NUF

AMARAN

PERINGATAN.

PENTING
SEMUA BENTUK PENULISAN DALAM BLOG INI PERLU DINILAI DAN DIKAJI. JANGAN TERUS DI AMBIL TANPA MEMPERSOALKANNYA.

OK

BIJAK MEMBELI

Mahasiswa Pendidikan Sejarah

Mahasiswa Pendidikan Sejarah

Saturday, October 30, 2010

MUSLIM SELATAN THAI


Pengenalan

            Ketegangan dan keganasan di selatan Thai berlaku sebaik sahaja dasar penguasaan keatas kerajaan Melayu Patani. Isu-isu yang mendasari krisis tersebut tercetus sejak dahulu lagi dan apa yang berlaku pada hari ini merupakan rentetan peristiwa masa lalu. Walaupun pemerintahan Thai saling silih berganti tetapi krisis ini tetap berlaku. Dasar-dasar pemerintah ke atas wilayah selatan Thai terutama dalam bidang politik dan ekonomi inilah yang membawa kepada krisis. Menurut kerajaan Thai isu yang mendasari krisis merupakan isu berkaitan dengan politik dan ekonomi sahaja, tiada kaitannya dengan agama. Manakala bagi Melayu Muslim, isu utamanya adalah agama. Di mana dasar-dasar yang dijalankan kerajaan Thai banyak menyentuh agama dan sekatan agama. Oleh itu, mereka perlu berjihad dan berjuang untuk mendapatkan hak mereka sebagai seorang muslim. Perjuangan mereka juga bagi membebaskan negeri mereka daripada cengkaman Thai. Dasar politik dan ekonomi merupakan dasar yang membawa kesan kepada sosiol masyarakat seperti budaya, bahasa, agama dan adat warisan Melayu. Antaranya  yang dilaksanakan oleh Phibun Songkram selepas berjaya menguasai politik Thai iaitu polisi Rattaniyom yang membawa kepada kesan sosial seperti masalah identiti.

Latar belakang

            Selatan Thai pada hari ini telah dibahagikan kepada empat bahagian yang utama iaitu Patani, Yala dan Naratiwat dan Satun. Tetapi tiga wilayah yang bergolak dan penuh dengan ketengangan adalah Patani, Yala dan Naratiwat. Ketiga-tiga wilayah ini pada asalnya merupakan merupakan sebahagian daripada Alam Melayu serta merupakan satu Melayu kerajaan yang penting pada abad ke 18 dan awal abad ke 19 yang dikenali sebagai Kerajaan Melayu Patani. Wilayah tersebut diserap sepenuhnya dibawah kerajaan Thailand akibat dasar perluasan kuasa yang dilakukan oleh Siam pada ketika itu . Selatan Thai secara rasminya menjadi wilayah Siam pada tahun 1902 dan serta diiktiraf oleh British melalui Perjanjian Bangkok 1909.  Penaklukan   tersebut telah mewujudkan muslim di selatan Thai sebagai satu minoriti di dalam negara Thailand yang  80% daripada penduduknya berbangsa siam dan beragama Buddha. Setelah menjadi sebahagian daripada Thai, Melayu Islam Thai menjadi masyarakat minoriti iaitu 4% daripada penduduk Thai.
Pada  peringkat awal, siam telah membahagikan kerajaan melayu pada masa tersebut kepada tujuh bahagian  dan ditadbir oleh raja-raja Melayu yang dilantik oleh kerajaan siam,  raja-raja Melayu dibenarkan bebas mentadbir wilayah tersebut dengan bebas. Seterusnya dasar siam telah berubah dengan membahagikan wilayah-wilayah selatan tersebut kepada empat bahagian seperti yang wujud pada hari ini iaitu Patani, Yala, Naratiwat dan  Satun. Pembahagian wilayah ini telah melenyapkan peranan raja-raja melayu  seterusnya melantik seorang gabenor bagi mentadbir di setiap wilayah tersebut. Gabenor yang dilantik berketurunan siam dan beragama Buddha. Dasar –dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Siam selama seratus tahun yang lalu telah menjadi isu-isu yang mendasari krisis muslim  di selatan Thai pada hari ini.

Politik 
Masalah utama yang berlaku adalah ketidakpuasan politik
             Pengaruh Siam dalam politik di patani atau wilayah selatan thai benarnya bermula pada zaman pemerintahan Rama 1. Ini  berlaku apabila setiap perlantikan raja-raja tempatan perlu mendapatkan pengesahan daripada kerajaan Thai. Kerajaan Thai sudahpun menunjukkan sikap dan kekerasan terhadap penduduk tempatan sejak awal-awal pengaruhnya lagi. Penentangan telah berlaku secara besar-bsaran  pada tahun 1789 dibawah pimpinan Tengku Lamidin dan pada 1809 di bawah pimpinan Datu Pangkalan. Pada zaman pemerintahan Rama II , pelaksanaan polisi pecah dan perintah telah melemahkan kuasa negeri-negeri tersebut. Seterusnya pada pemerintahan Raja Chulalonkorn dan Vajiravudh telah diperkenalkan satu dasar penyusunan semula wilayah yang dikenali sebagai Thesaphiban yang mana bertujuan untuk mewujudkan integrasi kebangsaan serta mengukuhkan kedudukan Wangsa Chakri. Dasar tersut telah dilaksanakan di bawah Kementerian dalam negeri. Pelaksanaan dasar ini menyebabkan para pembesar melayu dipaksa melepaskan kuasa memerintah kepada pemegang kuasa baru iaitu Pesuruhjaya yang bertanggunjawab kepada Kementerian Dalam Negeri.
            Pada 1932, satu perubahan politik yang besar berlaku di mana sisitem kerajaan monarki telah bertukar menjadi pemerintahan beraja  berperlembagaaan. Keadaan ini memberi harapan kepada  Melayu muslim di selatan Thai kerana wujudnya perlembagaan akan memberi ruang kepada mereka mendapat konsesi daripada kerajaan pusat bagi mengekalkan autonomi berhubung dengan agama, budaya dan bahasa mereka. Malangnya revolusi ini menjadikan orang Siam lebih bersemangat kebangsaan , mereka telah menyusun dasar bagi pembentukan negara Siam sejati berasaskan kepada satu agama, bahasa,bangsa dan kebudayaan siam.
            Pada pemerintahan Phibun songkram (1937-1944), beliau telah melaksanakan dasar  Rattaniyom. Atau dasar adat resam siam. Di bawah dasar ini penduduk tanpa mengira bangsa dikehendaki berpakaian ala Eropah, bertopi dan makan dengan sudu. Dalam  memastikan kejayaan dasar tersebut phibun telah menghapuskan musuh-musuh terutama orang yang menentang beliau. Pada masa ini ramai penduduk tempatan berhijrah ke Kelantan bagi mengelak paksaan yang dijalankan oleh Phibun dalam usahanya menyebarkan dasar tersebut. Selepas kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua iaitu pada tahun 1948-1957, Phibun telah mengambil tindakan khusus yang lebih lembut terhadap Melayu Muslim di selatan Thai akibat daripada penentangan semasa pemerintahannya yang pertama.
Walaupun dikatakan dasar yang lebih lembut, 7 hari selepas pemerintahannya satu pergaduhan telah tercetus antara Melayu Muslim dengan polis Thai di Dusun Nyior. Keadaan itu menyebabkan ramai Melayu Muslim berhijrah ke Tanah Melayu, ini membimbangkan kerajaan Phibun akan wujudnya penentangan melayu Tanah Melayu. Beliau menyeru masyarakat selatan Thai tinggal di Thai dan beberapa perubahan dilakukan bagi menarik perhatian dan mengambil hati  muslim di selatan Thai. Antara perubahan yang dilakukan adalah mengistiharkan hari Jumaat hari cuti pejabat kerajaan bagi empat wilayah selatan serta perubahan dalam bidang pendidikan adalah meluluskan undang-undang pengajaran melayu di sekolah rendah. Walaubagaimanapun kehidupan Melayu muslim tetap dikawal dengan pengistiharan darurat pada september 1948.
             Kerajaan dibawah pimpinan Sarit Thanarat dan Thanom Kitikachon yang merupakan pemerintahan tentera telah menjadikan asimilasi masyarakat muslim selatan sebagai sasaran utama. Penguasaan ke atas ketenteraan menjadikan kuasa lebih besar telah merancakkan lagi pelaksanaan polisinya. Menyedari betapa pentingnya pendidikan pondok kepada masyarakat muslim, kerajaan pada masa ini menjalankan mengawal pondok-pondok di selatan Thai. Keadaan ini menimbulkan rasa tidakpuas hati muslim kerana merasakan kedudukan pondok akan terjejas sebagai pusat kepada penyebaran agama Islam serta budaya masyarakat berkenaan. Melayu muslim menyedari bahawa jika masih di bawah pemerintahan, mereka akan terus dicengkam  dan tiada kebebasan dalam melakukan apa-apa aktiviti. Pada tahun 1960, Barisan Revolusi Nasional Melayu Bersatu Patani (BRN) telah ditubuhkan bertujuan menuntut kemerdekaan. Kerajaan Thanom, banyak terjadi demonstrasi yang membawa kepada pertumpahan darah dalam peristiwa yang dahsyat yang dikenali sebagai hari kecelakaan besar. Akibatnya kerajaan Thanom jatuh dan digantikan dengan kerajaan demokrasi.
            Kerajaan ini tidak bertahan lama, apabila tentera telah menjalankan rampasan kuasa pada 6 oktober 1976. Pemerintahan  tentera banyak melakukan penindasan dan kezaliman terhadapmuslim di selatan Thai. Mereka dengan bermaharaja lela telah melakukan pembunuhan yang kejam. Antara yang menjadi sasaran adalah guru-guru agama dan ahli jawatankuasa  pembela rakyat. Keadaan ini menimbulkan ketakutan terhadap muslim dan ramai daripada mereka berhijrah ke Mekkah dan Malaysia.
            Walaupun pemerintahan bertukar serta pembaharuan polisi dan politik Thai dilancarkan tetapi kezaliman dan keganasan masih berlaku ke atas muslim di selatan Thai. Pada tahun 1980 hingga  1996,  rancangan harapan baru telah dijalankan khusus untuk masyarakat Melayu selatan Thai. Di bawah rancangan ini, konsep baru ditonjolkan bagi mengeratkan hubungan antara muslim dengan golongan tentera. Dalam tahun tersebut juga terdapat beberapa  demonstrasi penting yang dilancarkan sebagai protes dasar dan polisi yang dijalankan kerajaan Thai terhadap penduduk selatan Thai.  Antaranya demonstrasi menentang penempatan patung berhala di sekolah kebangsaan, demonstrasi hijab dan demonstrasi Masjid kerisek.  
Terbaru demonstrasi di Tak Bai telah menunjukakan penindasan tentera terhadap muslim, ketika ini Thai dibawah pemerintahan Thaksin Sinawatra. Pihak tentera telah mematahkan satu demonstrasi di luar balai polis Tak Bai, selatan Thailand, menahan lebih 1000 orang awam, menyumbatkan mereka di dalam trak dengan menindihkan mereka antara satu sama lain dan memandu trak tersebut selama enam jam. Tujuh puluh lapan orang daripada mereka yang ditahan itu telah terbunuh. Peristiwa 11 september telah menguatkan lagi kegiatan ketenteraan kerajaan Thai dalam melakukan penindasan di atas alasan  ingin menghapuskan golongan pengganas.  Ketika ini juga berlaku penindasan dan kezaliman tentera Thai. Sehingga ke hari ini banyak kejadian pengeboman yang melibatkan kematian penduduk awan. Dasar tersebut melukakan hati muslim di selatan Thai.

Ekonomi

            Berdasarkan  kajian terhadap  sudut ekonomi, masalah kemiskinan dan kurang kemajuan juga menjadi isu yang mendasari krisis selatan Thai sejak dahulu hingga ke hari ini. Walaupun wilayah di selatan Thai kaya dengan sumber-sumber semulajadi, tetapi kekayaan tersebut telah diekploitasi oleh kerajaan Thai. Kebanyakan masyarakat muslim di selatan Thai bekerja sebagai petani dan nelayan serta hidup dalam kemiskinan. Walaupun pelbagai projek-projek dijalankan  selepas perang dunia yang kedua terutama semasa pentadbiran Sarit di Bangkok tetapi ramai antara Melayu Muslim di selatan Thai berada dalam kemiskinan. Keadaan ini berlaku disebabkan dasar serambang dua mata , kerajaan Thai dalam proses mengasimilasikan penduduk Melayu Muslim dengan siam. Setiap dasar dan polisi dalam ekonomi yang dijalankan mempunyai matlamat yang lain.
Kerajaan Thai membawa masuk orang siam dari wilayah utara untuk mengusahakan dan melaksanakan projek pembangunan pengeluar secara komersial terhadap getah dan kelapa.yang dijalankan. Projek pertanian di hutan di Yala Dan Naratiwat , projek perairan laut di Pattani. Keadaan tersebut menimbulkan ketakutan dalam diri muslim selatan Thai kerana dikhuatiri mereka akan kehilangan hak di tanah sendiri terutamanya berkaitan dengan tanah serta menjadi bertambah miskin jika perancangan asal kerajaan Thai berjaya. Petikan yang diutarakan peter G. Gowing dalam artikelnya yang bertajuk Moros and Khaek: The Position Of Muslim Minoritise in Philipines and Thailand, menunjukkan betapa risau dan takutnya melayu muslim selatan Thai terhadap dasar ekonomi kerajaan itu;
Partly for the  purpose of developing plantations for these and  other cash crops, and partly to introduce an ethic mixture into the predominantly Malay south, the Thai goverment has sponsored, since World War II, the resettlement of thousand of non –Muslim from other part of the country in the more sparsely inhabited interior districts of the southern provinces. Thai muslim fear that, in time, they will be submerged in their own homeland by non-Muslim and that this is the government’ real plan.”
Pada pemerintahan Sarit melalui pelaksanaan Rancangan Pembangunan Ekonomi Kerajaan, projek pembukaan tanah di selatan yang tertumpu di tiga wilayah bersempadan dengan Malaysia iaitu Yala, Naratiwat dan Satun. Dalam rancangan ini , ramai penduduk dari kawasan utara di bawa masuk ke wilayah tersebut. Ini  menimbulkan kecurigaan dikalangan muslim di wilayah tersebut. Tempat yang menjadi kediaman mereka adalah satu kawasan hutan yang mempunyai strategic penting ketenteraan. Kerajaan masyarakat Buddha tersebut juga dapat digunakan pada bila-bila sahaja sebagai tentera sukarela. Di wilayah Patani pula, projek Tali Air telah dilaksanakan. Dalam rancangan ini juga kerajaan membawa masuk masyarat Buddha. Oleh itu, walaupun dilancarkan rancangan ekonomi tetapi muslimThai masih hidup dalam kemiskinan  kerana aktiviti ini lebih didominasikan oleh masyarakat Buddha yang dibawa masuk itu. Rancangan ini lebih bermotifkan politik iaitu usaha mengasimilasikan muslim.

Pendidikan

Pendidikan merupakan institusi yang digunakan oleh pemerintah siam dalam proses integrasi penduduk Thai terutama minoriti muslim ke dalam kebudayaan Thai.  Langkah pertama yang diambil oleh Thai ialah mengenakan akta pendidikan rendah 1921, di mana ia mewajibkankan pelajar Melayu Muslim untuk di sekolah rendah  Thai. Di bawah akta pendidikan rendah , kanak-kanak yang cukup umur persekolahan diwajibkan bersekolah di sekolah kerajaan. Di sekolah ini kanak-kanak diajar tentang kehidupan Buddha dan pembelajaran yang popular berkaitan dengan ethnics,moral dan tingkah laku yang baik. Dasar pendidikan yang diamalkan seiring dengan pengajaran agama Buddha. Orang-orang muslim menolak pendidikan siam kerana ia dilihat sebagai satu proses mengsiamkan mereka. Pengajaran agama Buddha merupakan suatu matlamat pembelajaran bagi persekolahan pertama di Thailand. 
Pengawalan sistem pendidikan pondok yang terkenal dalam masyarakat melayu  Islam juga telah dilaksanakan. Pentadbiran siam telah mewajibkan  pondok didaftarkan di bawah akta pendidikan pondok; tujuannya memudahkan pengawalan aktiviti kurikulum dan kegiatannya. Banyak  pondok-pondok telah didaftarkan.  Setelah dapat mengawal pondok, di bawah pemerintahan Thanom kerajaan Thai telah melaksanakan dasar penting iaitu rancangan mengubahkan pondok menjadi  sekolah-sekolah rakyat mengajar agama islam.sistem sekolah yang lebih moden dilaksanakan melalui sukatan mata pelajaran. Permodenan kurikulum berdasarkan akta pendidikan Thai seperti Pelajaran moden menjadi sebahagian kurikulum, ajaran Islam dan bahasa arab juga menjadi pelajaran utama, guru-guru dilatih oleh kerajaan dan sekolah mendapat bantuan kerajaan. Mana-mana sekolah pondok yang enggan mengubah corak pengajaran dan pembelajaran berdasarkan apa yang ditetapkan tidak akan diberi bantuan kewangan.
 Mengharamkan sekolah pondok yang tidak berdaftar, dan penubuhan pondok baru tidak dibenarkan. Walaupun pondok masih beroperasi tetapi ia dijadikan  sekolah agama rakyat.hakikatnya kerajaan Thai berusaha menyekat sistem pendidikan  yang berdasarkan agama islam. Terbukti apabila pada 12 september 2007 bersamaan dengan satu ramadan dan muslim di selatan Thai sedang berpuasa , sebuah sekolah agama telah dibakar.

Hubungan Antara Muslim Dengan  bukan Muslim

Golongan bukan  muslim terutamanya masyarakat umum mempunyai pandangan yang negetif terhadap muslim di selatan Thailand. Mereka mengelar muslim sebagai orang khaek. Perkataan  khaek dalam bahasa Thai bermaksud pelawat dan juga kaum pendatang. Keadaan ini amat tidak disenangi oleh golongan  melayu Islam di selatan Thai kerana mereka telah mendiami tanah tersebut sejak berabad lamanya daripada keturunan nenek moyang mereka lagi. Selepas satu abad kemudian, mereka dikenali sebagai orang muslim Thai, muslim tidak suka dengan gelaran tersebut disebabkan ‘Thai’membawa maksud siam atau    bangsa siam. Muslim di selatan Thai mahu dikenali sebagai orang melayu ataupun orang  Islam melayu. Reading  on Islam in Southeast Asia menyatakan satu soal selidik telah dilakukan ke atas golongan majoriti Thai tentang orang Islam di selatan Thai, mereka menyatakan orang melayu Islam adalah pemalas dan kurang bijak berbanding orang Buddha. Bukan muslim suka merendah-rendahkan kedudukan muslim dengan menyatakan mereka bangsa pendatang. . Sebenarnya Melayu muslim di selatan Thai merupakan mangsa kepada pandangan stereotype dan salah anggap masyarakat Thai.
Masyarakat bukan Islam juga amat prejudis terhadap masyarakat yang beragama dan berbudaya berbeza daripada mereka. Hubungan antara pemerintah dan pentadbir siam dengan orang Melayu Islam juga tidak baik. Keadaan ini disebabkan pemerintah siam juga tidak peka dengan isu-isu sensitif di selatan Thai dalam proses integrasi nasional telah menghasilkan permusuhan dan ketidakpercayaan dalam  masyarakat Melayu Islam. Keadaan ini menimbulkan hubungan yang tegang di antara kedua-dua belah pihak. Dasar-dasar dalam pentadbiran terutamannya semasa pemerintahan Phibun telah menghilang kepercayaan penduduk muslim terhadap kerajaan Thai.
Sikap pentadbiran siam di peringkat wilayah yang mengamalkan diskriminasi, korupsi dan penindasan telah menimbulkan perasaan tidak puas hati golongan muslim. Keganasan tentera serta polis Thailand terhadap masyarakat tempatan sentiasa berlaku dan menyebabkan muslim hidup dalam ketakutan. Dasar ekonomi yang dilaksanakan, walaupun pada dasarnya untuk tujuan meningkatkan ekonomi muslim selatan Thai  tetapi waktu yang saya membawa masuk penduduk wilayah utara telah menimbulkan curiga pada muslim di Thailand. Persepsi stereotype bukan islam terhadap muslim di  SelatanThai khususnya dan perasaan curiga serta ketidakpercayaan muslim selatan Thai terhadap pemerintah dan bukan muslim meningkatkan lagi krisis serta ketegagan di antara mereka.

Masalah identiti  

Masalah identiti di mana berlakunya pertembungan identiti dalam usaha kerajaan Thai melaksanakan konsep negara bangsa ( bangsa, agama dan raja) ; bangsa siam, agama Buddha dan ketaatan kepada raja pada 1932. Pemimpin siam mula menyusun dasar bagi pembentukan negara siam yan sejati berasaskan satu agama, bangsa, bahasa dan kebudayaan siam. Dasar tersebut menyebabkan timbul kerisauan dikalangan Melayu Muslim Selatan Thai akan kehilangan identiti diri mereka. Dasar asimilasi ke arah kebudayaan dijalankan melalui sistem pendidikan. Pada pemerintahan Phibun melalui konsep ini telah digubal dasar siam Rathaniyom yang mesti diamalkan oleh semua penduduk Thailand, melalui dasar ini kaum lelaki digesa memakai seluar panjang, berkemeja, berkasut dan bertopi serta mengamalkan cara hidup barat. Melalui dasar tersebut penduduk Thailand telah diwajibkan mengamalkannya termasuk orang melayu di selatan Thailand.
Bangsa Melayu, identitinya asalnya berbahasa Melayu, beragama Islam,  berpakaian warisan melayu seperti kain pelikat,  dan sarung, nama-nama melayu pengaruh arab serta adat-adat melayu lain. Dengan pembentukan dasar tersebut bermaksud mereka perlulah meninggalkan warisan  dan jati diri sebagai bangsa melayu. Keadaan ini telah menimbulkan ketidak puasan hati masyarakat Melayu Islam Patani, dan menjadi asas penentangan pada akhir tahun 1950’an, 1960’an dan 1970’an. Dasar tersebut juga mahu menyerapkan budaya siam dalam kehidupan semua  orang. Muslim di selatan Thai tidak mahu menjadi seperti saudara muslim merka di Satun. Mereka telah berjaya diasimilasikan dalam kebudayaan  Thai.

Bahasa

            Bahasa merupakan alat perhubungan serta alat komunikasi  antara anggota dalam kelompok masyarakat. Bahasa juga menjadi sebahagian dari kebudayaan dan agen transmisi kebudayaan tersebut yang juga merupakan simbol bangsa sesuatu bangsa.setiap bangsa mempunyai bahasa sendiri. Begitu juga dengan Melayu Islam selatan Thai yang sudah diketahui berbahasa Melayu. Melalui perlembagaan 1932, bahasa Thai menjadi bahasa rasmi negara dan wajib dipelajari serta diamalkan oleh semua penduduk Thai. Pemerintah Thailand telah mewajibkan muslim di selatan Thai berbahasa Thai, setiap urusan dalam kerajaan perlu menggunakan bahasa Thai.  Keadaan ini menimbulkan dilema ke atas melayu muslim di  selatan Thai sama ada mempertahankan bahasa sendiri ataupun beralih kepada bahasa tersebut. Asimilasi bahasa ini dilakukan melalui sistem pendidikan. Pendidikan di sekolah agama dan pondok, diwajibkan bahasa pengantarnya bahasa Thai. Malah terdapat satu terjemahan al-quran dalam bahasa Thai di bawah versi Haji Ibrahim Qureshi.
Situasi ini menimbulkan kemarahan dan kegusaran muslim kerana dikhuatiri lenyapnya bahasa Melayu Patani. Pada abad ke-18 dan ke-19, bahasa Melayu Patani berfungsi sebagai bahasa ilmu  yang meningkatkan Patani sebagai pusat tamadun kesusasteraan Melayu-Islam menerusi  karya kitab  oleh para ulamak. Malah muslim selatan Thai amat memandang berat soal bahasa kerana bahasa Melayu ada hubung kait dengan agama Islam. Bahasa Melayu Patani merupakan pengikat yang dapat memisahkan antara bangsa Melayu dengan bangsa lain. Bahasa Melayu Patani juga telah mengadoptasi tulisan arab yang dikenali sebagai tulisan jawi. Bahasa melayu begitu berkait dengan Islam terutama dalam upacara agama.
Antara dasar yang dilakukan untuk mewajibkan muslim selatan Thai berbahasa Thai serta merencatkan perkembangan bahasa Melayu: Pengharaman penubuhan institusi pengajian dan pelajaran bahasa Melayu, pengharaman penerbitan akhbar dan majalah berbahasa Melayu, nama-nama tempat yang sebelum ini dikenali dengan nama Melayu ditukarkan kepada siam. Keadaan  ini menimbulkan ketidakpuasan hati melayu islam selatan Thai kerana penghapusan bahasa melayu juga memberi kesan kepada ajaran agama Islam.

Agama

Menurut perlembagaan 1934, agama rasmi adalah Buddha. Agama Buddha banyak mempengaruhi golongan siam. Pada peringkat awal, kerajaan Thai membuat dasar kebebasan agama. Keadaan ini dapat dibuktikan melalui perlembagaan 1934 di mana raja Thai adalah ketua bagi agama Buddha di Thailand , dan juga pelindung ’patron’ kepada agama selain bukan Buddha dalam negeri. Situasi ini juga menimbulkan ketakutan kepada masyarakat Islam keadaan tersebut juga menampakkan proses integrasi orang Islam kepada Buddha.
Kempen kebudayaan Rathaniyom pada zaman Phibun telah menandakan bermulanya  proses membuddha masyarakat muslim di selatan Thai. Kerajaan pimpinan Phibun telah mengawal kehidupan keagamaan masyarakat dengan tujuan  menyamakan semangat kasihkan negara dengan Buddha. Pengawalan masyarakat Islam Dalam kegitan keagamaan dapat dilihat melalui pengawalan masjid dan juga pendidikan pondok. Phibun juga telah menghapuskan undang-undang Islam, 1944 jawatan kadi telah dihapuskan. Dalam satu penyataan rasmi Thai, untuk menjadi seorang warganegara yang baik dan setia orang muslim di Selatan Thai perlu meninggalkan kepercayaan mereka dan menerima agama Buddha sama seperti masyarakat cina di Thai. Selepas  kejatuhan Phibun Songkram pada tahun 1945 Perlindungan Undang-undang Islam dilaksanakan bagi mengambil hati muslim di Selatan Thai, akan tetapi pada masa yang sama campurtangan kerajaan Thai dalam bidang agama semakin kuat.  Hakim-hakim Islam mesti mendapatkan nasihat atau merujuk kepada hakim-hakim Thai dalam menyelesaikan kes-kes yang melibatkan kekeluargaan.
Antara langkah yang dijalankan dalam proses membuddha masyarakat melayu Islam, orang Islam dilarang berkumpul untuk sembahyang Jumaat, dilarang mengadakan perayaan agama kecuali pada hari raya sahaja, buku-buku agama diterjemah dalam bahasa Thai dan dicetak lambang berhala di kulit buku, patung-patung berhala diletakkan di setiap sekolah walaupun mijoriti pelajar beragama Islam. Keadaan tersebut menjadikan muslim di Selatan Thai tidak dapat mengamalkan cara hidup sebagai seorang muslim sepenuhnya. Mereka dapat merasakan bahawa kehidupan sebagai seorang muslim telah disekat dan tidak mempunyai kebebasan beragama. Situasi ini telah menimbulkan suasana ketegangan antara muslim dengan pemerintah Thai. Mereka telah berusaha untuk mendapat kuasa autonomi bagi wilayah selatan Thai  agar mendapat kebebasan beragama.




Kesimpulan

            Dasar-dasar kerajaan dalam politik adalah punca penting krisis yang berlaku di selatan Thai.begitu juga dengan dasar ekonomi,walaupun dibawah konsep pembangunan ekonomi tetapi matlamat dasar adalah politik, di mana melalui dasar pembangunan ini dijalankan aktiviti asimilasi dengan mengimbangkan bilangan penduduk muslim dengann Buddha. Dasar –dasar tersebut telah menimbulkan pelbagai masalah kepada muslim selatan Thai seperti maslah membuddhakan muslim, masalah kehilangan identiti serta masalah bahasa dan agama. Keadaan keamanan dan bebas daripada krisi dapat dicapai sekiranya pihak pemerintahan Thai peka berkaitan dengan soal-soal sensitif seperti agama. Penduduk di selatan Thai perlu diberi hak autonomi terhadap agama, bahasa dan budaya mereka. Kerajaan Thai perlu memahami sejarah asal Wilayah selatan Thai yang berasal daripada kerajaan Islam Patani dan merupakan sebahagian daripada rumpun Melayu. Perbezaan tersebut perlu difahami dan dihormati dalam mencapai kehidupan yang aman dan tenteram.

Bibligrafi

 Abdul Moir Yaacob dan Zainal Azam Abdul Rahman (Edt) , 2002. Muslim’s Righat : In
Non-Muslim Majority Countries. Kuala Lumpur : Institute Of Islamic Understanding Malaysia(IKIM).

Ahmad Fathy al Fatani, 1994. Pengantar Sejarah Patani. Kedah : pustaka Darulsalam.

Ahmad Ibrahim, Sharon Siddique dan Yasmin Hussain, 1985. Reading On Islam in
Southeast Asia. Singapura : institute of southeast Asian Studies.

Craig J. Reynolds (edt), 2002. National Identity And Its Defenders Thailand Today.
Thailand : Silkworm Books.

Farid Mat Zain, Zulkarnain Mohamed, dan Samsu Adabi Mamat (terjmah), 1998.
Minoriti Muslim Di Thailand.  Selangor : Penerbit L Minda.

George Mcturnan Kahin (Edt), 1982.  Kerajaan Dan Politik Asia Tenggara. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.

K. S. Nathan dan Mohammad Hashim Kamali (edt), 2005, Islam In Southeast Asia
Political, Social And Strategic Challenges For The 21 St Century, Singpura : Institute Of Southeast Asian Studies.
           
M. Ali Kettan, 2005. Minoritas Muslim Di Dunia Dewasa Ini.  Zarkowi Soejoeti  
(Pterjmah.). Jakarta : PT Raja Grafindo Persada.

Mohd Zamberi A. Malik,1994. Patani Dalam Tamadun Melayu. Kuala lumpur: Dewan
Bahasa Dan Pustaka.

Nik Anuar Nik Mahmud, 1999. Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1954. Bangi :
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Seni Mudmarm  Saiful Muzani (Edt), 1993, Pembangunan Dan Kebangkitan Islam Di
Asia Tenggara. Jakarta ;Pustaka LP3ES Indonesia.  

Diperoleh pada 20 ogos 2007  dari  http://ms.wikipedia.org/wiki/Pattani

Diperoleh  pada  2 september  2007  dari www.malaysia-today.net



No comments:

Post a Comment