NUF

AMARAN

PERINGATAN.

PENTING
SEMUA BENTUK PENULISAN DALAM BLOG INI PERLU DINILAI DAN DIKAJI. JANGAN TERUS DI AMBIL TANPA MEMPERSOALKANNYA.

OK

BIJAK MEMBELI

Mahasiswa Pendidikan Sejarah

Mahasiswa Pendidikan Sejarah

Saturday, October 30, 2010

: PERHUBUNGAN ANTARA NEGARA ARAB DAN ASIA TENGGARA


PENGENALAN
            Jalinan perhubungan antara Negara Arab dan asia tenggara telah lama berlaku iaitu semenjak zaman sebelum kedatangan Islam lagi. Malah ada pendapat yang menyatakan wujudnya hubungan antara dua budaya ini sejak zaman Jahiliah lagi. Perhubungan dua hala ini melibatkan masyarakat dari semenanjung Arab iaitu Yaman, Parsi, Turki, Syam, Mekah, dan Madinah dan bagi Nusantara pula seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei, dan Pattani. Perhubungan yang utuh ini dijalinkan menerusi tiga proses kedatangan iaitu perdagangan, penyebaran agama Islam, dan kepentingan politik. Ketiga-tiga proses ini mempunyai keterkaitan yang sangat rapat dan berkembang mengikut perkembangan masa. Pertembungan dua hubungan ini melengkapkan lagi ketamadunan masyarakat Nusantara secara langsung dan menyumbang kepada perkembangan persejarahan dunia secara tidak langsung.
JALINAN PERHUBUNGAN DUA KEBUDAYAAN
PERDAGANGAN
            Masyarakat Arab hadhari merupakan masyarakat kota yang menjalankan kegiatan perdagangan sebagai sumber ekonomi utama. Menurut Syed Sulaiman Nadvi dalam bukunya ard al-quran menyatakan sejak dari dulu lagi, masyarakat Arab sibuk dengan kegiatan perdagangan darat dan laut.Pada awal permulaan aktiviti perdagangan dengan China, para pedagang Arab menggunakan laluan darat iaitu laluan sutera yang bermula dari Syria, melalui Khurasan, Afghanistan dan Mongolia untuk berdagang dengan China dan membawa pulang barangan  dari Asia Tenggara. Namun selepas abad ke-8, para pedagang mula beralih arah mengikut laluan laut untuk berdagang dengan China kerana laluan sutera telah mengalami banyak kemusnahan akibat perebutan antara mereka yang berkepentingan. Penutupan laluan sutera ini seterusnya mengakibatkan para pedagang Arab mula beralih arah melalui jalan laut iaitu berulang- alik disepanjang Lautan Hindi dan Laut China Selatan dan perjalanan ini memerlukan mereka melalui pintu sempit iaitu kawasan Nusantara.
Nusantara seterusnya dijadikan sebagai pelabuhan transit kapal dagang Arab sebelum mereka meneruskan perjalanan ke China. Malah kekayaan hasil bumi Nusantara seperti lada, rempah ratus, kayu gahara, batu permata dan kapur barus turut dijadikan barang dagangan untuk dibawa pulang ke semenanjunag Arab iaitu barangan yang dahulunya diterima dari pedagang Cina. Ini dapat dibuktikan melalui kemahsyuran kapur barus kerana pernah sampai ke negara Rom seperti yang dicatatkan oleh Claudius Ptolemy dalam bukunya Geographia  yang menyebut mengenai barousai iaitu kapur barus. Pertembungan ini menyebabkan ada dikalangan para pedagang Arab telah membina penempatan di Nusantara seperti pedagang Arab Hadramaut yang membina penempatan di Sumatera pada awal abad ke-4M lagi dan ada juga yang sebelumnya telah berpindah ke kawasan Gujerat. Pada abad ke-9M, di zaman dinasti Tang telah berlaku pemberontakan petani di Canton di bawah pimpinan Huang Chao yang menyebabkan beratus ribu orang asing terbunuh yang kebanyakannya orang Arab dan Parsi. Mereka yang terselamat dan berjaya melarikan diri ke kawasan Asia Tenggara dan membina penempatan di situ seperti di Pulau Luzon, Filipina. Pemberontakan ini mengakibatkan pedagang Arab menggunakan laluan laut sepenuhnya untuk aktiviti perdagangan dengan China.
Menurut Prof. Wang Gung Wu, pada abad ini, pedagang Arab telah menguasai perdagangan di Nanhai ( Asia Tenggara) dan berpusat di Kedah yang ketika itu berada di bawah taklukan Srivijaya. Ini bermakna orang Arab telah berjaya menguasai kegiatan perdagangan laut dunia antara Mesir, India, Asia Tenggara dan China dengan menggantikan peranan pelabuhan Canton dan membina penempatan di Nusantara. Jumpaan dua keping Dirham tempaan Baghdad tahun 848 M pada zaman Khalifah al-Mutawakkil B al-Muktasim di Kedah. Hubungan perdagangan seterusnya semakin giat dijalankan semasa zaman penyebaran agama Islam di kepulauan  Asia Tenggara
PENYEBARAN AGAMA ISLAM
            Hubungan perdagangan antara orang Arab dan Nusantara seterusnya semakin giat dijalankan apabila berlakunya penyebaran agama Islam terutama pada abad ke-13. Pelbagai pendapat sarjana mengenai tahun kedatangan Islam ke Nusantara yang saling bercanggah disebabkan ketiadaan keobjektifan dalam penulisan serta masalah kekaburan bukti. Islam mula datang bersama para pedagang Arab yang datang berdagang sambil berdakwah dan mula berkembang di kawasan persisiran pantai dan pelabuhan. Selepas kejatuhan kota Baghdad pada abad ke-13, ramai orang Arab yang terdiri daripada golongn pedagang dan ahli agama berhijrah ke kawasan Timur Jauh dan bergerak ke kawasan Nusantara. Faktor penyebaran Islam di Nusantara adalah disebabkan galakan pihak pemerintah kerajaan Islam terutama zaman Khalifah Umar Abdul Aziz dari kerajaan Bani Umayyah pada abad ke-8M, yang begitu komited dalam menyebarkan kebenaran Islam. Beliau pernah mengutuskan surat melalui pedagang Parsi kepada Raja Srivijaya iaitu Sridavarman yang menggantikan Lokitarvarman mempelawanya memeluk Islam dan mengadakan hubungan perdagangan dengan Damsyik. Selain itu, kepentingan hubungan ekonomi dengan pedagang Arab telah menyebabkan pemerintah tempatan terbuka menerima islam dan seterusnya tindakannya mempengaruhi rakyatnya untuk turut sama memeluk Islam malah istana berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu. Misalnya pengislaman Parameswara oleh Sayyid Abdul Aziz yang datang dari Jeddah. Faktor lain ialah Islam adalah agama yang universal dan mudah diterima serta mengandungi nilai-nilai yang mengangkat manusia telah menyebabkan masyarakat menerima dengan terbukanya Islam menggantikan agama Hindu-Buddha yang terlalu rigid dan menggunakan bahasa yang sukar difahami dan banyak memberat kepada golongan istana. Keghairahan orang Arab untuk menyebarkan Islam turut berlaku selepas pertempuran dengan tentera Salibiyyah dalam perang Salib telah mendorong mereka  menjalankan kegiatan dakwah secara besar-besaran.
            Proses penyebaran Islam pada mulanya adalah melalui kawasan pelabuhan dan persisiran pantai. Penerimaan pemerintah tempatan telah memudahkan lagi penyebaran islam. Misalnya Merah Silu dari Pasai telah diislamkan oleh Sheikh Ismail al-Siddiq dari Mekah dengan memakai gelaran Sultan Malikul Salleh (1261-1289) dan sultan ini telah mengahwini Puteri Genggang dari Perlak dan menyebabkan negeri mereka menerima Islam. Aktiviti penyebaran Islam ke kawasan lain berlaku pada abad seterusnya apabila sesebuah kerajaan Melayu yang melakukan aktiviti perluasan wilayah jajahan dan seterusnya mempengaruhi wilayah tersebut menerima Islam. Perkembangan Islam ini telah  menyebabkan Nusantara menjadi tumpuan para pedagang Islam dari pelbagai tempat.
            Bagi masyarakat peribumi, mereka menganggap sesuatu yang mempunyai unsur sakral atau kesucian itu akan dianggap sesuatu yang sangat penting dalam kosmologi mereka. Penumpuan dan matlamat masyarakat selepas kedatangan Islam adalah menunaikan ibadat haji di Mekah serta mendalami ilmu agama di Hijjaz, telah mendorong mereka pergi mengembara ke sana dan ada yang tinggal menetap di sana. Islam pada awalnya dibawa oleh orang Arab kelompok Syed Hadramaut yang berfahaman Syiah terutama ahli Alawiyyin iaitu kelompok yang menyokong Ali bin Abi Thalib yang telah melarikan diri dari tekanan kerajaan Umaiyyah  yang terkenal kejam iaitu al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi ke kawasan Campa dan seterusnya ke kawasan Sulu, Sulawesi dan Kalimantan.
Kelompok Syiah ini menyebarkan fahaman Syiah Alawiyyah melalui ajaran Tarikat Alawiyyah yang merupakan ajaran Islam yang telah dicampur adukkan dengan budaya nenek moyang mereka di Hadramaut. Fahaman ini bersifat sangat konservatif kerana tidak mahu menerima sebarang perubahan malah ketua ajarannya sangat dipandang mulia oleh masyarakat yang dipercayai mempunyai kekuatan luarbiasa. Kerajaan Perlak adalah antara kerajaan Nusantara yang diperintah oleh kelompok Syiah iaitu Sayyid Abdul Aziz (840M) yang merupakan anak kepada Muhammad bin Jaafar al-Sadiq dengan Puteri Makhdum Tansyuri. Selain itu kelompok ini turut bertaburan di Kepulauan Sulu, Mindanao, Acheh dan kawasan-kawasan lain sekitar Kepulauan Indonesia. Mereka ini membawa gelaran Syed yang menunjukkan mereka mempunyai hubungan dengan keturunan Nabi Muhammad. Namun selepas abad ke-9, gerakan penyebaran fahaman Sunni iaitu pegangan kepada fahaman Al-quran dan menerima Sunnah Rasulullah telah tersebar luas melalui gerakan kerajaan Bani Abbasiyyah ke kawasan Nusantara sehingga mengakibatkan berlakunya beberapa siri serangan sengit dengan puak Syiah yang akhirnya telah memihak kepada kelompok Sunni dan dikukuhkan lagi dengan gerakan yang dijalankan oleh kerajaan Uthmaniyyah bagi meneruskan usaha membimbing umat Islam kepada ajaran yang sebenar
KEPENTINGAN POLITIK
            Hubungan yang terjalin antara pedagang Arab dengan masyarakat Nusantara turut mempunyai kaitan dengan kepentingan politk. Ini boleh dilihat melalui penghijrahan beramai-ramai puak Syiah Hadramaut setelah diusir oleh pemerintah Bani Umayyah ke kawasan Asia Tenggara telah menyebabkan kelompok ini terpaksa mencari sebuah kawasan yang boleh menempatkan pengikutnya dan menguasai wilayah baru. Selain itu, masyarakat Arab juga terpaksa mengukuhkan supremasi mereka sebagai bangsa yang mulia setelah mengalami kejatuhan dan kemunduran selepas kejatuhan Baghdad setelah diserang oleh bangsa Mongolia pada tahun 1258M. Penghijrahan mereka melalui penyebaran Islam yang dijalankan sekaligus digunakan peluang untuk mengukuhkan kedudukan mereka di Nusantara. Ini adalah kerana, raja dan masyarakat tempatan yang masih baru memeluk Islam sangat memuliakan kelompok ini sehingga sangat memandang tinggi terhadap keturunan Syed tersebut. Malah ramai golongan raja dan bangsawan berlumba-lumba menghadiahkan kepada saudagar Arab, puteri mereka agar mereka ini terus menapak di kawasan Nusantara demi pengukuhan ekonomi. Misalnya, Sayyid Abu Bakar yang datang dari Mekah telah dilantik  menjadi pemerintah pertama Kesultanan Sulu dengan memakai gelaran Syarif al-Hasyim dan diteruskan oleh generasinya.
Selain itu, sebagai golongan yang telah menyebarkan Islam, mereka sangat dipandang tinggi oleh masyarakat dan diberi kedudukan yang istimewa selepas raja dan golongan bangsawan. Mereka ini sangat berpengaruh dalam memainkan peranan sebagai penasihat sultan dari aspek agama dan menjadi tenaga pengajar di istana yang dijadikan sebagai pusat penyebaran agama dan ilmu yang utama. Ibn Battutah pernah mencatatkan dalam bukunya semasa beliau dalam perjalanan ke China, dan singgah di Pasai, beliau  telah melihat dua orang ulama’ Parsi iaitu Amir bin Said al-Shirazi dan Tajuddin al-Isfahani sedang mengajar Sultan Malik al-Zahir II  ilmu fiqh di dalam istananya.

KESAN KELANGSUNGAN PERHUBUNGAN
POLITIK DAN PERUNDANGAN
            Kedatangan islam telah mengubah world of view atau pandangan semesta masyarakat nusantara yang sebelum ini berpaksikan kepada kepercayaan Hindu-Buddha. Kedatangan Islam ke Asia Tenggara telah mengukuhkan lagi kedudukan pemerintah. Golongan pemerintah menggunakan agama sebagai pengukuhan kuasanya di mana telah meletakkan diri mereka sebagai zillulah fil ’alam iaitu bayang-bayang tuhan di bumi dengan mengambil hadis daripada Rasulullah. Misalnya gelaran yang diberi kepada pemerintah Pattani, iaitu Sultan Ismail zillulah fil ’alam. Konsep ini mengukuhkan lagi pertuanan raja sebagai dewaraja yang sebelum ini kebal pada segala perundangan dan bebas untuk melakukan apa sahaja. Penggunaan gelaran sultan menggantikan gelaran raja dan maharaja menyaksikan kewujudan konsep daulah dan tulah bagi mengekalkan kesetiaan dan perpaduan rakyat di bawah pentadbirannya. Malah mereka turut menghubung galurkan asal-usul keturunan dengan tokoh-tokoh agung seperti Iskandar Zulkarnain yang agung bagi menonjolkan kekuatan dan kekuasaan pemerintah.
            Dalam usaha untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam yang gah, maka sistem perundangan tempatan menerima undang-undang Islam yang merangkumi pelbagai aspek seperti muamalat (jual-beli), hukum keluarga, jenayah, syarat perlantikan sultan dan sebagainya bagi menggantikan undang-undang adat mengikut peribumi. Pengaruh ini dapat dilihat dalam lipatan sejarah Melaka sebagai pusat Islam Nusantara yang memperkenalkan Hukum Kanun Melaka yang meliputi pelbagai aspek kehidupan manusia. Misalnya Hukum Kanun Melaka dalam zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah antaranya menetapkan hukuman ke atas pesalah yang mencuri, merompak, dan menyamun adalah dipotong tangannya dalam fasal 7:2 dan fasal 2 pula menetapkan hukuman kesalahan zina dengan hukuman ke atas penzina yang sudah berkahwin direjam sampai mati dan bagi yang belum berkahwin dikenakan sebat 100 kali dan berkahwin. Pewarisan undang-undang ini terus berlaku kepada negeri-negeri lain di nusantara yang dijajah dan menerima Islam. Bagaimanapun, pengenalan kepada perundangan Islam hanya terbatas kepada sesuatu perkara sahaja. Hal ini demikian kerana syiar Islam tidak berjalan dengan sebenarnya kerana  sultan dan golongan bangsawan adalah kebal dari segi undang-undang malah turut menetapkan perkara yang melibatkan kepentingan mereka seperti larangan memakai pakaian berwarna kuning kepada rakyat dan sebagainya.  
EKONOMI
            Kegiatan perdagangan yang rancak dijalankan oleh para pedagang Arab sambil berdakwah yang singgah di Nusantara untuk berdagang di China telah menyebabkan berlakunya perubahan dalam sistem ekonomi masyarakat tempatan. Kedatangan mereka ini telah merintis kepada peningkatan perdagangan maritim. Hal ini kerana, sebelum ini, kegiatan perdagangan di Asia Tenggara hanya tertumpu di sekitarnya sahaja dan begitu juga dengan India dan China yang terbatas dengan kawasan sekelilingnya sahaja. Selain itu, kegiatan perdagangan yang dijalankan melibatkan perdagangan dan pengagihan barangan ke serata tempat iaitu yang banyak tertumpu di sekitar Kedah dan Sumatera pada mulanya dan kemudian berkembang ke kawasan lain yang menghasilkan barangan yang berbeza. Malah barangan Nusantara turut sampai ke kawasan Eropah kerana dibawa oleh pedagang Arab Syria sepertimana telah dibuktikan dalam catatan Claudius Ptolemy dalam bukunya, Geographia. Di samping itu pihak pemerintah tempatan seperti kerajaan Champa turut melantik  pedagang Arab menjadi duta ekonomi dan politik dengan negeri China. Pengenalan kepada sistem pengurusan kewangan negara turut berlaku apabila mula diwujudkan badan yang bertanggungkawab mengutip cukai,zakat, jizyah, kharaj dan keuntungan dalam lapangan perdagangan. Amalan ini diamalkan di Acheh melalui pembentukan kementerian yang menguruskan kewangan negara iaitu balai baitulmal dan balai furdah. Jalinan hubungan dengan pedagang Arab yang jauh lebih sofistikated sistem ekonominya telah memperkenalkan penggunaan sistem matawang Dinar dan Dirham yang menggunakan emas dan perak menggantikan sistem barter yang selama ini telah diamalkan oleh masyarakat Nusantara. Perlaksanaan prinsip ekonomi Islam ini adalah selari dengan tuntutan Islam yang menekankan aspek keadilan dan keseimbangan dalam proses jual-beli bagi menjamin kebajikan semua pihak.


SOSIAL
            Kedatangan Islam yang membawa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat peribumi yang sebelum ini asyik dengan kesenian, mitos dan khayal telah beralih kepada unsur rasionalisme dan intelektualisme. Berlakunya perkembangan institusi pendidikan peringkat awal iaitu pengajian ilmu Islam yang diadakan di istana, masjid dan rumah-rumah ulama’. Antara ilmu yang diajar adalah membaca, menulis, mengira dan pengajian al-quran ilmu fiqh, tauhid, tasawwuf dan pengajian sejarah Islam. Pengajar yang berkhidmat adalah terdiri daripada golongan ulama’ Arab yang menjalankan dakwah Islamiyyah serta masyarakat tempatan yang pernah mendalami ilmu agama di Hijjaz. Pendidikan yang diperkenalkan membuka pemikiran masyarakat tempatan yang terkongkong di bawah pengaruh Hindu-Buddha. Ini dapat dilihat melalui catatan Ibn Battuta yang menyaksikan Sultan Pasai al-Malikul Zahir II sedang mempelajari ilmu fiqh di dalam istananya bersama dua orang ulama’ Parsi iaitu Amir Said al-Shirazi dan Tajuddin al-Isfahani.
            Pengenalan kepada sistem pendidikan Islam ini secara langsung telah merintis kepada penciptaan sistem tulisan  iaitu tulisan jawi. Tulisan jawi ini menggunakan huruf-huruf Arab dan disesuaikan dengan bahasa tempatan. Penciptaan tulisan ini sangat penting bagi menyampaikan ilmu-ilmu dalam ketamadunan Islam. Malah bahasa Melayu yang berkembang bersama kemasukan pengaruh Islam ini menjadi lingua franca kepada masyarakat yang mendiami Nusantara dan menggalakkan  berlakunya interaksi. Selain itu, penggunaan istilah yang diambil dari bahasa Arab turut berlaku untuk mengayakan dan menggantikan sistem bahasa dan tulisan Jawa yang sangat sukar untuk difahami. Penggunaan istilah bahasa Arab banyak dipinjam untuk menyampaikan sesuatu yang berkaitan dengan agama.
            Seterusnya perkembangan sistem tulisan ini telah membuka kepada pengenalan kesusasteraan yang mana memiliki nilai keindahan yang tersendiri menggantikan cerita-cerita khayalan dan dongengan. Perkembangan ini menggalakkan aktiviti penulisan dan pentafsiran ilmu-ilmu sejarah, tasawuf, falsafah Islam dan ilmu agama.  Ramai tokoh dari Nusantara lahir dari perkembangan ilmu ini dan telah menulis banyak buku yang merangkumi pelbagai aspek ilmu. Misalnya hasil karya Hamzah Fansuri dari Acheh iaitu karya wahdah al-wujud yang mengutarakan mengenai ilmu tasawuf yang membicarakan mengenai kewujudan tuhan yang hakiki mengatasi kewujudan makhluk ciptaanNya yang lain yang pernah dipersoalkan oleh Nur al-Din al-Raniri yang menolak fahaman Hamzah dan mengemuka teori baru iaitu kewujudan alam sebagai saksi kebesaran tuhan iaitu wahdah al-syuhud dalam kitabnya hujjah al-siddiq li daf”i al-zindiq. Selain itu, tokoh tempatan lain ialah Syamsudin al-Sumatrani, Abdul Samad al-Falambani dan tokoh-tokoh lain yang merupakan perintis dan pelopor kepada dunia kesusasteraan Melayu.
            Pengaruh Islam turut berlaku dalam adat resam masyarakat Nusantara. Masyarakat Nusantara sangat berpegang kuat pada adat resam sebagai satu sistem dalam hidup mereka. Adat resam yang dahulunya mempunyai unsur-unsur kepercayaan Hindu-Buddha sepenuhnya telah diubah kepada kemurniaan nilai Islam. Namun adat dan budaya lama yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam masih diteruskan bersesuaian dengan konsep baru sinkeretisme yang melibatkan penyesuaian beberapa budaya. Misalnya dalam perkahwinan masyarakat Nusantara diadakan majlis akad nikah menurut tuntutan Islam dan pada masa yang sama amalan bersanding turut diadakan mengikut budaya Hindu.
            Kemunculan para pedagang Arab di kawasan Nusantara disebabkan berlakunya kegiatan perdagangan dan penyebaran agama telah mewujudkan masyarakat baru Nusantara. Kelompok masyarakat yang dipandang mulia oleh masyarakat tempatan ini sangat berpengaruh dalam memainkan peranan mereka dalam struktur sosial masyarakat. Golongan pedagang ini membawa pengenalan nama sheik atau syed yang bermaksud ketua mempunyai keistimewaan dalam masyarakat. Malah ada di antara mereka mempunyai kerajaan mereka sendiri di Nusantara selepas mendapat pengiktirafan masyarakat tempatan. Misalnya gerakan penyebaran Islam yang dilakukan oleh Sayyid Abu Bakar yang kemudiannya diangkat menjadi pemerintah Kesultanan Sulu dengan memakai gelaran Sharif Hashim. Penghijrahan masyarakat Arab sejak awal abad masihi lagi sehingga sampai ke kawasan Nusantara telah menyebabkan mereka membuka penempatan arabito. Kelompok ini banyak dilihat di Sumatera, Acheh, Kepulauan Sulu, Pasai dan di sesetengah tempat di negeri-negeri Melayu. Malah percampuran dengan masyarakat tempatan turut melahirkan generasi kacukan dan banyak dapat dilihat di kawasan penempatan masyarakat Arab dan sekaligus mewujudkan masyarakat majmuk di Nusantara.
KESENIAN
            Nilai-nilai estetika Islam turut mempengaruhi kesenian Nusantara. Pembinaan masjid dan istana yang dibina gah diukir dengan gabungan corak tempatan dan kesenian Arab. Sebagai pusat ibadat, masjid dibina dengan penuh nilai estetika yang mempunyai maksud yang tertentu di setiap penjuru pembinaan dan ukiran coraknya yang banyak berpaksikan kepada unsur ketuhanan. Misalnya masjid baitul rahman dan baitul rahim di Acheh. Tulisan khat turut dipergiatkan kerana mempunyai nilai keindahan yang tersendiri.
Manakala dalam bidang hiburan pula, alatan muzik Arab banyak diperkenalkan untuk mengadakan hiburan masyarakat. Antaranya seperti kompang, rebana dan gambus yang digunakan untuk mengiringi persembahan hiburan berunsur dakwah seperti hadrah, zanji, nazam dan sebagainya menggantikan hiburan lama yang berunsurkan pengaruh Hindu-Buddha seperti tarian mak yong yang mempunyai unsurr-unsur spiritual. Di Acheh terdapat nyanyian meudikee atau dekee molood untuk memperingati Maulud Nabi serta seulaweuat iaitu selawat ke atas Nabi.
KESIMPULAN
            Hubungan antara negara Arab dengan Asia Tenggara yang terjalin sejak berabad lamanya telah membuahkan satu ikatan yang sangat akrab sehingga sukar untuk dibezakan lagi. Perkembangan kegiatan perdagangan dan penyebaran Islam telah membentuk kebudayaan Nusantara sepertimana yang wujud di negara Arab kerana menerima banyak kebudayaan Arab sebagai satu sistem hidup. Malah perhubungan ini sekaligus telah mengubah world of view atau pandangan semesta masyarakat Nusantara menggantikan pengaruh Hindu-Buddha yang telah sekian lama menapak dalam kehidupan mereka dan akhirnya masyarakat Nusantara tidak lagi terkongkong dalam kegelapan kerana telah mula melalui nilai peradaban yang tinggi dan dihormati.
Namun, pada abad ke- 18, pihak kolonial  telah berjaya mendominasi seluruh Asia Tenggara sehingga mengakibatkan pemisahan hubungan dua kebudayaan ini dan memberi impak dengan terhapusnya hampir keseluruhan pengaruh tamadun Islam. Walaubagaimanapun, kini, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjalinkan semula keutuhan hubungan tradisional yang pernah terjalin pada suatu ketika dulu. Atas dasar ini,  dua kebudayaan ini sentiasa memberi kerjasama dan penghormatan antara satu sama lain melalui pelbagai agenda yang berteraskan Islam. Kini kepulauan Nusantara mempunyai jumlah penduduk yang beragama Islam adalah ramai dan melebihi jumlah jemaah haji antarabangsa.

BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Abdullah, (1981), Sejarah dan Pemikiran Islam, Selangor : Penerbitan
            Pena Sdn.Bhd
Abdul  Rahman Abdullah, (2000), Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara : Sebelum dan
            Sesudah Pengaruh Islam, Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors
Abdul Rahman Abdullah, (2006), Sejarah dan Kebudayaan Asia Tenggara Tradisional,
 Selangor : Karisma Publications.
Mahayudin Yahaya, (2001), Islam di Alam Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
            Pustaka.
Susan Whitfield, (1999), Life Along the Silk Road, London : John Murray
.


No comments:

Post a Comment