NUF

AMARAN

PERINGATAN.

PENTING
SEMUA BENTUK PENULISAN DALAM BLOG INI PERLU DINILAI DAN DIKAJI. JANGAN TERUS DI AMBIL TANPA MEMPERSOALKANNYA.

OK

BIJAK MEMBELI

Mahasiswa Pendidikan Sejarah

Mahasiswa Pendidikan Sejarah

Saturday, October 30, 2010

Gerakan pemisah di Asia Tenggara


Pengenalan
Gerakan pemisah adalah satu gerakan yang cuba mendapatkan hak dan kemerdekaan untuk mewujudkan sebuah negara ke arah pemerintahan sendiri. Ia terjadi kesan daripada dasar penjajahan yang menyebabkan wilayah-wilayah autonomi Islam kehilangan kuasa. Rentetan peristiwa ini, golongan Muslim cuba mendapatkan kembali hak autonomi mereka yang telah didiskriminasikan agama oleh pihak kerajaan. Namun terdapat juga pertubuhan yang radikal apabila menjadikan agama Islam sebagai motif perjuangan mereka.Gerakan pemisah ini juga sering kali dikaitkan dengan keganasan antarabangsa terutamanya selepas peristiwa 11 September 2001.
            Gerakan pemisahan ini dilihat berlaku juga akibat masalah dalaman sesebuah negara yang membawa satu petanda buruk kepada masyarakat setempat dan antarabangsa. Malahan ianya juga akan mendorong kepada keruntuhan institusi di negara berkenaan sekaligus akan menjadi ancaman kepada rantau dan juga negara-negara jirannya.
            Di Asia Tenggara ini, gerakan pemisah berlaku di negara-negara yang secara jelas mempunyai sejarahnya yang tersendiri yakni berkaitan dengan kesan penjajahan atau pun perjanjian yang dianggap oleh wilayah yang ditindas itu sebagai tidak sah. Namun begitu, terdapat juga gerakan yang dijalankan atas dasar berkepentingan diri sendiri dan bukannya mendukung aspek yang jelas bagi membebaskan wilayah yang ditindas itu.
            Pelbagai kaedah yang dilakukan oleh golongan pemisah ini dan biasanya ia melibatkan aktiviti militan yang membawa maksud berjuang secara kekerasan. Golongan ini menganggap perjuangan ini lebih mampu atau mempercepatkan lagi proses membebaskan wilayah daripada kerajaan pusat yang menguasainya.

Gerakan Pemisah Di Filipina
Gerakan pembebasan yang dilakukan oleh orang Moro di Selatan Filipina boleh dibahagikan kepada 4 faktor yang utama iaitu asimilasi Katolik Kristian, penghijrahan orang Kristian dari utara, masalah perkembangan ekonomi dan masalah sosial.Asimilasi Katolik Kristian dalam masyarakat Muslim telah menyebabkan masyarakat Muslim bimbang agama, politik dan budaya mereka terhapus. Asimilasi yang berlaku ini amat berkait rapat dengan dasar kerajaan Filipina yang mahu menjadikan Filipina sebagai sebuah negara bangsa iaitu melalui Pengisytiharan Persemakmuran Negara.
Dari segi kebudayaan Filipina cuba membudayakan amalan Kristian dalam masyarakat Islam di Selatan Filipina. Ia selaras dengan konsep negara bangsa yang cuba diwujudkan iaitu kewujudan satu bangsa yang sama. Menyingkap persoalan masalah politik yang membelenggu  masyarakat Muslim Mindanao, ia sebenarnya bermula pada tahun 1940 apabila kerajaan Amerika menghapuskan Kesultanan Sulu dan disatukan dengan kerajaan Persekutuan Filipina dengan alasan untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang seragam. Faktor penghijrahan orang Kristian dari utara ke selatan Filipina juga turut menjadi faktor gerakan pembebasan di kalangan orang Muslim. Penghijrahan penduduk Kristian yang miskin dari utara ke selatan secara beramai-ramai telah menyebabkan orang Muslim mula menjadi golongan minoriti di bumi mereka sendiri.
            Faktor yang seterusnya adalah masalah perkembangan ekonomi yang lembab di kalangan orang Muslim. Diskriminasi dalam bidang ekonomi tampak jelas pada tahun 1960 apabila Presiden Marcos melancarkan satu polisi dalam bidang pertanian. Polisi ini telah menyebabkan Muslim kehilangan tanah kepada pedagang Kristian. Masalah sosial yang membelenggu masyarakat Muslim di Selatan Filipina juga turut memaksa mereka untuk membuat pergerakan pembebasan daripada kerajaan Filipina. Kehidupan seharian mereka terisi dengan peperangan, pertumpahan darah, kegiatan samun dan banyak lagi. Keadaan ini menyebabkan usaha pembangunan masyarakat mereka terjejas.

Muslim Independece Movement (MIM)
Pertubuhan Muslim Independece Movement (MIM) ditubuhkan pada tahun 1 Mei 1968 oleh Datu Udtog Matalan. Kemerdekaan Mindanao daripada  Kerajaan  Filipina dijadikan sebagai  agenda perjuangan utama dalam perjuangan mereka. Sebagai tindak balas kepada tuntutan kemerdekaan yang dilakukan oleh MIM, Katolik menubuhkan pergerakan anti Moro ILAGA  iaitu sebuah gerakan anti Muslim yang bertanggungjawab terhadap  pembunuhan beramai-ramai 70 orang Muslim di sebuah masjid di Utara Cotabato. Sementara itu banyak pemimpin pergerakan ini telah dibeli oleh kerajaan Filipina apabila mereka disogokkan dengan jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan yang menyebabkan matlamat perjuangan asal mereka telah terpesong. Datu Matalan sendiri telah diberikan jawatan datu oleh kerajaan Filipina. Keadaan yang berlaku ini telah mengecewakan pemimpin muda dan mereka mula membentuk Moro National Liberation Front (MNLF).

Moro National Liberation Front (MNLF)
MNLF diasaskan oleh Nur Misuari seorang ahli MIM yang berpendidikan universiti  pada tahun 1971 di Tausug. Kumpulan ini telah mendefinisikan pergerakan mereka kepada tiga perkara yang utama iaitu menjadikan orang Moro mempunyai sejarah Islam yang spesifik dan identiti budaya yang tersendiri. Mereka juga bertegas bahawa bangsa Moro mempunyai hak yang sah untuk menentukan masa depan mereka. Di samping itu juga,  MNLF bertanggungjawab untuk melancarkan jihad terhadap kerajaan Filipina dan mewujudkan sebuah kerajaan autonomi walaupun tidak mendapat kemerdekaan sepenuhnya.
Pada tahun 1973, pasukan militer Bangsa Moro Army (BMA) ditubuhkan dan seringkali  melancarkan perang secara gerila ke atas tentera Filipin Pemberontakan dan serangan  yang dilakukan oleh MNLF ini telah menyebabkan Presiden Marcos terpaksa mengisytiharkan undang-undang tentera pada tahun 1972. Pada masa yang sama perjuangan yang dilakukan oleh MNLF ini telah mendapat perhatian daripada Pertubuhan Negara Islam iaitu OIC. Dalam usaha untuk menyelesaikan permasalahan ini empat orang Menteri Luar Pertubuhan Negara Islam (OIC) dari Libya, Somalia, Arab Saudi dan Senega telah dihantar ke  Filipina untuk meninjau mengenai masalah ini. Kemuncaknya pada pada 23 Disember 1976 termetarai perjanjian Tripoli di mana kerajaan Filipina didesak oleh OIC untuk memberikan hak autonomi dan mewujudkan suasana aman di Selatan Filipina. Namun begitu perjanjian ini gagal kerana Filipina menyatakan bahawa masalah yang sedang dihadapi dengan masyarakat Muslim adalah masalah dalaman mereka dan tidak perlu campurtangan pihak asing. Kegagalan Nur Misuari untuk mengambil kesempatan daripada Perjanjian Tripoli ini telah menyebabkan kredibiliti kepimpinan Nur Misuari mula tergugat di kalangan ahli MNLF. Senario ini membawa kepada pergolakan dalaman MNLF.

Moro Islamic Liberation Front (MILF)

MILF ditubuhkan oleh Hashim Selamat iatu seorang pelajar Universiti Al Azhar pada tahun 1980. Hashim Selamat telah menuduh Nur Misuari sebagai seorang yang yang mengamalkan rasuah, pengikut komunis, pemimpin yang gagal dan seorang reformis sekular. Mereka bercita-cita untuk mewujudkan sebuah kerajaan Islam yang dikenali sebagai Republik Islam Mindanao (MIR) yang berpegang teguh kepada syariat Islam. Matlamat ini akan tercapai melalui dakwah, tarbiyyah dan jihad. Kumpulan ini dilatih oleh pejuang-pejuang yang pernah menganggotai pergerakan Mujahidin di Afghanistan dalam pengeboman, serangan berani mati, sabotaj dan banyak lagi dan mendapat bantuan dana daripada negara-negara asing. Dalam usaha untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang berautonomi, Hashim Selamat menegaskan bahawa mereka  perlu mendapatkan kemerdekaan daripada kerajaan Filipina dan ia hanya akan dapat dilakukan melalui pemberontakan bersenjata. MILF juga pernah mengadakan rundingan perdamaian dengan kerajaan Filipina tetapi gagal apabila Filipina menolak tuntutan MILF agar tentera kerajaan berundur dari Mindanao.

Abu Sayyaf
Abu Sayyaf ditubuhkan pda 1991 oleh Abdul Razak Jan Jalani. Abu Sayyaf merupakan kumpulan serpihan daripada MNLF yang ekstremis dan sering kali dikaitkan dengan kegiatan keganasan. Matlamat mereka yang jelas adalah untuk mewujudkan sebuah kerajaan Islam yang bebas di Mindanao. Ahli mereka kebanyakannya terdiri daripada pejuang yang pernah terlibat dalam perang Afghanistan menentang Soviet Union. Di samping itu juga kumpulan ini sering kali dikaitkan rangkaian pengganas antarabangsa seperti al Qaeda dan kumpulan militan yang terdapat di Malaysia dan Thailand.
Pada Mei tahun 2000, gerila Abu Sayyaf ini telah menawan 21 orang asing dan menjadikan mereka sebagai tebusan di Pulau Jolo. Tindakan keganasan yang dilakukan oleh Abu Sayyaf telah menyebabkan kerajaan Filipina mendapatkan kerjasama daripada pihak Amerika untuk menghapuskan kumpulan ini. Pada tahun 2000, kumpulan ini telah diserang oleh tentera Amerika dan Filipina sehingga menyebabkan ketua kumpulan Abu Sayyaf iatu Abu Sabaya melarikan diri bersama-sama wang tebusan dan beliau sendiri telah menjadi buruan gerila Abu Sayyaf. Saki baki kumpulan ini pula bersembunyi dengan hidup bersama-sama orang awam.
Gerakan Pemisah di Selatan Thailand
Wilayah Selatan Thai secara rasminya menjadi wilayah kekuasaan kerajaan Thai bukanlah atas kehendak dan pilihan Melayu Patani sendiri, malah ianya atas persetujuan antara kerajaan Siam dengan British pada tahun 1909. Dasar siam mewujudkan semangat ‘Nation State’ iaitu melancarkan “Rathaniyom (kebudayaan Negara) semasa pemerintahan Phibun 1939-1942 contohnya lebih menekankan penduduk di wilayah Selatan. Contoh perkara 3 yang berkaitan dengan panggilan nama panggilan penduduk Thai iaitu “khon Thai”. Kerajaan Siam hanya mengiktiraf bangsa Thai sahaja manakala bangsa lain di anggap sebagai kaum pendatang dan di panggil sebagai “Khaek Thai” yang bermaksud kaum pendatang atau golongan hamba.
Ini bertentangan denga sejarah Siam kerana negara Thai terbentuk daripada gabungan beberapa bangsa hasil penaklukannya di wilayah utara dan selatan. Perkara 9 pula menyatakan bahawa bangsa Thai wajib menggunakan Bahasa Thai sahaja. Keadaan ini bertentangan dengan kebudayaan masyarakat wilayah selatan yang kebanyakannya terdiri daripada Bangsa Melayu dan beragama islam. Bagi mereka Bahasa Thai adalah bahasa asing dan Bahasa Agama Budha. Manakala perkara 10 pula adalah berkaitan dengan pakaian penduduk. Rakyat Thai di kehendaki memakai pakaian yang kemas seperti memakai topi dan mini skirt manakala pakaian tradisi Masyarakat Melayu selatan seperti baju telok belanga, kain sarong dan tudung dilarang.
Oleh itu, telah timbul penentangan dari penduduk tempatan. Peringkat awal adalah bersifat kepimpinan individu, kemudian timbullah gerakan pemisah yang lebih bersifat pertubuhan. Seperti Barisan Revolusi Nasional (BRN), Patani Liberation Organisation (PULO), dan Barisan Nasional Pembebasan Patani (BNPP)

Barisan Reolusi Nasional Melayu Patani (BRN)
Barisan Revolusi Nasional Patani (BRN) ditubuhkan pada 13 mac 1960 oleh Mohamad A, Ustaz Abdul Karim Hassan, Tuk Guru Hj Yusof Chapakia dan Tengku Al-Mutalib. Intitusi ini merupakan organisasi yang pertama mengambil pendekatan menuntut kemerdekaan penuh. Matlamat penubuhan BRN adalah menyatukan semua kumpulan pejuang yang ada ke dalam sebuah pertubuhan tunggal. Dalam masa yang singkat BRN telah berkembang hampir ke seluruh 3 kawasan kerana ia mendapat sokongan daripada masyarakat tempatan dan juga akibat peningkatan gerakan komunis di kawasan sempadan seperti di Tanah melayu. Perjuangan BRN adalah berdasarkan ideologi nasional dan menyokong sebarang revolusi menentang kapitalis dan kolonialisme selaras dengan perjuangan nasionalis pada ketika itu. Ideologi  BRN adalah berdasarkan kepada kebangsaan Melayu dan Sosialis Islam dan di rumuskan dengan MASOSI iaitu Nasional, Sosial dan Islam.
Pada tahun 1963, BRN mula berpecah akibat perbezaan jurang ideologi dan arah perjuangan di antara mereka yang menerajui BRN. Contohnya ustaz Abdul Karim dikatakan sangat revolusioner dan sangat cenderung kepada fahaman sosialis dan mempunyai hubungan dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pimpinan Ahmad Boestaman.  Manakala Tengku Abd Jalal dan Hj Abd Amin- lebih suka meneruskan perjuangan tanpa ideolog dan kemudiannya menubuhkan Barisan nasional Pembebasan Patani (BNPP)  manakala Hj Yusoff Chapakia pula bertindak menubuhkan Parti Revolusi Nasional (PARNAS) pada 1965.

Pertubuhan Pembebasan Patani (PULO)
Pertubuhan Pembebasan Patani atau singkatannya PULO ditubuhkan oleh Tengku Bira Kotanila pada 22 Januari 1968 di India. Penubuhan PULO adalah berdasarkan kepada empat prinsip utama iaitu Ugama, bangsa, tanah air, perikemanusiaan. Oleh kerana penubuhannya di luar negeri menyebabkan PULO sukar mendapat tempat. Tetapi akibat daripada propaganda dan hubungan diplomatik yang telah dijalankan menyebabkan mereka mendapat sokongan daripada pelajar Patani di luar negara khususnya yang melanjutkan pelajaran di luar negeri. Diatas kejayaannya dalam hubungan PULO di beri kuota khas dan berjaya mengirim para pelajar dan pemuda patani menjalani latihan bersenjata di Timur Tengah seperti Libya dan Syria. Keadaan ini telah menjadikan Pulo sebagai pergerakan bersifat militan berteraskan ketenteraan.

Barisan Nasional Pembebasan Patani (BNPP)
Ditubuhkan oleh Tengku Abd. Jalal b Tengku Al-Mutalib pada 10 Sept 1971 di Kota Bharu. Walaupun baru ditubuhkan namun BNPP mendapat sokongan yang kuat terutamanya daripada golongan yang berpendidikan tinggi kesan daripada kepimpinan Tengku Abd. Jalal yang berasal daripada keturunan di raja yang di hormati serta bekas ahli politik dalam parlimen kebangsaan ditambah pula penyertaan Bapa Idris atau lebih dikenali sebagai Poh Yeh.Tujuan penubuhan BNPP ialah menuntut kemerdekaan Patani, mewujudkan sebuah negara Islam, menyatukan semua pertubuhan perjuangan kemerdekaan, Mengorganisasi perjuangan yang tersusun, menjadi suara rakyat Patani di peringkat antarabangsa, Menegakkan konsep hidup bersama antara negara-negara lain dan menyanjung tinggi piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada tahun 1970, BNPP telah menghantar ramai pengikutnya mengikuti latihan ketenteraan di luar negara dengan harapan pada masa hadapan mereka akan berperanan dalam BNPP. Namun, kebanyakan mereka lebih bertapak di negara jiran atas alasan politik. Tetapi dalam bidang perhubungan, BNPP sangat menonjol contoh BNPP telah berjaya mengemukakan masalah Patani pada Persidangan Menteri-Menteri Luar Islam di Istanbul pada 1976. Namun begitu, perjuangan BNPP tidak mendapat pengaruh yang besar di Patani. Pada akhir 1970-an polisi pimpinan BNPP telah diubah, perjuangan dalam bidang ketenteraan di hapuskan tetapi lebih menjurus kepada strategi politik jangka panjang.
Antara kaedah-kaedah gerakan keganasan yang digunakan oleh kebanyakan gerakan pemisah di Selatan Thailand adalah melalui kekuatan bersenjata dan berbentuk gerila. Selain itu, pihak gerila juga bertindak menculik tauke-tauke Cina dan Siam Budhis serta menutup kebun-kebun mereka untuk menuntut wang tebusan. Mereka juga membakar sekolah, menembak balai Polis serta mengebom jambatan dan keretapi. Tindakan keras keatas Budhis yang mengajar di sekolah-sekolah yang kebanyakan terdiri daripada pelajar muslim juga dilakukan. Perbuatan golongan pemisah ini dilakukan bertujuan untuk mendapat perhatian masyarakat antarabangsa serta menggugat kestabilan politik Thai.
Akibat daripada gerakan pemisah yang telah dilancarkan, kerajaan Thai bertindak balas dengan menempatkan tentera di wilayah selatan, tembakan misteri juga digunakan. Tembakan misteri ini merupaka propaganda yang dilakukan oleh kerajaan Thai bertujuan untuk menghuru-harakan kawasan berkenaan bagi memudahkan kerajaan Thai menempatkan tenteranya. Selain itu, kerajaan Thai juga bertindak memanggil guru-guru agama ke kem tentera dan akhirnya mereka ‘hilang’ di dalam kem itu. Contoh; 4 orang guru agama telah di panggil ke kem tentera Ampoe Rusa pada tahun 1977 dan dipercayai telah dibunuh dan ditanam di kawasan kem tentera.
Walau apa pun kekejaman yang telah dilakukan terhadap puak pemisah di selatan Thailad dalam menuntut keadilan serta hak mereka. Melayu Selatan Thai masih lagi berpegang kepada peringatan dan pesanan Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatani, ulama’ terulung Patani, bahawa perjuangan membebaskan Patani adalah Fardhu ain kerana menentang golongan kafir.

Gerakan Acheh Merdeka
Penentangan dalam memisahkan Acheh daripada Indonesia telah pun bermula semenjak tahun 1873 setelah hasil perjanjian Britain-Belanda 1824 yang berlaku apabila Britain menyerahkan wilayah Sumatera kepada Belanda dan selepas itu, Britain memberikan Belanda peluang untuk menguasai Acheh.
            Keadaan ini telah menimbulkan satu penentangan yang berlaku sejak 26 Mac 1873 iaitu ‘Perang Acheh’ antara Belanda dan Acheh.Pada mulanya, Belanda gagal mengalahkan Acheh sehinggakan pada tahun 1893 sehinggakan Belanda telah menganggap perang tersebut tidak membantu menewaskan Acheh. Namun, selepas kedatangan Snouck Hargronje ke Acheh dan berpura-pura memeluk Islam, beliau telah mendekati para ulama di samping mengkaji kelemahan-kelemahan Acheh. Selepas itu, Snouck Hargronje telah berpaling tadah dengan memberikan maklumat kepada Belanda. Belanda menguasai Acheh pada tahun 1904.
            Rentetan daripada sejarah awal ini, telah membawa kepada berlaku gerakan pemisahan Acheh daripada Indonesia yang berlarutan sehingga kini. Penentangan berlaku juga semasa apabila sebuah pertubuhan iaitu Persatuan Ulama Seluruh Aceh (PUSA) ditubuhkan terutamanya pada awal abad ke-20 yang dipimpin oleh Tengku Muhammad Daud Beureuh dan Tengku Abdurrahman Meunasah Meucap. Keadaan ini berlaku kerana penindasan yang dilakukan setiap masa oleh pemerintah di Indonesia. Selepas itu pula,  muncul Gerakan Acheh Merdeka (GAM) atau pun Acheh Sumatra National Liberation Front (ASNLF) pada 4 Disember 1976 yang dipimpin oleh Tengku Hasan Muhammad Tiro yang merupakan satu pertubuhan yang dianggap sebagai separatis atau ingin membebaskan wilayah Acheh daripada Indonesia bagi mewujudkan negara yang dinamakan ‘Nanggroe Acheh Darussalam’.Sebelum pembentukan GAM lagi, Hasan Muhammad Tiro telah menulis surat kepada Kerajaan Indonesia pada tahun 1954. Keadaan ini menandakan bermulanya perjuangan GAM. Pada peringkat awalnya, perjuangan Hasan Muhammad Tiro berlaku selama tiga tahun. Tetapi, kerana kekuatan tentera Indonesia, perjuangannya melalui beberapa halangan. Namun begitu, ianya terus wujud tetapi menghadapi tekanan kuat daripada pihak Indonesia.  Perjuangan GAM di Acheh melibatkan perjuangan bersenjata. Terdapat beberapa siri penentangan yang melibatkan anggota GAM dengan tentera Indonesia. Penentangan kembali berlaku dengan hebat bermula pada tahun 1988 sehinggakan rakyat di Acheh ramai yang menjadi korban dan harta benda dirampas oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang melakukan ‘pembersihan’ anggota GAM secara membabi buta walaupun organisasi sebenar GAM dilakukan di luar negara. Gerakan oleh TNI lebih hebat bagi menentang GAM pada tahun 1989 sehingga 1998. Hal ini kerana, gerakan pemisah ini telah mula dianggotai oleh mahasiswa daripada institut pengajian di Indonesia dan pemuda-pemuda Acheh. Jeneral Wiranto terpaksa melaksanakan operasi yang dikenali sebagai “Operasi Militer Jaring Merah”. Ianya bertujuan menghapuskan golongan yang digelar sebagai Gerakan Pengacau Keamanan (GPK) dan Gerakan Pengacau Liar (GPL).
            Selain itu, antara tahun 1989 hingga 1990 Kerajaan Indonesia juga melaksanakan propaganda serta pembunuhan-pembunuhan rakyat Acheh yang mana tuduhan atas perbuatan itu ditujukan kepada pertubuhan GAM. Keadaan ini menjejaskan imej GAM.Padahal perbuatan ini dilakukan oleh TNI. Selepas itu, bagi membendung GAM ini juga, pada tahun 1999, satu operasi dikenali sebagai “Operasi Wibawa 99”. Keadaan ini memaksa GAM mengubah pendekatan dalam mendapatkan kemerdekaan wilayah Acheh. Pendekatan diubah daripada aktiviti yang bersifat ketenteraan kepada bentuk ‘perhimpunan rakyat’ yang menggunakan tenaga pemuda-pemuda daripada Acheh serta mahasiswa-mahasiswa institut pengajian tinggi di Indonesia.
            Ianya membawa kepada kemunculan pemuda-pemuda Acheh dan mahasiswa-mahasiswa yang menggelarkan diri sebagai ‘Kongres Mahasiswa dan Gerakan Pemuda Acheh Serantau’ yang telah berdemonstrasi di wilayah-wilayah seperti di Acheh, Medan, Jakarta dan luar negeri bagi mendapatkan hak dalam memisahkan Acheh daripada Indonesia. Di samping itu, “Sumpah Bangsa Acheh” juga dibuat oleh satu pertubuhan yang dinamakan sebagai “Sentral Informasi Referendum Acheh” atau (SIRA). SIRA juga telah melaksanakan satu perhimpunan yang dinamakan “Sidang Umum Masyarakat Pejuang Referendum”. Ianya telah mengumpul seramai dua juta penduduk Acheh di Masjid Baiturrahman. Pergerakan ini dilihat berlatar belakangkan oleh perjuangan GAM.
            GAM dilihat sebagai pertubuhan pemisah yang kuat menjelang akhir tahun 2002 dan 2003 apabila dikatakan mempunyai 108 tokoh utama termasuk 3,822 anggota bawahan. Mereka juga mempunyai kelengkapan senjata sebanyak 1,845 termasuk 311 senjata buatan sendiri. Selepas itu, pada 19 Mei 2003, Presiden Megawati Sukarnoputri telah menjalankan operasi ketenteraan yang membawa kepada peperangan dengan GAM. Antara tahun-tahun terakhir perjuangan GAM, berlaku penentangan bersenjata yang hebat. Sehinggakan GAM telah digempur dengan jet pejuang F-16 dan pesawat pengebom OV-10 Bronco. Seramai 1,300 golongan gerila GAM yang terbunuh dan lebih kurang 2000 lagi menyerah diri kepada TRI terutamanya pada tahun 2003.
            GAM ini seterusnya telah membuat beberapa rundingan di antara Republik Indonesia dalam menuntut sebuah wilayah yang bebas daripada Indonesia. Satu rundingan terpenting yang menamatkan perjuangan GAM adalah rundingan yang diadakan di Helsinki, Finland. Penawaran rundingan ini dilakukan oleh mantan Presiden Finland sendiri iaitu Marti Ansaari melalui Conflict Management Intitiative (CMI). Ianya melalui lima fasa perundingan bermula pada 28-29 Januari 2005, 21-23 Februari 2005, 12-16 April 2005, 26-31 Mei 2005 dan 12-17 Julai. Maka bermula 15 Ogos 2005, berakhirlah perjuangan GAM selama 29 tahun apabila perjanjian persefahaman MoU ditandatangani antara Hamid Awaluddin, Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia dengan Malik Mahmud, pemimpin GAM. Pada peringkat awal, Acheh akan mula dipantau oleh Misi Pemantau Acheh (AMM) dan anggota Kesatuan Eropah (EU) serta ASEAN sebagai permulaan perdamaian.


Gerakan Pemisah di Malaysia

Terdapat beberapa kumpulan dan pertubuhan yang menjadikan keganasan sebagai aspek utama dalam perjuangan mereka. Di Malaysia terdapat beberapa kumpulan dan pertubuhan yang mendokong perjuangan tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui pertubuhan al-Ma’unah, Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Jemaah Islamiah (JI). Gerakan pemisah yang terdapat di Malaysia berbeza dengan gerakan pemisah yang terdapat di sekitar Asia Tenggara.
Pertubuhan tersebut sememangnya menuntut hak untuk membentuk pentadbiran dan mewujudkan negeri sendiri yang pada masa ketika dahulu telah menjadi hak milik mereka. Faktor perbezaan inilah yang membezakan gerakan pemisah di Malaysia dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Hal ini kerana, gerakan pemisah yang terdapat di Malaysia lebih memperjuangkan kepada pembebasan politik dan menentang pentadbiran pihak kerajaan. Pertubuhan seperti al-Ma’unah, Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Jemaah Islamiah (JI) telah diharamkan oleh pihak kerajaan Malaysia dan sesetengah pemimpin kumpulan tersebut di letakkan dibawah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Selain itu juga pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan kumpulan dan pertubuhan tersebut sebagai kumpulan ajaran sesat.

Al-Ma’unah
Jika dilihat nama al-Ma’unah diambil daripada nama rasmi bagi pertubuhan Persaudaraan Ilmu Dalam al-Ma’unah. Pertubuhan ini mula ditubuhkan pada tahun 1953 di Jakarta Timur, Indonesia dan ia diasaskan oleh Ibnu Abbas daripada Pesantren Sunan Jati Timur, Indonesia. Pada awal penubuhannya kumpulan al-Ma’unah memberi penekanan kepada mengajar seni mempertahankan diri dengan menggunakan teknik gerakan fizikal dan menekankan kekuatan dalaman (kebatinan).
Di Malaysia Al-Ma’unah mula diperkenalkan pada tahun 1998 dengan diketuai oleh Mohamad Amin bin Razali yang ketika itu berusia 29 tahun.Beliau berasal daripada Sauk, Kuala Kangsar, Perak dan mula mendapat pendidikan di pondok Lanai, Baling, Kedah dan kemudiannya melanjutkan pengajian di Jakarta pada tahun 1997. Selain itu juga, beliau pernah menyertai askar Wataniah Batalion 304 di Grik, Perak selama 4 tahun dengan memegang pangkat kapten.Pergerakan al-Ma’unah telah beroperasi di pejabat gerakan mereka di Kapar, Kelang, Selangor dan telah bergerak aktif mulai bulan September pada tahun 1998 dengan keahlian seramai 54 orang dan menjelang tahun 2000 ia bertambah kepada 800 orang.
Perjuangan dan matlamat utama yang sering kali ditekankan oleh Mohamad Amin ialah pembebasan politik iaitu bagi membentuk pemerintahan sendiri. Peristiwa rompakan senjata di Kem Batalion 304, Askar Wataniah di Grik, Perak pada 2 Julai 2000 telah meletakkan kumpulan al-Ma’unah dilabelkan sebagai kumpulan pengganas dan diharamkan di Malaysia. Peristiwa tersebut berjaya ditumpaskan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Panglima Medan Tentera Darat, Lt. Jeneral Datuk Zaini Mohd Said. Beberapa faktor yang menyebabkan kumpulan al-Ma’unah melakukan keganasan ialah kerana kecetekan dan salah faham terhadap ilmu agama Islam sehingga gagal membezakan yang benar dan salah.
Selain itu, penyelewengan ajaran yang dilakukan oleh pemimpim menyebabkan para pengikut memberi persepsi yang salah misalnya, mereka lebih menekankan kepada konsep Jihad Fil Sabiluna iaitu jihad untuk kepentingan diri sendiri. Selain itu, mereka memegang konsep Jihad Hajumi iaitu jihad menggunakan alat senjata dan keganasan. Namun yang menjadi pendokong kepada gerakan dan keganasan yang dilakukan oleh mereka ialah meletakkan matlamat untuk mengulingkan pihak kerajaan secara kekerasan. Faktor inilah yang menjadi faktor utama kepada berlakunya peristiwa di Sauk dan Bukit Jenalik.

Kumpulan Militan Malaysia (KMM)
Selepas al-Ma’unah dibubarkan, terdapat beberapa kumpulan  telah ditubuhkan bagi mengantikan perjuangan tersebut. Antaranya Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Jemaah Ismiah (JI). Pihak Kerajaan menggunakan istilah 'Kumpulan Militan Malaysia dan bukan gelaran Jemaah Islamiah kerana Jemaah Islamiah lebih berpusat di Indonesia. Pada hakikatnya, ia adalah satu gerakan yang sama yang menerapkan keganasan dalam perjuangan bagi menukarkan pemerintahan negara. Di Malaysia, KMM mula terbongkar selepas beberapa ahli mereka ditangkap ketika melakukan rompakan di Sountern Bank di Petaling Jaya pada 18 Mei 2001. KMM dikatakan diasaskan oleh para penuntut yang menuntut di Asia Barat dan terpengaruh dengan idealogi pertubuhan berhaluan kiri di sana. Antaranya seperti Nik Adli Nik Aziz yang ditahan dibawah ISA kerana didakwa terlibat dengan KMM.

Jemaah Islamiah (JI)
Selain KMM di Malaysia turut terdapat pertubuhan Jemaah Islamiah (JI) dan ia dikatakan telah diasaskan oleh Abu Bakar Basyir dan Abdullah Sungkar ketika melarikan diri ke Malaysia pada tahun 1982. Matlamat penubuhannya adalah bagi menjadikan negara di rantau Nusantara diletakkan dibawah satu pentadbiran iaitu dengan mengabungkan Selatan Thailand, Malaysia dan Indonesia dengan menggunakan alasan agama sebagai asas perjuangan. Melalui JI, keganasan tidak berlaku di Malaysia tetapi lebih tertumpu kepada Indonesia. Hanya warganegara Malaysia sahaja yang terlibat seperti Prof. Madya Dr. Azahari Hussin, Wan Min Wan Mat dan Noor Din Mad Top yang dikatakan terlibat dalam peristiwa pengeboman Bali pada bulan Oktober 2002.
Pertubuhan dan kumpulan yang melancarkan gerakan pemisah atau siri keganasan di Malaysia ini jika dilihat mempunyai perbezaan matlamat dan perjuangan dengan pertubuhan yang terdapat di Asia Tenggara. Hal ini kerana perjuangan di Malaysia lebih memperlihatkan kepada matlamat pembebasan politik daripada pihak kerajaan.

Kesimpulan
Gerakan pemisahan yang berlaku di Asia Tenggara tidak berjaya mencapai matlamat perjuangan. Didapati bahawa gerakan pemisah ini yang menggunakan kekerasan dianggap bukanlah jalan penyelesaian yang sebenar. Jihad lebih penting ialah kemajuan diri sendiri merupakan satu jihad dan perjuangan yang sebenar yang sememangnya dituntut dalam agama Islam. Didapati bahawa di Filipina, Thailand, Indonesia dan Malaysia, gerakan pemisah ini lebih cenderung kepada aktiviti yang bersifat militer yang secara terang-terangan merugikan diri sendiri. Perjuangan walaupun dianggap suci, tetapi seandainya membawa banyak korban serta kemusnahan harta benda ianya bukanlah satu perjuangan yang baik. Walaupun selain tindakan golongan ini yang mahu memisahkan wilayah daripada kerajaan pusat masing-masing, ianya juga membawa kepada keuntungan golongan politik yang mempunyai kepentingan yang tertentu.











Bibliografi
Rujukan Buku
Ahmad Omar Champakia. 2000. Politik Thai dan Masyarakat Selatan Thailand. Alor
Setar: Pustaka Darul Salam Sdn. Bhd.

Al-Chaidar, Sayed Mudhahar Ahmad & Yarmen Dinamika. 1998. Aceh bersimbah darah:
            Mengungkap Penerapan Status Daerah Operasi Militer (DOM) di Aceh 1989-
            1998. Jakarta: Pustaka Al-Kautsar.

Cesar A. Majul. 1989. Dinamika Islam Filipina. Terj. Eddy Zainurry. Jakarta. Penerbit
LP3ES.

Drg. H. Muhammad Syamsu As. 1999. Ulama Pembawa Islam di Indonesia &
Sekitarnya. Jakarta: Penerbit Lentera.

Hasjmy, A. 1997. Ulama Aceh: Mujahid Pejuang Kemerdekaan & Pembangun
            Tamadun Bangsa. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang.

Mustafa Daud, Cabaran Tamadun Islam Pada Alaf Baru di Malaysia, Kuala
Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd, 2002

Nik Anuar Nik Mahmud. 1999. Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1954. Bangi:
Penerbit UKM.

Nik Anuar Nik Mahmud. 2000. Sejarah Perjuangan Melayu Patani. Bangi: Penerbit
UKM.

Nik Anuar Nik Mahmud. 2006. Isu Melayu Patani Dari Perspektif Sejarah. Wacana
Ilmu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Omar Farouk.1993. Muslim Asia Tenggara dari Sejarah Menuju Kebangkitan Islam.          Jakarta. Penerbit PT Pustaka.

Syed Serajul Islam. 2005. The Politics of Islamic Identity In Southeast Asia. Singapura.       Thomson Learning.

Rujukan Laman Web

http://www.fas.org/irp/world/para/docs/ph2.htm.
http://www.fas.org/irp/world/para/milf.htm.





www.malaysia-today.net

www. rand. org./ publications/MR/MR1344/MR1344. Ch 9.pdf.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment