Pengenalan
Sejarah awal kedatangan Islam di Asia Tenggara khususnya di Nusantara merupakan perbahasan klasik yang berlanjutan sehingga ke hari ini. Hal ini disebabkan penemuan pelbagai sumber yang berbeza-beza di kalangan sejarawan. Syed Naquib al-Attas merupakan salah seorang tokoh yang turut membahaskan teorinya berkenaan kedatangan Islam dan keadaan sebelum Islam di Asia Tenggara. Beliau secara jelasnya mengemukakan teori yang kuat mengatakan Islam datangnya dari Tanah Arab dan menolak bahawa Islam di Asia Tenggara datangnya dari India dan disebarkan oleh orang-orang India serta Teori Otoktoni.
Agama Hindu & Buddha Sebelum Kedatangan Islam di Asia Tenggara
Menurut Syed Naquib, agama Hindu dan Buddha di Asia Tenggara sebelum Islam tidak mempunyai pengaruh yang terlalu kuat terhadap masyarakat di Tanah Melayu dan Indonesia. Beliau melihat kerana tidak ada bukti-bukti kukuh yang mengaitkan agama Hindu dan Buddha mencengkam kehidupan penduduk di Tanah Melayu dan Indonesia. Apa yang paling jelas, agama Hindu dan Buddha dianuti oleh golongan atasan untuk memperkukuhkan kedudukan mereka sahaja.
Sebelum Islam, beliau mengatakan hasil kajian yang telah dibuat oleh sejarawan banyak merumuskan bahawa agama Hindu merupakan suatu amalan susun lapis masyarakat yang dipertahankan oleh golongan raja dan bangsawan sahaja sedangkan rakyat tidak mempedulikan ajaran agama tersebut. Kenyataan beliau diperkukuhkan lagi dengan pendapat Van Leur.Hujah beliau yang mengatakan agama Hindu hanya dianuti dan diamalkan oleh golongan raja dan bangsawan sahaja. Antaranya ialah falsafah agama Hindu sendiri dikatakan tidak mempengaruhi masyarakat Melayu Nusantara kerana masyarakat pada ketika itu lebih cenderung kepada sifat kesenian dalam agama Hindu yang sesuai dengan bawaan jiwa asli masyarakat.
Falsafah Hindu juga jelas diubah menjadi seni dengan unsur-unsur akal dan tidak merubah pandangan hidup masyarakat Melayu kerana pandangan hidup mereka berdasarkan kesenian bukannya falsafah. Kesusasteraan agama asli Hindu-India ke dalam Bahasa Melayu-Hindu seperti Mahabrata & Bhagavad Gita juga dilihat memberi tumpuan kepada epik kesusasteraan epik, roman, mitos & sastera keperwiraan tidak mengambarkan unsur rasional (sikap berat sebelah) iaitu mengagungkan raja dan golongan bangsawan dan jelas tidak langsung mewakili keseluruhan masyarakat Melayu ketika itu.
Penulisan puisi Jawa/Hindu oleh Empu Kanwa sendiri dalam puisinya Arjuna Wiwaha bertumpu kepada falsafah hidup golongan bangsawan dan mengagungkannya dengan unsur mitos yang keterlaluan dan masyarakat seolah-olah dianggap jahil. Apa yang pasti hampir keseluruhan kesusasteraan Hindu jelas didominasi oleh kisah dongeng dewa dan cerita yang memberi pemahaman bahawa Raja adalah keturunan dewa. Jelasnya agama Hindu pada ketika itu digunakan oleh golongan bangsawan untuk memperkukuhkan kedudukan mereka.
Agama Buddha juga tidak mempunyai pengaruh yang kuat bagi kehidupan masyarakat di Nusantara sebelum kedatangan Islam. Hal ini kerana tidak ada bukti-bukti falsafah yang ditemui dan yang menjadi buktinya hanyalah Candi Borobudur di Pulau Jawa. Pada abad ke-6, dikatakan terdapat 1000 rahib Buddha di Sumatera tetapi anehnya pengaruh falsafah di Sumatera tidak berkembang. Syed Naquib menyatakan keadaan ini mungkin disebabkan agama Buddha tidak mempunyai sifat tugas untuk menyebarkan agamanya (tabligh) dan mungkin juga pendeta semuanya terdiri daripada orang asing yang datang dari India Selatan untuk mendapat ketenteraman jiwa.
Fa-Hsien (abad ke- 5) dan I-Tsing (abad ke- 6) juga mengatakan agama Buddha di Sumatera & Jawa adalah karut kerana penggunaan bahasa Sanskrit berlaku di Nusantara pada ketika itu dan juga tiada ahli fikir atau failasuf terkenal dan jelas gagal mempengaruhi Intelek Melayu pada ketika itu. Konsep Sinkretif yang dinyatakan oleh sejarawan barat tentang kehidupan masyarakat di Asia Tenggara juga disangkal oleh Syed Naquib. Hal ini kerana golongan raja sahaja menggunakan agama Hindu/Buddha sebagai alat untuk kepentingan mereka. Contohnya pada tahun 1275, negara Kertanegara mengamalkan kepercayaan Shiva-Buddha dan rajanya mendakwa dirinya sebagai dewa Buddha-Shiva untuk mengukuhkan kedudukannya.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas : Islam datang dari Arab
Menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas, beliau telah menyatakan bahawa Islam datang daripada Arab dan teori ini diperkuatkan dengan beberapa bukti. Pertamanya, menurut beliau, Mubaligh-mubaligh lama Islam di daerah Asia Tenggara terdiri daripada orang-orang Arab berdasarkan nama dan gelaran masing-masing. Nama dan gelaran tersebut sama sebutan dan sifatnya dengan nama dan gelaran yang terdapat di negeri Arab. Justeru itu, adalah sesuai jika dikatakan bahawa Islam itu datang dari Arab dan tidak dapat diterima jika dikatakan Islam itu datang dari India atau China. Kedua, mubaligh-mubaligh yang datang menyebarkan Islam bukannya datang dari negara India, China, Turki dan Magrib tetapi datang melalui arah tersebut melalui kegiatan perdagangan. Mubaligh-mubaligh dikatakan datang dan singgah di negara-negara tersebut terlebih dahulu sebelum datang menyebarkan Islam di Asia Tenggara. Hal ini juga adalah kerana mereka bukan sahaja datang ke Asia Tenggara untuk menyebarkan Islam semata-mata tetapi kedatangan mereka turut berasaskan urusan perdagangan. Hal ini kerana hubungan perdagangan Asia Barat dengan Nusantara telahpun berlaku sebelum kelahiran agama Islam lagi. Malah sifat berdagang telah lama wujud dalam kehidupan masyarakat Arab. Para penyebar Islam tersebut juga ada yang datang secara langsung dari Tanah Arab tanpa singgah di mana-mana tempat.
Seterusnya bahasa juga merupakan bukti penting bahawa Islam itu datang dari Arab kerana Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa penyebar Islam. Syed Naquib mengatakan orang-orang Arab yang mula-mula datang menyebarkan Islam di sini dengan sengaja memilih Bahasa Melayu sebagai pengantarnya kerana majoriti masyarakat Nusantara menggunakan Bahasa Melayu. Hal ini dapat dibuktikan kerana Bahasa Jawa atau Sanskrit tentu akan dijadikan sebagai bahasa pengantar jika Islam itu datang dari India kerana ianya merupakan bahasa agama.
Peringkat Perkembangan Agama Islam di Asia Tenggara
Dalam penyebaran pengaruh Islam di Asia Tenggara, Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah membahagikan tahap pengaruh tersebut kepada tiga peringkat atau fasa yang terdiri daripada peringkat asas, peringkat kerohanian dan peringkat Deislamization. Peringkat Asas memperlihatkan peranan utama fikh dalam mendedahkan masyarakat kepada konsep asas kepercayaan Islam iaitu Tauhid dan pengenalan Islam di Asia Tenggara pada peringkat awalnya hanyalah berkaitan aspek-aspek asas dalam Islam. Walau bagaimanapun, pada peringkat awal penyebaran Islam ini, terdapat masalah yang timbul kerana bahasa penyebaran yang digunakan ialah Bahasa Arab sedangkan bahasa masyarakat di Asia Tenggara adalah pelbagai. Justeru itu, para penyebar Islam seperti di Jawa terpaksa menggunakan konsep-konsep agama Hindu-Buddha yang estetik dalam memperkenalkan Islam kepada kehidupan masyarakatnya.
Peringkat kedua atau fasa Kerohanian pula merupakan kesinambungan daripada fasa asas tetapi tumpuan Muslim terhadap prinsip asas Islam telah berubah kepada unsur-unsur mistik iaitu aspek yang berkaitan tasawwuf, rasional dan elemen-elemen Intelektual. Pada peringkat ini, golongan sufi dan golongan Mutakallimun banyak menulis buku-buku berkaitan Islam dari perspektif masing-masing. Peringkat ini berlaku sekitar abad ke-16 dan ke-17 dengan. Penterjemahan Al-Quran dalam Bahasa Melayu telah dilakukan berserta syarahannya serta karya-karya dalam bidang falsafah, Tasawwuf dan ilmu kalam semuanya telah diselenggarakan. Fasa ini menandakan zaman rasionalisme dan intelektualisme tidak pernah berlaku pada zaman atau abad sebelumnya. Pemikiran dan pandangan masyarakat juga dikatakan telah berubah daripada dasar estetik kepada saintifik yang berpunca daripada penjelasan oleh para penyebar berkenaan konsep rasional Islam. Pada peringkat ini juga berlaku perubahan mazhab Syiah kepada mazhad Sunni (Shafie) di Nusantara.
Tahap ketiga atau fasa ini turut disebut oleh Syed Muhammad Al-Attas sebagai Deislamization yang menandakan bermulanya proses penyingkiran konsep dan pemikiran Islam melalui pengenalan konsep ``Moden” oleh barat. Peringkat Deislamization ini memperlihatkan kejayaan Islam dalam fasa 1 dan 2 terganggu apabila barat datang dan meletakkan pengaruhnya dalam masyarakat Asia Tenggara. Kedatangan barat telah membawa pengaruh Westernization dan memperkenalkan semula unsur-unsur Rasional, Intelektual dan Internationalisme yang dibawa oleh pendakwah Islam sebelumnya dan pengenalan semula ini adalah berasaskan pandangan barat yang berbeza daripada pandangan Islam. Malah, melalui pelbagai kosep yang dibawa oleh barat ini telah cuba meletakkan kedatangan Islam itu sebagai tidak berkepentingan, yang tidak membawa sebarang perubahan pada sejarah masyarakat Asia Tenggara itu sendiri. Hasil daripada tindakan barat yang telah memperkenalkan konsep dan idea-idea yang dianggap ``baru” yang dikemukakan secara samar-samar bagi tujuan menyaingi pengaruh pemikiran Islam telah memperlihatkan kejayaan dan proses Deislamizatian ini terus berlanjutan sehingga kini. Antara yang jelas dapat dilihat ialah pengasingan bahasa Melayu dari Islam melalui perubahan tulisan dari jawi ke Rumi.
Islam Datang dari Tanah Arab : Persamaan Pendapat dengan Syed Muhammad Naquib al-Attas
Secara umumnya Islam telah mula datang dari Tanah Arab bertapak di Nusantara pada tahun 674 M iaitu seawal abad ke-7 kerana dikatakan sudah terdapat petempatan orang Arab Islam di pantai Barat Sumatera. Teori ini bersesuaian dengan Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menjelaskan bahawa Islam yang datang ke Asia Tenggara adalah berasal dari Tanah Arab. Terdapat beberapa ahli sejarah tempatan dan ahli sejarah barat yang turut mengaitkan Islam yang ada di Asia Tenggara adalah asalnya dari Tanah Arab. Teori kedatangan Islam yang dikemukakan oleh sarjana barat seperti Snouk Hungranje yang mengatakan Islam di Alam Melayu berasal dari India adalah tidak tepat kerana adanya sikap bias dalam mengintepretasi data-data sejarah.
Penulis tempatan berpendapat bahawa terdapat bukti yang kukuh menunjukkan bahawa Islam yang di bawa ke rantau ini datang terus dari Semenanjung tanah Arab. Mahayudin Hj Yahaya (2001) turut menyokong teori yang dikemukakan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas. Menurut beliau, penyebaran Islam di Alam Melayu dapat dibahagikan kepada 2 tahap. Tahap pertama adalah kedatangan dan tahap kedua adalah tahap penyebaran. Kedatangan orang Arab ke Alam Melayu dapat dikaitkan dengan aktiviti perdagangan yang dijalankan oleh orang-orang Arab. Kepulauan Alam Melayu kaya dengan hasil bumi contohnya bau-bauan, kayu gaharu, kulit binatang, emas, perak, intan permata dan rempah.
Orang Arab yang datang menjalankan perniagaan di Alam Melayu merupakan penduduk selatan Semenanjung Tanah Arab iaitu Yaman. Orang Arab selatan (Yaman) menjalankan perniagaan dengan Arab utara memerlukan barang dagangan seperti bau-bauan, kayu gaharu, kulit binatang, emas, perak, intan permata dan rempah Tanah Melayu.
Selain itu, Abdul Rahman Hj. Abdullah memberikan pendapat yang sama tentang pengaruh orang Arab dalam penyebaran Islam di Asia Tenggara. Sebelum kelahiran Islam lagi sudah wujud hubungan di antara orang Arab dan Parsi dengan penduduk di Asia Tenggara. Mengenai faktor keperluan barangan perdagangan yang dibawa oleh pedagang Arab dan Parsi ke Asia Tenggara berlaku sebelum kelahiran Islam lagi.Hal ini terbukti dengan adanya pusat perniagaan iaitu Dhofar yang terletak di selatan Semenanjung Arab yang merupakan tempat persinggahan perdagangan jalan darat ke Syam dan Mesir.
Menurut al-Sabuni dalam “Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir” bahawa pada kafur ada kekuatan yang boleh mendingin (menahan dari rosak) dan mempunyai bau yang harum. Hamka menegaskan, perkataan “Kafur” yang terdapat pada ayat tersebut, membuktikan bahawa orang Arab telah belayar ke Indonesia lebih dahulu sebelum kelahiran Nabi Muhammad S.A.W lagi untuk membeli rempah dan kapur barus. Menurutnya kapur yang terdapat di Sumatera itu tidak tumbuh-tempat lain. Dari pernyataan diatas dapatlah ditegaskan bahawa sudah terdapat kesepakatan di kalangan sarjana Islam tentang berlakunya hubungan diantara pedagang Arab dengan Asia Tenggara sebelum abad ke 5 hingga ke zaman perutusan Nabi Muhammad S.A.W sebagai rasul pada kurun ke 7 masihi.
Menurut Abdul Rahman Abdullah, penggunaan kapur barus adalah sebagai punca kehadiran orang Arab ke Asia Tenggara pada abad ke 5. Ini terbukti dengan penggunaan kapur barus di dalam masyarakat Arab sebagai pengawitan dan mandi jenazah menjadi sesuatu yang penting berdasarkan sebuah hadis riwayat Jamaah dari Ibn Atiyah:
“Rasullah S.A.W masuk menemui kami ketika meninggalkan puterinya, maka sabdanya: mandikanlah ia tiga atau lima kali, atau jika kamu anggap perlu, lebih banyak lagi, dengan air bidara dan terakhir campurlah dengan kapur barus-atau sedikit kapur barus. Jika telah selesai, beritahulah kepadaku!”
Azyumardi Azra turut menjelaskan dalam Hikayat Raja-Raja Pasai (1350) iaitu Syaikh Ismail datang dari Mekah ke Pasai mengislamkan Merah Silu. Menurut beliau , orang-orang Arab memainkan peranan yang sangat penting dalam penyebaran Islam ke rantau Asia Tenggara. Penguasa Melaka juga turut di Islamkan oleh Sayyid Abd Aziz (orang Arab dari Jeddah). Syed Jamal Al-Alam yang diutus Sultan Uthmaniah bertanggungjawab membentuk corak kesultanan Islam di Sulu. Menurut sumber yang berkaitan dengan salasilah Kesultanan Sulu, Islam disebarkan di Sulu pada abad ke-8/14 oleh Syarif Aulia’ Karim Al-Makhdum.
Mohd Redzuan Othman turut mengupas Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu untuk menyokong teori Syed Muhammad Naquib al-Attas yang Islam itu datang dari tanah Arab. Hikayat Raja-Raja Pasai ada menjelaskan Pengasas Kerajaan Pasai (Merah Silu) bermimpi bertemu dengan Rasulullah lalu di Islamkan dan dikenali sebagai Sultan Malikul Saleh. Dalam Sejarah Melayu Peristiwa Sultan Muhamad Syah Melaka bermimpi dan bertemu dengan Rasulullah lalu diajarkannya syahadah dan dalam mimpi itu juga beliau diminta menjemput Sayyid Abdul Aziz di pelabuhan.
Hamka juga sependapat dengan Syed Muhammad Naquib al-Attas dan bersetuju Islam datang dari Tanah Arab dengan merujuk kepada sumber China. Di samping itu juga, beliau ada menggunakan pendapat T.W Arnold yang mengatakan bahawa pengaruh Arab di Asia Tenggara kerana terdapatnya aktiviti perdagangan di Ceylon dan lebih ramai di Canton. Pada abad abad ke-15, kedatangan Portugis di Asia Tenggara menggalakkan lagi perdagangan di antara orang Arab di China dengan penduduk di Asia Tenggara. Hamka turut menjelaskan catatan pengembara dari Venice, Marco Polo yang melawat Perlak 1292 M yang diperintah oleh Sultan Malikul Saleh yang beragama Islam.
Sarjana barat misalnya T.W Arnold, menolak Islam datang dari Coromandel dan Malabar. Pedagang Arab membawa Islam ketika mereka menguasai perdagangan Barat-Timur pada abad ke-7 dan ke-8. Pada abad ke-7, orang Arab pernah menjadi pemimpin Muslim dan berkahwin dengan penduduk peribumi. Selain itu, Keyzer ahli hukum Islam Belanda Islam menekankan bahawa Islam di Asia Tenggara ada kaitan dengan Mesir yang membawa pegangan mazhab Shafi’i.
Seorang lagi sarjana barat iaitu John Crawfurd. telah memperkenalkan teori Islam datang dari tanah Arab pada abad ke-7. Menurut beliau, sejak zaman Jahiliah lagi orang-orang Arab telah menjalankan kegiatan perdagangan di Asia Tenggara dan terdapat beberapa perkampungan orang Islam di timur dan barat Sumatera. Sementara itu pula,Veth (1878) mengatakan Islam datang dari Arab melalui perkahwinan.
Teori Bercanggah dengan Pandangan Syed Naquib Al-Attas
Seperti yang diketahui ahli-ahli sejarah tidak bersependapat dalam menentukan teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara. Mengenai daerah yang mula-mula menerima Islam, kebanyakan sejarawan bersetuju bahawa daerahnya ialah Sumatera atau Sumudra. Rata-rata sejarawan tempatan bersepakat bahawa kedatangan Islam ke Nusantara berlaku sejak abad ke-7 atau ke-8 Masihi. Kebanyakan sejarawan barat pula mengatakan Islam bermula pada abad ke-13 Masihi di Sumatera.
Islam datang dari India
Teori bahawa kedatangan Islam dari India ke Nusantara pertama kali dikemukakan oleh Pijnapel pada tahun 1872. Beliau telah membuat keputusan bahawa dakwah Islam di Nusantara berpunca daripada orang Arab tetapi tidak datang secara langsung dari negara Arab melainkan dari India iaitu Gujerat dan Malabar. Teori ini kemudiannya dikembangkan oleh Snouck Hurgronje yang melihat bahawa para pedagang di kota pelabuhan Dakka di India Selatan sebagai pembawa Islam ke Nusantara kerana pelabuhan ini dianggap sebagai perantara dalam perdagangan antara negara-negara Muslim (negara di Asia Barat) dan Hindia Timur. Snouck juga mengatakan bahawa penerimaan Gugusan Kepulauan Melayu bergantung kepada penerimaan India kerana ada hubungan perniagaan antara India dengan Asia Tenggara. Berdasarkan pendapat ini, kenyataan Islam adalah berasal dari Arab telah ditolak. Snouck Hurgronje juga telah membuat kajian mengenai kesusasteraan Indonesia dan dia telah menemui beberapa tulisan Parsi dalam cerita-cerita Melayu, Jawa dan Acheh yang menunjukkan persamaan bahawa Islam berasal dari India Selatan.
Snouck juga menyebut pada awal abad ke-15, 3 batu nisan telah ditemui di Pasai pada tahun 1407. Batu nisan ini dipercayai berasal dari Gujerat dan mempunyai persamaan dengan batu nisan Malik Ibrahim di Grisik yang meninggal dunia pada tahun 1418. Pada tahun 1912, Moquetta telah muncul teorinya dengan mengatakan bahawa batu nisan yang dijumpai di Pasai atau di makam Malik Ibrahim bertarikh 1419 Masihi di bawa masuk dari pelabuhan Cambay, Gujerat. Batu-batu ini dipercayai wujud dari abad ke-15 dan sesudahnya. Moquetta juga telah menemui batu nisan milik Malik al-Salih iaitu Raja Pasai pertama memeluk Islam. Pada batu ini tercatat tulisan Arab dan tahun kematian sultan iaitu pada tahun 1297. Berdasarkan kajian terhadap kedua-dua batu nisan tersebut, didapati kedua-duanya lebih mirip strukturnya dengan batu nisan Umar Ibn Ahmad Kazaruni di Gujerat. Justeru itu, beliau membuat kesimpulan bahawa kedua-duanya dibawa dari Gujerat.
Pendapat yang mengatakan Islam berasal dari India turut disokong oleh G.E. Morrison melalui penawanan Gujerat oleh orang Islam pada tahun 1297. Beliau juga merujuk kepada Pantai Koromandel sebagai pelabuhan tempat bertolaknya pedagang Muslim ke Nusantara. Beliau juga merujuk kepada orang-orang Moplah iaitu suatu bangsa yang terdapat di India mengakui bahawa keturunan mereka adalah imigran Muslim dari Iraq yang berhijrah ke India kerana kebengisan al-Hajjaj menjelang akhir abad ke-7.
Islam datang dari Cina
Hubungan Cina dan Arab dikatakan bermula sebelum kedatangan Islam lagi melalui perdagangan. Dikatakan pendakwah pertama ke negeri Cina ialah Wahab Abi Kabsyah yang diutus oleh Rasulullah S.A.W dan mayatnya dikebumikan di Canton. Penulis Cina-Islam, Lui Tshich turut melaporkan tentang kedatangan Saad Bin Abi Waqqas R.A di Canton dan turut dikebumikan di sana. Faktor utama wujudnya hubungan antara Cina dan Islam ialah apabila berlakunya pemberontakan panglima tentera An-Lu-Shan terhadap Maharaja Hsuan Tsung pada tahun 755 Masihi. Sepuluh ribu orang tentera Islam di bawah pimpinan khalifah Abu Jaafar yang berpusat di Turkistan telah dihantar ke Cina untuk membantu Maharaja Hsuan Tsung dan akhirnya pemberontakan tersebut dapat dipatahkan.
Sebagai mengenang jasa, maharaja membenarkan tentera Islam bermastautin serta berkahwin dengan wanita-wanita Cina. Malahan tempat kediaman dan tempat peribadatan juga ditanggung oleh kerajaan. Orang-orang Islam (Arab dan Parsi) semakin ramai datang ke Cina disebabkan perhubungan perniagaan yang baik di antara saudagar Muslim dan Cina. Mereka menjadikan Canton sebagai pusat perdagangan dan tempat berkumpul. Dalam masa pendudukan orang-orang Arab-Islam di Cina, berlakulah asimilasi dalam kebudayaan dan bahasa. Orang-orang Arab-Islam di Cina telah muncul sebagai golongan kaya dan dihormati disebabkan kegigihan dan kerajinan mereka bekerja sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan orang Cina kerana mereka hanya bekerja sebagai petani.
Rentetan daripada ini, pada tahun 878 Masihi iaitu ketika pemerintahan Hsi Tsung tercetus pemberontakan di Canton yang menyebabkan 100,000 orang warga asing terutamanya orang Arab terbunuh. Hal yang sama turut berlaku pada akhir Dinasti T’ang (618-905 M) di wilayah Yang Chow yang menyaksikan 5000 orang asing terbunuh. Kedua-kedua peristiwa ini menyebabkan orang-orang Islam (Arab-Parsi) melarikan diri dan mendapatkan perlindungan di Nusantara disebabkan kepentingan ekonomi yang menjadi asas teori daripada sejarawan bahawa Islam adalah dibawa dari Cina. Terdapat dalam catatan Dinasti Sung (960-1279M), bahawa kedatangan Islam ke Nusantara melalui sepanjang Pantai Laut Cina dan dibawa oleh pedagang-pedagang Islam dari Tiongkok di awal tahun 977 Masihi.
Rumusan
Secara keseluruhannya, dapatah dirumuskan bahawa sejarah kedatangan Islam adalah disebabkan saudagar-saudagar Arab yang datang ke Asia Tenggara, kerana setelah mereka memeluk Islam, mereka membawa agama itu ke Asia Tenggara termasuklah Gugusan Kepulauan Melayu. Sejarah menunjukkan saudagar-saudagar Arab datang ke Asia Tenggara melalui pelbagai jalan. Ada yang melalui jalan darat dari utara Parsi masuk ke Afghanistan, kemudian menyeberangi masuk ke negeri Cina menuju ke Canton dan dari Canton terus ke Gugusan Kepulauan Melayu. Ada yang melalui jalan laut melalui pesisiran India menuju ke Ceylon (Sri Lanka) dan terus menuju ke Gugusan Kepulauan Melayu. Oleh yang demikian, pembawa-pembawa Islam yang datang dari ketiga-tiga tempat iaitu Semenanjung Tanah Arab, India dan Cina telah bertemu di Asia Tenggara dan memainkan peranan untuk menyebarkan Islam di tempat-tempat yang mereka singgahi itu. Jelasnya, berketepatanlah dikatakan bahawa Islam di Asia Tenggara datang dari semenanjung Tanah Arab merupakan teori yang lebih dominan berdasarkan bukti kukuh yang dibahasakan oleh para sejarahwan.
BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Hj. Abdullah. 1990. Pemikiran Umat Islam Di Nusantara: Sejarah Dan Perkembangannya Hingga Abad Ke-19. Selangor: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Ahmad Ibrahim, Sharon Sharon Siddique, Yasmin Hussain. 1989. Islam di Asia Tenggara: Perspektif Sejarah. Jakarta : Penerbit LP3ES.
Al-Rahmaniah, 1990, Islam di Nusantara, Selangor: Jiwamas Printers Sdn.Bhd.
Azyumardi Azra, 1989, Perspektif Islam di Asia Tenggara. Jakarta : Yayasan Obor Indonesia .
Azyumardi Azra. 2002. Islam Nusantara : Jaringan Global & Lokal. Bandung : Penerbit Mizan.
Khoo Kay Kim, 1980, Tamadun di Malaysia, Kuala Lumpur: Percetakan United Selangor Sdn.Bhd.
Mahayudin Haji Yahaya. 2001. Islam Di Alam Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Mohammad Redzuan Othman. 2005. Islam & Masyarakat Melayu: Peranan & Pengaruh Timur Tengah. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 1999. Islam dalam Sejarah & Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur : Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
No comments:
Post a Comment