telah gagal menyelesai masalah tersebut dengan sempurna. Kegagalan ini disebabkan oleh keangkuhan ketenteraan Burma dan syak wasangka antara kedua pihak. Malahan kedua-dua Residen British yang dihantar ke Rangoon iaitu Hiram Cox dan Lt. John Canning terpaksa pulang ke India pada tahun 1798 dan 1803 akibat layanan buruk oleh pegawai istana Burma. Burma enggan mengadakan hubungan diplomatik secara langsung dengan Gabenor Jeneral India yang dianggap sebagai tidak setaraf dengan rajanya. Hubungan diplomatik antara British dan Burma telah putus pada tahun 1811. Hal ini telah merintis kepada peletusan perang British Burma yang pertama.
Selepas penarikan residensi British di Burma pada tahun 1840, kerajaan British di Calcutta telah menerima banyak aduan mengenai layanan buruk kerajaan Burma terhadap pedagang-pedagang British. Pedagang-pedagang mengadu tentang pengenaan cukai-cukai yang tidak adil. Gabenor Pegu, Maung Ok memang terkenal dengan pemerasan pedagang-padagang British kerana raja Pagan memberi kuasa kepada Maung Ok yang bersifat anti British . Pada bulan Julai dan Ogos tahun 1851, Maung Ok telah mengenakan tuduhan-tuduhan membunuh dan menipu terhadap dua orang kapten British iaitu Sheppard dan Lewis. Beliau telah memaksa mereka membayar denda sebanyak 1000 rupi. Shepard dan Lewis seterusnya mengadu perkara ini kepada kerajaan British di India. Gabenor General British iaitu Lord Dalhausi telah mengambil keputusan untuk bertindak dengan tegas. Peristiwa ini telah memberi kesempatan kepada kerajaan British (terutamanya Lord Dalhausie) untuk memberi satu pengajaran kepada orang Burma dan menguasai Burma.
Masalah ‘kasut’ juga menyebabkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara putus. Masalah kasut timbul semasa pemerintahan Raja Mindon Min (1853-78). Mengikut adat Burma, orang Barat yang ingin menghadap raja harus menanggalkaan kasut mereka dan duduk bersila di lantai. Pihak British pula menganggap peraturan ini sebagai merendahkan maruah mereka . Pada tahun 1875, kerajaan British di India telah mengarahkan Residen Shaw di Mandalay untuk tidak menanggalkan kasut ketika mengadap raja. Hal ini telah menbangkitkan kemarahan Raja Mindon dan seterusnya tidak ingin menemui Residen British sekiranya amalan tradisional tersebut tidak dipatuhi. Akibatnya, selepas tahun 1875 tidak terdapat sebarang hubungan secara langsung antara raja Burma dan Residen British. Malahan pada tahun 1879, Residen British di Mandalay telah ditutup. Burma seterusnya ingin mengadakan hubungan secara langsung dengan kerajaan British. Langkah Burma ini telah ditolak oleh kerajaan British. Pemutusan hubungan diplomatik telah menyebabkan kemerosotan hubungan British Burma. Hal ini telah menjadi salah satu sebab penting peletusan perang British Burma yang ketiga.

3) Penukaran kerajaan di Britain
Sebenarnya terdapat sesuatu yang unik tentang Britain ini iaitu, hanya terdapat dua parti politik sahaja yang terlibat dalam perjalanan politik di Britain iaitu Parti Liberal dan Parti Konservetif. Terdapat beberapa fakta yang menarik tentang kedua-dua parti ini iaitu pada 1868, Parti Konservatif di bawah Perdana Menteri Benjamin Disraeli telah dikalahkan dan diganti dengan Parti Liberal di bawah pimpinan William Gladstone yang bersifat anti-imperialis.
Tetapi pada 1874 Parti Liberal telah dikalahkan dan diganti semula dengan Parti Konservatif yang memang menjalankan dasar imperialisme, dan perubahan pimpinan ini berlaku beberapa kali sehingga pada bulan Jun 1885, Parti Konservatif sekali lagi mengambil alih pimpinan daripada Parti Liberal . Parti Konservatif sebenarnya telah mengamalkan dasar yang lebih tegas terhadap Burma. Kemunculan Parti konservatif telah memungkinkan tindakan yang lebih berkesan di Hulu Burma, terutamanya yang melibatkan persaingannya dengan kuasa Perancis .
4) Mengekang kuasa Perancis
Sebenarnya agak menarik membincangkan tentang Burma atau Myanmar ini, iaitu apabila menyentuh tentang peranan Perancis menyebabkan British campur tangan dalam perjalanan politik Burma. Tetapi yang sebenarnya British telah campur tangan awal lagi dalam politik Burma, namun tindakan pemerintah Burma yang menjalinkan hubungan dengan Perancis menyebabkan British rasa curiga dengan tindakan ini. Perancis sebenarnya juga telah lama berdagang di kawasan Timur ini dan kehadiran Perancis telah menimbulkan pergeseran terutamanya dengan British . Perkara yang sebenarnya ialah pergeseran yang berlaku di Burma adalah kerana tindakan kedua-dua kuasa ini yang telah lama bergeseran merebutkan kawasan di Timur ini seperti wilayah-wilayah di India termasuklah Burma.
Perkara ini diburukkan lagi semasa Perang Kemerdekaan Amerika, apabila pihak Perancis mengambil kesempatan menyerang kemudahan perdagangan dan perkapalan British sehingga menyebabkan kerosakan yang teruk kepada British . Perkara yang berlaku pada peringkat awal ini menyebabkan British dapat bertolak ansur lagi, tetapi apabila fasa ketegangan British-Perancis memasuki peringkat pertengahan dan akhir abad ke-19 menyebabkan pihak British tidak dapat bertolak ansur lagi.
Raja Mindon Min (1852-1878) yang telah mula merintis jalan dengan menjalinkan hubungan akrab dengan Perancis sehingga menyebabkan British merasa tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh pemerintah British ini. Pada tahun 1872 Mindon Min telah menghantar Perdana Menterinya Kinwun Mingyi ke Britain tetapi dalam perjalanan beliau dan rombongannya telah melakukan perundingan perjanjian dengan Perancis untuk meminta jasa baik Perancis bagi membantu Burma untuk membangunkan istana, mengawasi percetakan wang Mindon yang baru . Perhubungan dengan Perancis inilah yang menyebabkan British berasa terkilan dengan Burma. Sebenarnya terdapat beberapa isi perjanjian yang telah dilakukan, seperti Burma berkehendakkan import senjata dari Perancis, Perancis mahukan hak monopoli diraja yang paling kukuh iaitu lombong batu delima di Mogok, Perancis akan membekalkan pegawai tentera untuk melatih tentera Burma, dan yang terakhirnya orang Perancis yang berada di Burma akan tertakluk kepada undang-undang mahkamah Burma .
Perkara ini tidak menjadi kerana melebihi kesanggupan dan telah ditolak oleh Menteri Luar Negeri Perancis. Situasi ini juga kerana dalam usaha mengesahkan perjanjian itu dengan Burma, wakil Perancis telah bertemu dengan wazir India dan menjamin bahawa Perancis tidak mempunyai apa-apa niat terhadap Burma. Jika dipandang dari satu sudut yang lain jelaslah bahawa Perancis pada peringkat ini masih mahu mengelakkan pergeseran dengan British di India dan cubaaan masuk ke dalam Burma adalah dilakukan secara halus, lemah-lembut dan penuh dengan tolak ansur terhadap Burma dan British khususnya.
Apabila pemerintahan Burma diganti oleh Raja Thibaw dari tahun 1878 hingga 1885 , telah berlaku pelbagai perubahan yang berkaitan dengan Perancis dan Burma ini. Raja Thibaw sebenarnya merupakan seorang yang sangat tegas dalam masa pemerintahannya. Beliau telah menarik diri daripada perundingan Manipur kerana kegagalannya menggunakan Perancis untuk melawan Britain. Beliau juga tahu Britain tidak senang hati dengan Perancis di Annam serta Tongking, dan dengan jahilnya telah mengambil langkah menyambung semula rundingan yang dibatalkan semasa ayah beliau dahulu . Beliau telah bertindak membuat perjanjian perdagangan dengan Perancis dan telah menghantar wakilnya Atwinwun ke Paris untuk membuat perjanjian yang ditandatangani pada 1 Januari 1885. Tetapi sebelum itu, British telah mendapat tahu bahawa soal lama yang pernah dikemukakan oleh Mindon Min telah ditimbulkan lagi oleh Raja Thibaw, mengenai penjualan senjata ada dimasukkan dalam perjanjian. British minta wakil Perancis Jules Ferry agar tidak memasukkan perjanjian mengenai pembelian senjata dan beliau telah memberikan jaminan yang penuh bahawa peluang membeli senjata tidak akan dimasukkan sebagai syarat perjanjian .
Keadaan ini sedikit sebanyak telah meredakan keadaan tegang yang timbul ekoran perjanjian ini . Walaupun begitu, tindakan yang ditunjukkan oleh wakil Burma ini dan pihak Perancis sendiri tetap mencurigakan pihak British kerana mereka juga sedar akan tindakan Perancis yang datang ke Burma adalah atas dasar ingin mengambil peluang yang tersedia sama seperti mereka. Hal ini juga kerana, mereka sedar bahawa pihak Burma juga telah lama tidak berpuas hati kepada mereka ekoran pengambilan kawasan Burma dalam Perang British-Burma I dan II dahulu.
Duta British telah menemui wakil Perancis iaitu Jules Ferry dan menyatakan mereka akan menggunakan kekerasan kepada Burma sekiranya pihak Perancis masih lagi terlibat dalam perkara ini, namun untuk mengurangkan keraguan itu pihak Perancis melalui Jules Ferry telah menyatakan kepada British bahawa perjanjian yang ditandatangani hanyalah perjanjian perdagangan biasa yang tidak mengandungi apa-apa perjanjian politik atau tentera kecuali wakil Perancis akan ditempatkan di Mandalay . Sebenarnya pihak Perancis melalui Freederic Haas ada menyatakan nasihat kepada Raja Thibaw supaya memperbaiki hubunganya dengan British tetapi tidak dipedulikannya, sebaliknya beliau tidak mahu menerima semula Residen British.
Malahan Raja Thibaw telah membenarkan Perancis menubuhkan bank di Mandalay, pembiayaan pembinaan jalan keretapi dari Mandalay ke Toungoo oleh Perancis sehingga menimbulkan khabar angin bahawa orang Perancis akan mengambil alih pengurusan hak monopoli diraja, mengawasi perkhidmatan pos, menjalankan kapal-kapal api di sungai Irrawadi, dan dapat menyewa lombong-lombong batu delima. Tetapi tanpa disangka telah berlaku perkara yang buruk iaitu surat perjanjian yang ditandatangani oleh Jules Ferry dengan wakil Burma telah bocor, iaitu yang menyatakan bahawa sebaik sahaja keamanan di Tongking dapat dipulihkan alat-alat senjata akan dihantar ke Burma melalui negeri terbabit .
Peristiwa terakhir yang melibatkan Perancis ialah, tentang tindakan Raja Thibaw terhadap Syarikat Bombay Burma Trading Corporation yang menjalankan perusahaan balak Jati di kawasan Burma. Raja Thibaw yang tidak begitu menyukai British telah mengambil tindakan terhadap syarikat ini dengan menyatakan bahawa syarikat ini telah mengeluarkan hasil balak melebihi dua kali ganda daripada yang dibenarkan oleh Burma, menyuap pegawai kerajaan, dan gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Burma. Perkara ini diburukkan lagi dengan khabar angin yang bahawa perkongsian akan ditubuhkan dengan Perancis sekiranya syarikat itu diusir. Dalam pada itu syarikat ini telah didenda sebanyak dua kali ganda daripada jumlah yang dituduh tipu itu . Ini menyebabkan pihak British berasa tidak berpuas hati.

Sosial
1) Menyebarkan agama kristian
Agama kristian mula menampakkan pengaruhnya yang besar dalam sejarah di rantau Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur sejajar dengan kedatangan orang Eropah ke rantau tersebut. Kehadiran kuasa Eropah telah bermula sekurang-kurangnya abad ke-16 dengan dimulakan dengan kuasa Portugis yang berjaya muncul sebagai kuasa maritim yang kuat ketika itu. Halangan-halangan untuk memperoleh barangan dari Timur yang mempunyai harga yang tinggi di pasaran Eropah mendesak mereka mencari laluan alternatif daripada laluan sedia ada yang telah dikuasai oleh pedagang Islam. Dalam masa yang sama misi mereka bukan sahaja sekadar barangan dari Timur malah mereka juga mempunyai cita-cita untuk menyebarkan agama Kristian disamping memperoleh penghormatan peribadi. Oleh yang demikian tugas penjelajahan mereka lebih terikat memenuhi Tiga G, iaitu Gold atau Emas, Glory atau keagungan dan God atau menyebarkan agama kristian.
Bermula dengan Portugis, kuasa-kuasa lain kemudiannya sepanjang abad ke-17 hingga abad ke-19 turut mengembangkan agama ini. Walaupun kuasa-kuasa besar seperti Belanda dan British lebih berminat dengan ekonomi berbanding dengan penyebaran agama, namun tidak dapat disangkal, mereka juga mempunyai misi yang sama dengan Portugis dan Sepanyol walaupun dalam skala yang lebih minimum. Kejayaan kuasa Eropah terutamanya pada abad ke-19 dan 20 dalam menguasai dan mendominasi Asia Tenggara, telah menjadi instrumen penting dalam usaha mereka menyebarkan agama Kristian.
Manakala kemasukan pentadbiran British di Myanmar telah mengancam kedudukan pengaruh agama Buddha di negara itu. Ancaman itu nampak semakin ketara pada sistem pendidikan agama Buddha yang semakin merosot. Manakala golongan Mubaligh Kristian pula cuba menyebar agama Kristian dikalangan penduduk pedalaman seperti puak Chin dan Kare. Selain itu orang British tidak menghormati agama Buddha apabila mereka menggunakan kasut di kuil-kuil Buddha. Kes ini seolah-olah mencemari agama Buddha. Oleh itu golongan sami Buddha merupakan golongan yang pertama yang menyemarakkan semangat perpaduan di kalangan rakyat Myanmar. Pertubuhan Belia Agama Buddha merupakan contoh terbaik untuk memperlihatkan peranan agama Buddha di Myanmar. Mereka mempunyai peranan penting dalam merangsang semangat nasionalisme.

Ekonomi

1) Perdagangan

Potensi perdagangan Burma Hulu telah menarik minat golongan pedagang British. Mereka juga bercita-cita menjalankan perniagaan dengan bahagian barat negara China melalui Burma Hulu. British ingin memperluas perdagangan mereka di Burma, tetapi mengalami kesulitan kerana menghadapi pegawai-pegawai Burma yang korup. Pedagang British terpaksa mambayar harga yang lebih tinggi untuk mendapatkan barang dagangan dari Burma. Golongan pedagang ini melalui Dewan Pernigaan Rangoon dan dewan-dewan perniagaan di Britain telah mendesak kerajaan Britain untuk menawan Burma Hulu. Peraturan-peraturan perdagangan yang terhad di Burma Hulu telah mengakibatkan ketidakpuasan hati golongan pedagang. Keengganan Kerajaan Burma untuk mematuhi perjanjian-perjanjian perdagangan tahun 1862 dan 1867 telah menambah ketidakpuasan mereka.
Mengikut perjanjian-perjanjian perdagangan tersebut, Raja Burma hanya mempunyai monopoli ke atas minyak, batu permata dan kayu jati. Tetapi dari segi amalan, monopoli Raja Burma telah diperluas ke atas kapas, gandum, gula, gading dan cutch. Akibat tekanan daripada golongan pedagang British di Rangoon dan Britain merupakan satu faktor penting bagi peletusan Perang British-Burma.

2) Beras
Burma terkenal dengan aktiviti pertanian terutama sekali beras. Eksport beras menjadi punca ekonomi Burma yang banyak memberi keuntungan kepada British. Beras terbaik dihasilkan di pinggir Sungai Kaladan dan Lemyo dengan Akyab menjadi pusat komersialnya khususnya pada tahun 1852 . Adas pula telah membahagikan perkembangan ekonomi kepada tiga peringkat iaitu peringkat pertama, di antara tahun 1852-1900, peringkat kedua, di antara tahun 1900-1930 dan peringkat ketiga di antara tahun 1930-1941 . Pada peringkat pertama inilah, penglibatan aktif penduduk tempatan dalam aktiviti pertanian terutama pertanian padi sawah. Perkembangan penanaman padi berlaku kerana kawasan delta merupakan kawasan petempatan tradisi orang-orang Mon (salah satu kaum di Burma). Apabila berlaku peperangan kurun ke-18, telah menyebabkan kawasan itu diabaikan malah hampir ditinggalkan dan mempunyai penduduk yang sedikit. Perkara ini memudahkan kerajaan British membuka tanah untuk pertanian. Pihak British ingin menggalakkan perdagangan eksport secara persendirian dan juga mahukan semua tanah pertanian yang baru itu diberikan kepada petani-petani kecil yang merdeka. Di samping itu, kerajaan British juga telah membuat pelaburan untuk memajukan kawasan itu, ia telah membina sistem pengairan dan pengangkutan yang lebih baik. Sebagai balasannya petani dikehendaki membayar cukai. Kawasan delta mempunyai penduduk yang sedikit menyebabkan petani-petani pendatang diperlukan untuk mengusahakan tanah-tanah baru itu. Oleh itu, migrasi pekerja telah berlaku di antara Burma Hulu ke Burma Hilir serta pendatang India. Modal untuk memulakan tanaman juga agak mudah diperolehi. Pada masa itu para petani boleh meminjam dengan mencagarkan tanah baru yang menjadi hak milik mereka itu. Pada mulanya mereka meminjam daripada peminjam-peminjam bangsa Burma, tetapi kemudian selepas 1880 peminjam-peminjam profesional India (Ceti) membekalkan sebahagian besar daripada pinjaman itu.
Perkembangan pertanian pada 1852-1900 menyebabkan berlaku penghijrahan secara besar-besaran dari Burma Hulu, Tenasserim dan Arakan sehingga menyebabkan kebudayaan Mon di delta Irrawadi telah digantikan dengan kebudayaan orang Burma. Penghijrahan bukanlah merupakan satu perkara baru bagi orang Burma kerana ada pepatah Burma yang berbunyi “tanpa berpindah seseorang itu tidak akan menjadi terkenal atau masyhur” . Pada awalnya perkembangan pertanian padi sawah sangat baik. Misalnya berlaku pertambahan dalam keluasan tanah dari 700 000 ekar kepada 6 juta ekar di antara tahun 1855-1906, yang seterusnya membawa kepada peningkatan jumlah eksport padi daripada 162 000 tan kepada 2 juta tan . Hingga awal tahun 1900, Burma, Thailand dan Vietnam telah dapat membekalkan 70% daripada jumlah eksport beras dunia. Di antara ketiga-tiganya itu, Burmalah pengeluar yang terbanyak.
Dengan berlakunya perkembangan dalam pertanian padi sawah ini, British telah membawa masuk orang India untuk atasi masalah kekurangan tenaga buruh dalam pertanian padi dan menyebabkan berlakunya pertambahan dalam kemasukkan orang India ke Burma. Misalnya pada 1870, terdapat 15 000 buruh dari India membanjiri Burma dan pada 1872, meningkat kepada 37 500 orang atau dua peratus daripada jumlah penduduk Burma di Hilir dan angka ini telah meningkat kepada 297 000 pada 1901 atau tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di Burma Hilir . Kemasukan tenaga buruh dari India ini telah menyebabkan berlakunya persaingan dalam pekerjaan dengan penduduk tempatan.
Akibat perkembangan pertanian yang pesat, berlaku kekurangan tanah pertanian yang telah menyebabkan timbulnya masalah. Petani tempatan mula menanggung hutang kerana hasil yang diperolehi sedikit sedangkan cukai perlu dibayar. Petani tempatan tidak berupaya untuk menyaingi petani dari India dan mereka hanya memperolehi hasil yang sedikit bagi setiap ekar tanah kerana beberapa sebab iaitu kurangnya penggunaan baja moden, benih yang kurang baik, cara pertanian tradisi yang tidak sesuai, tiada pertanian secara besar-besaran dan tidak mempunyai modal yang besar.
Akibatnya orang India banyak menguasai tanah dan pada penghujung 1900, enam peratus tanah pertanian di delta dan 19 peratus bagi tanah yang dikuasai oleh bukan petani . Keadaan menjadi lebih teruk pada tahun 1930-an apabila harga beras di pasaran jatuh, menyebabkan golongan petani tempatan tidak dapat membayar hutang dan akhirnya banyak tanah lesap ke tangan peminjam-peminjam modal yang rata-ratanya terdiri daripada golongan ceti India.

3) Minyak
Minyak telah dilombong semenjak zaman pemerintahan raja-raja Burma lagi. Telaga-telaga minyak kebanyakannya berpusat di Yenangyaung dan selama beberapa abad telah membekalkan kepada rumah-rumah orang Burma dengan bahan api untuk menyalakan pelita-pelita dan juga membolehkan kayu-kayu, tikar dan manuskrip yang dibuat daripada daun palma yang diawet . Pada masa itu, telaga-telaga minyak digali secara primitif atau tradisional iaitu dengan menggali telaga-telaga minyak dengan tangan. Cara ini memerlukan masa yang panjang sedangkan hasil yang diperolehi sedikit dan tidak mencukupi sehinggakan minyak tanah terpaksa diimport dari Amerika untuk memenuhi keperluan penduduk Burma.
British yang melihat potensi Yenangyaung yang mempunyai banyak hasil minyak telah bertindak membuka sebuah firma iaitu Burma Oil Compony pada 1886 di Rangoon. Pada awalnya firma British ini hanya menjalankan kegiatan dalam perusahaan minyak tempatan, tetapi kemudiannya firma ini bertindak membeli pajakan-pajakan kerajaan dan juga telaga-telaga minyak persendirian. Dalam masa lima tahun, firma ini berjaya mengeluarkan minyak tanah yang mencukupi sehinggakan kerajaan tidak perlu lagi mengimport minyak dari Amerika. Malahan, syarikat ini telah mengeksport minyak yang pertama ke India dan pada tahun 1896 ke Pulau Pinang. Saluran paip minyak juga telah dibina oleh syarikat ini 10 tahun kemudian yang menghubungkan kawasan-kawasan minyak ke kilang penapisannya di Syriam.
Pada waktu ini orang yang memonopoli sektor perlombongan adalah orang British. Hal ini kerana, orang British yang menubuhkan syarikat perlombongan dan orang India juga ada yang bekerja dalam syarikat ini serta ada yang bekerja di lombong-lombong sebagai kuli. Antara syarikat perlombongan British yang ditubuhkan selepas 1900 ialah Indo-Burma Petroleum Compony, British Burma Petroleum Company dan Nath Singh Oil Company .
Perkembangan dalam perlombongan minyak tanah semakin baik selepas abad ke-19. Perkembangan ini dikaitkan dengan kedatangan orang Cina khususnya selepas 1900-an. Secara kesimpulannya kebanyakan aktiviti perlombongan ini juga dimonopoli oleh syarikat British. Kebanyakan penduduk tempatan hanya terlibat dengan menjadi buruh-buruh sahaja. Kedatangan orang India untuk bekerja dalam perlombongan minyak di Burma telah menyebabkan persaingan untuk mendapatkan pekerjaan berlaku. Keadaan ini diburukkan lagi apabila harga beras jatuh dan para petani yang pada awalnya ramai yang tertumpu di Burma Hilir beramai-ramai berhijrah ke Burma Hulu.



4) Pembalakan (kayu jati)
Kayu jati merupakan salah satu daya penggerak penjajahan British di Burma dari segi ekonomi. Tambahan pula, ekonomi Burma juga bergantung kepada aktiviti pembalakan khususnya pembalakan kayu jati yang diperlukan untuk pembinaan kapal. Bahkan kayu jati merupakan sumber hasil bumi yang paling dihargai oleh masyarakat Burma kerana nilai komersialnya yang lebih tinggi berbanding padi (beras) yang tidak boleh dieksport berdasarkan polisi kerajaan Burma. Buktinya, pada tahun 1752, Maharaja Alaupaya telah mengisytiharkan kayu jati sebagai `pokok diraja`, manakala lebih kurang seratus tahun kemudiannya, Lord Dalhousie telah menjadikan kayu jati sebagai `Harta Milik Kemahkotaan British`. Sebenarnya kayu jati di Burma mempunyai sejarah yang paling lama dibandingkan dengan bahan eksport yang lain. Ia telah digunakan oleh pedagang-pedagang Arab pada abad ke-6 masihi. Kayu jati merupakan asas kepada perusahaan membina kapal di Burma dalam abad ke-17 dan telah menjadi objek utama dalam persaingan antara British-Perancis pada abad ke-18 . Kayu jati Burma mendapat permintaan yang tinggi di luar negara kerana mutunya yang tinggi, harganya pula murah dan sesuai digunakan untuk industri kapal dan binaan . Perusahaan kayu jati Burma kemudiannya telah berkembang apabila perusahaan tersebut diambil alih oleh firma-firma British. Antara tahun 1830 dan 1852, lebih daripada 100 buah kapal dengan jumlah 30 000 tan kayu jati diambil di Burma khususnya di Moulmein . Walaupun Moulmein berkembang maju tetapi akibat eksploitasi yang berlebihan, kayu jati di Moulmein berkurangan dan British beralih kepada Ranggoon (Yangon) yang berkembang dalam perdagangan. Menurut D.G.E. Hall :
“But indiscriminate felling without proper superision ruined many of forest, and rapid developement of Rangoon after 1852 caused Moulmein`s star wane”
Kepentingan eksport kayu jati kepada pihak British dan kerajaan Burma terbukti apabila berlaku peperangan pada bulan Ogos 1885 kerana Raja Thibaw mendakwa Syarikat Perdagangan Bombay-Burma telah mengambil lebih banyak kayu jati melebihi perjanjian yang telah dibuat sebelum itu. Kayu jati banyak terdapat di kawasan Tenasserim dan menjelang 1830-an, perusahaan kayu jati berkembang sehingga menjadi sumber kekayaan yang paling utama di daerah ini. Pada tahun 1941, Burma telah megeluarkan kira-kira ¾ eksport kayu jati dunia iaitu sebanyak 400 000 tan. Hakikatnya hasil pendapatan daripada jualan kayu jati Burma ini merupakan hak milik British setelah dieksploitasi sepenuhnya oleh mereka. Namun, keadaan ini telah membawa kepada perkembangan perusahaan mengilang papan dan membina kapal yang telah dipergiatkan lagi selepas 1847 apabila Jabatan Laksamana British ditubuhkan dan mengawal aktiviti pembalakkan kayu jati. Namun menjelang tahun 1850-an, banyak hutan telah musnah dan British telah menubuhkan Jabatan Perhutanan pada 1856 untuk merangka satu kaedah bagi pengawalan aktiviti pembalakan.

5) Sumber hasil bumi yang lain
Selain beras (padi), minyak dan kayu jati, Burma juga turut bergantung kepada pengeluaran timah hitam (plumbum), wolfram (bijih tungsten), dan bijih timah. Namun, pada peringkat awal sebelum kedatangan British, eksport bahan mentah ini adalah dalam kuantiti yang kecil sahaja. Oleh itu, pihak British telah mengambil kesempatan atas dasar penjajahan bagi memonopoli sumber-sumber bahan mentah tersebut. Plumbum didapati dari lombong-lombong di Badwin (40 batu ke timur laut Lashio) dan lombong di Namtu. Seperti yang berlaku dalam perusahaan minyak, perusahaan plumbum juga dimonopoli oleh syarikat British yang diwakili oleh Syarikat Perdagangan Bombay-Burma. Perkembangan perusahaan ini hanya berlaku selepas abad ke-19 apabila Burma dimasuki oleh kaum Cina. Selama beberapa tahun sahaja, kawasan perlombongan ini menjadi tempat kegiatan perlombongan orang-orang Cina dan lombong-lombong ini adalah di antara lombong-lombong pengeluar timah hitam dan perak yang terkaya di dunia dan lombong ini menjadi pusat pengeluaran tembaga, nikel, spis dan kobaltum.
Burma juga kaya dengan hasil bijih timah yang termasuk dalam lingkaran bijih timah Asia. Namun perusahaan bijih timah juga seperti perusahaan plumbum yang berkembang selepas abad ke-19. Walaupun Burma terletak dalam lingkaran bijih timah tetapi British lebih tertarik dengan penemuan wolfram di Mawehi. Buktinya, Burma hanya mengeluarkan 100 tan bijih timah setahun sebelum 1910 bijih timah. Perlombongan wolfram juga berkembang selepas tahun 1900 . Sedikit batu delima dan batu nilam yag menjadi bahan termasyhur di Burma sejak dahulu lagi turut di lombong. Lombong batu delima dan nilam ini terdapat di sekitar daerah Mogok (utara Mandalay). Terdapat juga sedikit pengeluaran arang batu, garam dan jed yang dilombong.
Pada awalnya getah turut ditanam di Burma, namun tanaman ini didapati tidak sesuai diusahakan di Burma kerana faktor iklim. Namun apa yang pasti dalam perusahaan getah ini kebanyakan tenaga buruh yang mengusahakan ladang getah adalah terdiri daripada orang-orang India. Ladang-ladang getah tidak dimiliki oleh orang tempatan sebaliknya berada dalam tangan British (contohnya Steel Brothers) dan orang-orang tempatan hanyalah memiliki kebun-kebun kecil sahaja. Oleh itu, telah terbukti bahawa faktor ekonomi juga menjadi daya penggerak penjajahan Barat di Burma. Namun begitu, perkembangan ekonomi Burma di bawah penguasaan British yang berteraskan pertanian padi, eksploitasi kayu jati dan logam menjadikan Burma terlalu bergantung pada pasaran antarabangsa dari segi eksport dan import .
Selain daripada kekayaan sumber bahan mentah dan pertanian di Burma, faktor yang menyebabkan gerakan penjajahan British disebabkan kepentingan perdagangan British di negara itu. Hal ini kerana pada peringkat awal pegawai-pegawai kerajaan Burma telah memberi layanan yang buruk terhadap pedagang-pedagang British termasuklah penetapan harga yang tinggi untuk memperolehi barang dagangan Burma. Kerajaan Burma juga mengenakan cukai yang tinggi ke atas barang dagangan asing. Sebenarnya kesemua sebab yang dikemukakan di atas hanyalah satu helah politik British bagi mendapatkan hak monopoli ke atas hal ehwal perdagangan di Burma. Tambahan pula British bimbang Perancis akan memperluaskan pengaruhnya terutama di Burma Hulu.





Kesimpulan
Penjajahan ke atas sumber ekonomi menjadi faktor penting yang merupakan daya penggerak penjajahan Barat di Asia Tenggara. Persaingan antara kuasa Barat, seperti British dan Perancis dalam kajian ini juga melihat kepada penjajahan ke atas Asia Tenggara. Namun begitu penentangan-penetangan yang dilakukan oleh golongan rakyat dan raja negeri-negeri yang dijajah itu juga melihat akan kesedaran penduduk Asia Tenggara. Walau bagaimanapun, pada akhir tempoh abad ke-19 juga melihat negara seperti British mula bergiat aktif dalam politik Asia Tenggara. Pemerintahan British yang mengamalkan dasar ekonomi kapitalis telah mengakibatkan perubahan ekonomi, politik dan sosial yang penting di Burma. Antara lain Burma telah mencapai kebudayaan dan sosial. Sebahagian besar daripada kemajuan Burma dinikmati oleh orang asing. Keadaan ini telah mencetuskan semangat kebangsaan kepada rakyat Burma.






1 comment: