NUF

AMARAN

PERINGATAN.

PENTING
SEMUA BENTUK PENULISAN DALAM BLOG INI PERLU DINILAI DAN DIKAJI. JANGAN TERUS DI AMBIL TANPA MEMPERSOALKANNYA.

OK

BIJAK MEMBELI

Mahasiswa Pendidikan Sejarah

Mahasiswa Pendidikan Sejarah

Sunday, October 31, 2010

PERANG SAUDARA SELANGOR. 1868-1873

PENGENALAN

Pada awal abad ke 19, Selangor merupakan sebuah kerajaan Melayu yang kuat dan agresif di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim. Baginda merupakan seorang keturunan Bugis yang telah menentang tindakan Belanda yang menyerang Selangor pada akhir abad ke 18. Sikap agresif baginda berterusan apabila pada 1804 baginda menyerang Perak serta menawannya pada 1805. Setelah tamatnya perang , baginda telah menghadiahkan daerah Klang kepada Raja Jaafar yang memajukan perdagangan bijih timah antara Melaka dan Klang. Kemangkatan baginda pada 1826 telah mengubah dasar yang di amalkan sebelum ini. Pengganti baginda iaitu Sultan Muhammad dan Sultan Abdul Samad tidak mampu mentadbir negeri dengan cekap . Perkembangan kegiatan perlombongan yang pesat juga memberi kesan kepada Selangor.
Pengurusan hasil bumi yang tidak cekap menyebabkan timbulnya perselisihan antara anak raja dan pembesar bagi memperolehi keuntungan yang berlipat kali ganda. Keadaan ini telah menimbulkan situasi yang tidak stabil di Selangor yang telah mencetuskan perang saudara yang berlangsung dari 1868 hingga 1873 yang turut mengundang penglibatan luar. Oleh itu, punca perang saudara Selangor perlu di analisis bagi mendapatkan gambaran sebenar apakah yang telah berlaku dalam perang tersebut.
PERKEMBANGAN DAN PEMBUKAAN KAWASAN PERLOMBONGAN
Pada awal abad ke 19, proses revolusi perindustrian yang sedang rancak di Eropah telah menyebabkan peningkatan permintaan bahan mentah terutamanya bijih timah dalam aktiviti pembuatan . Keadaan ini telah menyebabkan pedagang Eropah datang ke Asia Tenggara terutamanya ke Negeri – negeri Melayu yang kaya dengan bijih timah. Di Selangor, kawasan perlombongan pertama di buka ialah Lukut yang di usahakan oleh orang Melayu. Kemajuan Lukut telah menarik kedatangan buruh Cina untuk mengusahakan kawasan perlombongan di sana. Namun, dasar bebas membuka lombong yang di berikan sultan telah menyebabkan pergaduhan antara saudagar dan buruh yang merebut kawasan perlombongan .
Akibatnya, Sultan Muhammad telah melantik Tengku Bongsu sebagai wakil baginda di Lukut. Perlantikan tersebut tidak di senangi oleh buruh Cina dan mereka telah menyerang dan membunuh Tengku Bongsu serta orang Melayu yang berada di Lukut. Pembukaan di kawasan yang lain seperti Sungai Selangor, Sungai Kelang, Sungai Klang, Sungai Lumpur , Petaling, Ampang , Serdang, Penaga dan Kuala Kubu turut menyebabkan perebutan dan pergaduhan antara buruh Cina serta di kalangan pembesar Melayu yang mahu mendapatkan keuntungan maksima dari lombong – lombong tersebut sehingga menyebabkan perang saudara Selangor pada 1868. Pembukaan tanpa kawalan ini ternyata membawa padah kepada Selangor keseluruhannya walaupun pernah menjadi sebuah Negeri Melayu yang kuat sebelumnya.
PERSENGKETAAN DI KALANGAN PEMBESAR SELANGOR
Perang saudara yang berlaku juga di sebabkan kuasa yang berlebihan yang di miliki oleh pembesar daerah. Dengan kuasa yang ada pada mereka mampu mentadbir malah melebihi kuasa sultan yang ada . Ketiadaan bidang kuasa sultan yang jelas membolehkan pembesar melakukan apa sahaja yang mereka mahu. Sultan yang ada hanya di rajakan menurut adat sahaja manakala segala urusan dan kuasa menjadi milik pembesar yang menggunakan nama sultan dalam segala kegiatan mereka. Kuasa baginda terbatas di kawasan tempat bersemayam baginda. Perkara ini semakin berleluasa semasa pemerintahan Sultan Muhammad (1826 – 1857) dan Sultan Abdul Samad (1857 -1898).
Pembesar daerah ini menguasai kawasan perlombongan dan mereka amat berpengaruh . Mereka juga mampu mempengaruhi sultan dalam membuat keputusan terutamanya dalam menaikkan kaum kerabat mereka dalam jawatan tertentu. Pembesar ini kebanyakannya terdiri daripada anak raja. Pertambahan anak raja telah menimbulkan ketidakstabilan yang membawa kepada persengketaan di kalangan mereka. Mereka menuntut hasil pungutan cukai dan hak memiliki kawasan perlombongan. Masalah ini yang berlaku antara Raja Mahadi dan Raja Abdullah yang merebut jawatan pembesar daerah Klang mencetuskan perang saudara Selangor. Peluang yang terhad dalam ekonomi dan persaingan dari saudagar Cina untuk membuka lombong menyekat mereka mendapatkan hasil pendapatan.
PEMBERONTAKAN ORANG SUMATERA
Perlantikan Raja Abdullah sebagai pembesar daerah Klang yang kaya dengan bijih timah menjadikan beliau seorang pembesar yang berpengaruh. Walaupun jawatan ini sepatutnya di pegang oleh Raja Mahadi tetapi Sultan Muhammad menyerahkannya kepada Raja Abdullah kerana melangsaikan hutang baginda sebanyak $ 27000. Perkembangan Klang di bawah Raja Abdullah telah menarik orang Sumatera untuk datang membuka petempatan di pedalaman Sungai Klang. Namun, dengan kekuasaan dan pengaruh yang di miliki menyebabkan Raja Abdullah melakukan berbagai penganiayaan terhadap orang Sumatera. Penganiayaan ini di sebabkan Raja Abdullah merasakan mereka merupakan orang asing yang tidak layak mendapat layanan yang baik .
Banyak penganiayaan yang di lakukan antaranya kes pembunuhan orang atau saudagar Sumatera oleh pengikut Raja Abdullah walaupun dengan alasan yang remeh seperti tidak membayar atau membantah kadar cukai yang di kenakan. Pengikut Raja Abdullah turut merampas padi, ternakan dan menculik gadis atas nama sultan. Kemuncak kemarahan orang Sumatera berlaku apabila seorang anak buah Datuk Dagang (ketua orang Sumatera) di bunuh di Pejabat Kastam Kuala Lumpur. Mereka bangkit memberontak menentang Raja Abdullah dan mengambil keputusan menyertai Raja Mahadi kerana penindasan yang di lakukan terhadap mereka yang turut melibatkan mereka dalam perang saudara Selangor 1868. Rumusannya, penindasan terhadap golongan ini merupakan ’duri dalam daging’ yang mencetuskan konflik ini.
PERANAN BURUH DAN SAUDAGAR CINA.
Kebanjiran buruh dan saudagar cina yang membuka kawasan perlombongan di Selangor turut memainkan peranan dalam mencetuskan perang saudara Selangor. Dasar terbuka yang membenarkan pembukaan lombong tanpa kawalan menyebabkan pergaduhan antara mereka. Ketidakmampuan sultan untuk mengawal mereka juga di sebabkan saudagar dan buruh ini mempunyai hubungan dengan pembesar Selangor yang berpengaruh. Sebagai contoh, Raja Jumaat , pentadbir Lukut mempunyai hubungan yang baik dengan saudagar Cina di Melaka dan Singapura .
Pada tahun 1866, Raja Abdullah telah membuat perjanjian dengan W. H. Reed dan Baba Tan Kim Cheng mengenai hak memungut cukai. Jika di lihat dari suatu sudut, peranan saudagar Cina ini telah mengurangkan pendapatan Raja Abdullah dan monopoli perdagangan bijih timah serta kutipan cukai oleh mereka. Kemunculan dua kumpulan buruh Cina iaitu Ghee Hin ( Chong Chong ) dan Hai San ( Yap Ah Loy) yang merebut kawasan perlombongan turut menyemarakkan lagi perang saudara Selangor. Mereka mencari pihak yang boleh membantu mereka dalam persaingan ini. Ghee Hin memihak kepada Raja Mahadi manakala Hai San memihak kepada Raja Abdullah ( kemudian Tengku Kudin). Saudagar Cina dari Negeri Negeri Selat (NNS) turut memberi bantuan kewangan dan senjata kepada pihak yang di sokong oleh mereka. Kesimpulannya, peranan yang di mainkan oleh buruh dan saudagar Cina memburukkan lagi keadaan dengan terlibat dalam perang ini
PERANAN PEGAWAI BRITISH DARI NEGERI- NEGERI SELAT
Pengaruh British di negeri melayu bermula dengan pembukaan Petempatan Selat atau Straits Settlement yang meliputi Pulau Pinang (1786) , Melaka (1824) dan Singapura (1819). Gabungan ketiga- tiga petempatan ini kemudian menjadi Negeri – Negeri Selat (NNS) yang mempunyai kepentingan terhadap Negeri Melayu. NNS yang berperanan sebagai pusat pengumpulan dan pelabuhan sangat memerlikan hasil dari Negeri Melayu untuk di eksport bagi menjana pendapatan mereka. Di Selangor khususnya, pegawai British yang berkhidmat di NNS terlibat dalam aktiviti perlombongan bijih timah di Klang. Sebagai contoh, J.G Davidson dan W.H.Reed
John Bartholomeus Westerhout, Penolong Residen yang juga Penterjemah Kanan Mahkamah Keadilan Melaka telah menjalankan perdagangan bijih timah dengan negeri jiran termasuk Selangor sekitar 1840 an. Pegawai British juga membantu pihak yang sedang terlibat dalam perang saudara Selangor seperti Tengku Kudin yang menemui pegawai British di Singapura dan Melaka untuk membantu beliau menegakkan kuasa setelah di lantik sebagai Yam Tuan Selangor oleh Sultan Abdul Samad. Pihak British di NNS turut melarang saudagar Cina di jajahannya membantu pihak yang menentang Tengku Kudin agar mudah British terlibat mengenai urusan dalaman Selangor.
J.G.Davidson telah menulis surat kepada Gabenor NNS, Sir Harry Ord agar memberi sokongan kepada Tengku Kudin. Pada Julai 1871, sebuah kapal perang British, Rinaldo telah membedil Kuala Selangor dengan alasan memburu lanun Cina. Manakala sepasukan askar British yang di ketuai Pennefather di tempatkan di Kuala Selangor.
J.W.W.Birch, Setiausaha NNS telah membawa sepasukan askar untuk mempengaruhi Sultan Abdul Samad menerima naungan British
PEMERINTAHAN SULTAN ABDUL SAMAD
Selepas kemangkatan Sultan Muhammad pada 1857, jawatan sultan telah di sandang oleh Sultan Abdul Samad. Seperti sultan sebelumnya, kuasa baginda amat terhad dan tidak mampu mengawal kuasa pembesar yang lebih berpengaruh. Oleh itu, perang saudara tercetus pada zaman pemerintahan baginda akibat masalah penguasaan daerah dan perebutan hasil pungutan cukai. Dalam konflik ini, baginda tidak mampu berbuat apa apa bagi mengawal pihak yamg bertelagah kerana tidak mempunyai pasukan tentera yang kuat. Sebaliknya baginda mengambil langkah berkecuali dengan tidak membantu atau menyokong pihak yang sedang bersengketa bagi menjamin kedudukan baginda selamat .
Kelemahan Sultan Abdul Samad terbukti apabila arahan baginda kepada Raja Mahadi yang berjaya menawan Klang dari Raja Abdullah agar membayar $ 500 sebulan kepada baginda tidak di hiraukan. Desakan anak Raja Abdullah, Raja Ismail agar menyingkirkan Raja Mahadi dari Klang juga tidak mampu di penuhi. Sultan Abdul Samad melantik Tengku Dziauddin ( Tengku Kudin), putera Sultan Kedah sebagai wakil Yam Tuan Selangor. Tindakan Tengku Kudin yang berhubung dengai pegawai British di Melaka dan Singapura serta membawa 500 askar dari Kedah bagi menamatkan perang saudara jelas membelakangkan kuasa dan kedudukan Sultan Abdul Samad. Ketiadaan alat kebesaran yang terletak di tangan pembesar menyukarkan baginda membuat pertimbangan dan keputusan bagi mengatasi masalah ini.
PENGLIBATAN ORANG PAHANG
Semasa perang sedang memuncak, Tengku Kudin telah meminta bantuan Gabenor NNS, Sir Harry Ord agar menasihati Sultan Pahang, Sultan Ahmad menghantar askar bagi membantunya menamatkan perang saudara dan memulihkan keamanan di Klang. Pada April 1870, Sir Harry Ord telah mengadap Sultan Ahmad dengan menyatakan jika peperangan tidak di hentikan, Pahang juga akan turut merasai kesannya. Matlamat sebenar British bagi mengeksploitasi Pahang demi kepentingannya. Askar yang di hantar bukan untuk membantu Sultan Abdul Samad tetapi Tengku Kudin dan sekutunya . Rombongan Tengku Kudin yang di utus menggunakan nama Sultan Abdul Samad untuk mengadap Sultan Ahmad terdiri daripada Orang Kaya Gombak dan Orang Kaya Sungai Buloh. Permintaan rombongan ini di persetujui oleh Sultan Ahmad kerana hubungan erat antara Selangor dan Pahang serta memulihkan kacau bilau.
Angkatan Pahang ini di bahagikan kepada 3 pasukan iaitu Dato Bahaman menuju Ulu Kelang, pasukan Imam Mat Akil ke Kepong dan pasukan Imam Perang Rasul menuju Kuala Kubu. Angkatan ini telah menyerang pasukan Raja Mahadi sehingga berjaya melumpuhkan kekuatan beliau. Dato Bahaman telah mengadap Sultan Abdul Samad dan membuat sumpah taat setia kepada baginda seperti yang di berikan kepada Sultan Pahang. Eksploitasi askar Pahang oleh British berjaya menaikkan pengaruh Tengku Kudin yang dapat membantu British dalam meluaskan pengaruhnya di Selangor. Pahang berjaya di pergunakan untuk menentang orang Melayu sendiri dengan menggunakan nama Sultan Abdul Samad yang kononnya meminta bantuan untuk memulihkan keamanan.
KESIMPULAN.
Perang saudara Selangor yang berlaku antara 1868 hingga 1873 merupakan perang yang bukan sahaja memberi kesan kepada Selangor sendiri tetapi kepada Negeri Melayu yang lain juga. Peranan yang di mainkan oleh Kedah dan Pahang dalam perang ini menunjukkan bahawa jika tidak di atasi sudah tentu memberikan implikasi yang negatif kepada mereka. Perkembangan dan permintaaan bijih timah yang tinggi di pasaran dunia mendorong British menggunakan ” cara yang halus” bagi menjaga kepentingan ekonomi mereka dari terjejas. British sanggup menipu dan mengeksploitasi pihak lain bagi memastikan kepentingan mereka terjamin.
Seterusnya, perang ini menunjukkan kelemahan yang terdapat pada kerajaan Negeri Melayu. Ketiadaan kuasa yang kuat di Selangor menyebabkan pembesar berani untuk menyaingi antara satu sama lain bagi merebut jawatan dan kawasan yang kaya dengan hasil bijih timah seperti daerah Klang. Kehadiran ribuan buruh dan saudagar cina di Selangor bagi mengusahakan lombong – lombong di sana juga menimbulkan masalah apabila berlaku perebutan antara mereka bagi membuka dan mengusahakan lombong tersebut. Perang ini juga merupakan permulaan dasar penglibatan oleh British di Negeri Melayu dengan alasan memulihkan keamanan akibat huru hara yang berlaku.

BIBLIOGRAFI.

A Talib Haji Ahmad (1986) Perang Saudara Di Selangor 1868 – 1873. Kuala Lumpur : Pustaka Antara

Adnan Haji Nawang (1997) Kuala Lumpur dari Perspektif Haji Abdullah Hukum. Kuala Lumpur : Berita Publishing.

Andaya B. W. , Andaya L.Y. (1983) Sejarah Malaysia. Kuala Lumpur : MacMillan Publisher.

Gullick J. M. (2000) A History of Kuala Lumpur 1857 – 1939: Monograph No 29. Kuala Lumpur : Malaysian Branch of The Royal Asiatic Society.

Gullick J.M. (1996) Glimpses of Selangor 1860 – 1898 : Monograph No 25. Kuala Lumpur : Malaysian Branch of The Royal Asiatic Society

Gullick J.M. (2004) A History of Selangor 1766 – 1939 : Monograph No 28. Kuala Lumpur : Malaysian Branch of The Royal Asiatic Society.

Gullick. J. M. (1994) Old Kuala Lumpur. New York : Oxford University Press.

Khoo Kay Kim (1984) Negeri Negeri Melayu Pantai Barat 1850 – 1873 : Kesan Perkembangan Dagang Terhadap Politik Melayu. Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti.

Kobkua Suwannathat Pian (2003) Asia Tenggara : Hubungan Tradisi Serantau. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Mills. L. A. (1961). British Malaya 1824 -67 : Journal of The Malayan Branch Royal Asiatic Society Vol XXXIII, Part 3 ( No 191) . London : Malayan Branch of The Royal Asiatic Society.

No comments:

Post a Comment