NUF

AMARAN

PERINGATAN.

PENTING
SEMUA BENTUK PENULISAN DALAM BLOG INI PERLU DINILAI DAN DIKAJI. JANGAN TERUS DI AMBIL TANPA MEMPERSOALKANNYA.

OK

BIJAK MEMBELI

Mahasiswa Pendidikan Sejarah

Mahasiswa Pendidikan Sejarah

Saturday, October 30, 2010

Perjanjian Geneva 1954

Pengenalan
Indo-China merupakan negara yang berada di bawah penguasaan Peranchis, Indo-China ini merangkumi tiga buah negara iaitu, Laos, Kemboja dan Vietnam. Keadaan huru-hara dan pertelingkahan telah berlaku di negara-negara Indo-China ini. Dalam menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku di negara Indo-China, satu jalan penyelesaian telah dibincangkan dan dengan ini maka tercetusnya persidangan Geneva yang bermula pada 26 april 1954. Persidangan ini bertujuan membincangkan masalah ketegangan di Indo-China. Berpunca daripada persidangan ini, maka Perjanjian Geneva telah dimeterai pada 21 Julai tahun 1954. Perjanjian ini adalah satu perjanjian yang disertai oleh sembilan delegasi iaitu Laos, Kemboja, dua delegasi daripada Vietnam, Perancis, Amerika Syarikat, Soviet, British dan China. Perjanjian Geneva merupakan usaha antarabangsa untuk menyelesaikan masalah Vietnam secara umumnya. Persidangan berjaya memasukkan perjanjian gencatan senjata meliputui Vietnam, loas dan kemboja.

LATAR BELAKANG PERJANJIAN GENEVA
Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, pihak kolonial Perancis kembali semula ke bekas tanah jajahan mereka di Indo-China. Negara Indochina iaitu Vietnam, Kemboja dan Laos telah diduduki oleh pihak Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Kedatangan mereka adalah untuk menguasai dan mentadbir kembali Indo-China. Walau bagaimanapun, kehadiran semula Perancis tidak disenangi oleh pemerintah kerajaan, nasionalis dan juga seluruh rakyat Indo-China. Mereka mahukan kemerdekaan yang penuh daripada Perancis dan mentadbir negara mereka dengan cara sendiri. Namun begitu, Perancis tidak memberikan reaksi positif terhadap tuntutan mereka malah telah membuat pakatan dengan Amerika Syarikat dan British untuk meneruskan hasrat mereka mengukuhkan kekuasaan mereka di Indo-China.

Keenganan Perancis telah menyebabkan berlaku penentangan antara kumpulan-kumpulan anti asing dan juga pemerintah-pemerintah kerajaan yang dilantik ketika pendudukan Jepun. Pada ketika ini wujud semangat nasionalisme untuk menentang penjajahan dan menuntut kemerdekaan daripada Perancis. Misalnya di Laos, kerajaan Pathet Lao yang dipimpin oleh Putera Souphanouvong telah menuntut kemerdekaan dan membentuk sebuah kerajaan campuran bagi negara Laos sebagaimana yang termaktub dalam manifesto 12 perkara .

Penentangan-penentangan yang dilakukan juga melibatkan kekerasan sehingga berlaku peperangan di Indo-China. Peperangan berlaku di Vietnam pada 19 Disember 1946, antara Perancis dengan Viet Minh yang dipimpin oleh Ho Chin Minh di Vietnam Utara, seterusnya merebak ke Laos dan Kemboja, namun begitu tidak sehebat di Vietnam. Perjuangan-perjuangan di kedua-dua negara tersebut telah dipengaruhi juga oleh keadaan yang berlaku di Vietnam malah mendapat sokongan daripada Vietnam. Peperangan ini melibatkan pihak luar iaitu China yang menyokong Vietnam Utara, manakala Perancis pula disokong oleh Amerika Syarikat. Perkara yang menyebabkan Perancis berperang dengan Viet Minh adalah untuk mendapatkan kembali wilayah kekuasaannya. Peperangan ini berlangsung sehingga 1954 yang akhirnya dimenangi oleh Vietnam. Kekalahan ini adalah signifikan kerana ia adalah merupakan kekalahan pertama pihak barat terhadap Negara Komunis Asia Tenggara .

PERSIDANGAN GENEVA
Persidangan Geneva telah pun bermula pada 26 April hingga 21 Julai 1954 di bandar Swiss ketika Perancis dan Viet Minh masih lagi bertempur. Persidangan ini diadakan untuk menyelesaikan masalah di Korea dan Perancis – Indochina. Perjanjian ini disertai oleh Kemboja, Laos, Republik Demokratik Vietnam, Perancis, Soviet Union, Republik Rakyat China, Negara Vietnam, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Selain itu, Suruhanjaya Kawalan Antarabangsa telah dibentuk untuk mengawasi perlaksanaan Perjanjian Geneva namun ia pada dasarnya adalah untuk memastikan pengurangan kuasa di Indochina. Suruhanjaya ini terdiri daripada negara India, Kanada dan Poland .

Pada 21 Julai, persidangan Geneva telah menghasilkan deklarasi yang menyokong kesatuan wilayah dan kedaulatan Indochina. Ia juga bersetuju untuk menghentikan peperangan dan juga penglibatan asing dalam urusan dalaman Indo-China. Selain itu, menyentuh soal Vietnam, negara ini dibahagikan kepada dua iaitu selatan dan utara sehingga satu pentadbiran baru akan diseragamkan setelah pilihanraya diadakan pada Julai 1956. Akhirnya, masalah di Indochina telah pun diselesaikan melalui deklarasi akhir persidangan Geneva pada 21 Julai 1954. Perjanjian ini ditandatangani oleh Pierre Mendes dari Perancis dengan Pham Van Dong dari Demokratik Rakyat Vietnam tanpa adanya campur tangan sekutu-sekutu mereka.

Penamatan Penjajahan Perancis.

Wilayah Kemboja, Laos dan Vietnam telah dikuasai oleh Perancis dalam satu tempoh yang agak lama. Wilayah-wilayah ini telah diletakkan di bawah Kesatuan Perancis dan di gabungkan menjadi Persekutuan Indo-China. Sebagai contoh, pada 27 Ogos 1946, satu modus vivendi telah ditandatangani di Viantiane yang menyatakan Laos diberi ekonomi dalam negeri dan adalah sebahagian daripada persekutuan Indo-China dan Kesatuan Perancis. Dalam tempoh pemerintahan di bawah cengkaman Perancis, masyarakat Indo-China tidak berpuashati dan telah mengadakan beberapa pemberontakan bagi mendapatkan kerajaan yang bebas daripada Perancis. Ketidakpuasan hati masyarakat Indo-China ini diakui sendiri oleh Perancis, di mana mengikut anggaran yang dibuat oleh Perancis sendiri sebanyak 60% daripada masyarakat di Kemboja menentang penguasaan semula Prancis di Indo-China selepas Perancis terpaksa melepaskan Kemboja ke tangan Jepun pada tahun 1945. Selain itu, terdapat gerakan-gerakan yang cuba dilakukan oleh masyarakat Indo-China untuk membebaskan diri mereka dari dicengkam oleh Perancis. Sebagai contoh, di Kemboja telah ada Gerakan Pembebasan Kemboja dan di Laos telah ada Lao Issara yang mendapat sokongan Vietnam untuk mencapai kemerdekaan dan di Vietnam telah ada Viet Minh yang dipegang oleh Ho Chi Minh yang mahu menyatukan negara melalui revolusi Marxis bercorak klasik.

Melalui beberapa pemberontakan ini dan desakan-desakan yang dibuat di setiap wilayah telah memaksa Perancis beberapa kali memberikan kemerdekaan kepada mereka. tetapi hanya pada nama sahaja. Kemerdekaan yang sebenarnya yang diinginkan oleh pihak-pihak ini tidak pernah terkabul. Sebagai contoh, dapat dilihat di Laos, di mana Perancis menyatakan kemerdekaan Laos adalah sebahagian besarnya hanya pada nama sahaja, tetapi penasihat-penasihat Perancis akan membantu menteri-menteri dan ketua-ketua di peringkat wilayah serta menyelaras perkhidmatan di setiap negeri.

Dengan itu, melalui persidangan Geneva 1954 telah memberikan impak yang besar kepada Indo-China, di mana Perancis telah mengundurkan diri mereka dari kerajaan tersebut. Ini dapat dilihat daripada kekalahan Perancis di Dien Bien Phu telah menentukan yang Perancis akan mengundurkan diri dari Indo-China secara total. Selain itu, dalam artikel 12 Penjanjian Geneva ini menegaskan “ mengenai Kemboja, Laos dan Vietnam, tiap-tiap pihak yang terlibat dalam Persidangan Geneva berjanji akan menghormati kedaulatan, kemerdekaan, kesatuan dan keutuhan wilayah negara-negara tersebut dan tidak campurtangan dalam hal-hal dalam negeri Negara-negara ini.” dengan itu, permusuhan-permusuhan telah dihentikan pada 27 Julai di utara, 1 Ogos di kawasan tengah dan 11 Ogos di kawasan selatan. Ini secara tidak langsung telah menamatkan peperangan di antara Perancis dan Vietnam.

Seterusnya, penamatan penjajahan Perancis di Vietnam yang dapat dilihat setelah termeterainya Perjanjian Geneva ialah pada tahun 1956, di mana akibat daripada kerisauan Diem akan kemaraan Perancis di Vietnam selatan, maka beliau telah meminta supaya Perancis mengundurkan semua tenteranya sebelum akhir bulan April. Kerajaan Perancis yang dipimpin oleh Guy Mollet, seorang sosialis bersetuju mengundurkan tenteranya dari Vietnam. Dengan itu telah mengakhiri kehadiran tentera Perancis di Vietnam selama 97 tahun. Selain itu, pada hari yang sama iaitu 28 April 1956, pemerintah tentera Kesatuan Perancis di Saigon dihapuskan.

Di Kemboja pula, penamatan penjajahan Perancis memberikan mereka sinar baru untuk memulakan sebuah negara baru yang mempunyai sistem politik tersendiri. Selain itu, dengan tamatnya pendudukan Perancis, Kemboja bebas mengadakan pakatan tentera dan bebas daripada desakan penyesuaian wilayah dan politik. Manakala di Laos pula, penamatan penjajahan Perancis memberikan mereka peluang mencapai kemerdekaan dan menjadi sebuah negara yang berdaulat walaupun masih kekal dalam Kesatuan Perancis atas pilihannya sendiri.

2.0 Gencatan senjata.
Selain daripada penamatan penjajahan Perancis di Indo-China, kesan daripada Perjanjian Geneva yang telah diadakan adalah dengan tamatnya permusuhan dan peperangan yang berlaku dalam wilayah Indo-China apabila termeterainya persetujuan untuk mengadakan gencatan senjata dalam persidangan tersebut. Ini dapat dilihat dalam artikel 4 perjanjian Geneva yang menegaskan “ the Conference takes note of the clauses in the Agreement on the cessation of hostilities in Viet-Nam prohibiting the introduction into Viet-Nam of foreign troops and military personnel as well as all kinds of arm and munitions. The Conference also takes note of the declarations made by the Goverments of Cambodia and Laos of their resolution not to request foreign aid, whether in war material, in personnel or in instructors except for the purpose of the effective defence of their territory and in the case of Laos, to the extent defined by the Agreements on the cessation of hostilities in Laos”. Dengan persetujuan untuk mengadakan gencatan senjata antara Perancis dan Indo-China ini telah menyelesaikan masalah politik di negara tersebut.

Gencatan senjata di Laos telah diadakan pada 6 Ogos di antara tentera Perancis dengan Vietnam Utara. Dalam persetujuan tersebut, tentera Vietnam Utara mestilah berundur dari Laos dalam masa 120 hari. Sementara itu, tentera Pathet Lao akan ditempatkan di wilayah Phong Saly dan Samneua sementara menunggu intergrasi politik dan ketenteraan. Laos juga tidak dibenarkan mengadakan pakatan asing di negara itu (kecuali Perancis yang dibenarkan mengekalkan pangkalan udara di Seno) juga tidak akan menempatkan tentera asing kecuali beberapa kontijen Perancis yang ditugaskan untuk melatih tentera Laos). Akhirnya, Laos tidak dibenarkan memasuki sebarang pakatan yang bertentangan dengan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu. Dengan persetujuan gencatan senjata ini, secara tidak langsung Laos telah mendapat kemerdekaan dan diiktiraf oleh kedua-dua blok. Walaupun begitu, Laos masih mengalami perpecahan dalam negeri, di mana mereka masih belum mencapai penyatuan antara kerajaan Vientiane dan Phatet Lao.

Seterusnya, perjanjian gencatan senjata di Kemboja telah dipersetujui antara tentera di raja Khmer dan Republik Demokratik Vietnam pada 21 Julai 1954. Dengan tercapainya perjanjian ini, maka gencatan senjata diadakan di Kemboja pada 6 Ogos 1954 (sama tarikh dengan kerajaan Laos) dan semua tentera Vietnam diundurkan dari wilayah Kemboja. Dengan itu, Kemboja telah mencapai kemerdekaannya dan bebas apabila tentera asing berundur tanpa syarat. Dengan kebebasan yang dicapai, kerajaan Kemboja memulakan usaha baru untuk memastikan semua rakyat mendapat tempat dalam sebuah Negara baru, terutama bersuara dalam pilihanraya umum.

Manakala di Vietnam pula, gencatan senjata telah dipersetujui antara pihak Perancis dan Viet Minh. Dalam persetujuan ini, kedua-dua pihak bersetuju mengundurkan tentera masing-masing ke suatu kawasan yang telah ditetapkan. Di mana, kawasan yang ditetapkan ialah Perancis di selatan 17’manakala tentera Viet Minh ke kawasan utara. Garisan sempadan 17’ ini adalah bersifat sementara dan kedua-dua pihak tidak dibenarkan untuk menambah kekuatan tentera atau mengadakan pakatan dengan kuasa asing. Bagi memastikan perlaksanaan perjanjian ini, satu suruhanjaya ditubuhkan iaitu Suruhanjaya Kawalan Antarabangsa yang dianggotai oleh Negara Poland, India dan Kanada.

Persetujuan gencatan senjata yang telah dipersetujui melalui persidangan Geneva ini telah memberikan penyelesaian politik yang dibuat berasaskan saling hormat-menghormati prinsip-prinsip kemerdekaan, kesatuan dan keutuhan wilayah dan akan memberi peluang keapad rakyat Vietnam untuk menikmati kebebasan asasi yang di jamin oleh institusi-institusi demokratik yang di bentuk melalui pilihanraya umum yang bebas dan pengundian rahsia. Tetapi jika kita lihat secara terperinci, pilihanraya umum tidak pernah berlaku di Vietnam seperti yang disyaratkan dalam perjanjian Geneva. ini adalah kerana dasar rejim Diem dan amerika Syarikat terhadap Vietnam tidak memberi harapan yang pilihanraya akan dapat diadakan.

PEMISAHAN VIETNAM UTARA DAN VIETNAM SELATAN
Perjanjian Geneva yang ditandatangani pada tahun 1954 telah mewujudkan pelbagai kesan kepada negara Indo-China. Kesan yang amat jelas ialah pemisahan Vietnam kepada Vietnam Utara dan Vietnam Selatan. Hasil daripada perjanjian tersebut, negeri Vietnam dibahagikan menjadi dua bahagian iaitu lebih kurang sempadannya pada garis lintang 17 Paralel. Wilayah yang terletak di bahagian utara termasuklah Delta Sungai Merah, Hanoi dan bandar pelabuhan Hai Pong telah dikuasai oleh kerajaan Viet Minh. Bahagian Vietnam Selatan iaitu dari garis sempadan yang dibuat berada di bawah pemerintahan Vietnam yang dibantu oleh Perancis.

Walau bagaimanapun, sebelum persetujuan Geneva lagi pemisahan Vietnam ini telah dicadangkan antara perwakilan Republik Demokratik Vietnam dengan Perancis. Melalui persetujuan secara sulit ini Republik Demokratik Vietnam mencadangkan kepada Perancis agar dijalankan suatu pembahagian sementara secara ketenteraan bagi membuka ruang dan peluang kerjasama antara Perancis dan Republik Demorkratik Vietnam. Ini akan memberi peluang kepada Perancis untuk mengukuhkan kedudukan di Vietnam tanpa bantuan Amerika Syarikat. Bagi kerajaaan Ho Chi Minh pula, kerjasama ini penting untuk menyekat peningkatan pengaruh Amerika Syarikat di Indo-China melalui penyelesaian secara aman.

Namun begitu, pemisahan Vietnam secara rasmi dilakukan setelah berlangsungnya Persetujuan Geneva 1954. Syarat penting dalam Persetujuan Geneva 1954 ialah pembahagian Vietnam kepada dua zon iaitu Vietnam Utara dan Vietnam Selatan buat sementara waktu. Walau bagaimanapun, pemisahan ini bukanlah bermaksud untuk mewujudkan dua negara tetapi hanya mencipta satu sempadan ataupun pemisahan tentera semata-mata untuk mengelakkan penentangan pada masa hadapan. Kedua-dua zon ini dilarang memasuki mana-mana kawasan ketenteraan masing-masing atau membina ketenteraan yang baru.

Pembahagian kepada dua bahagian adalah sementara sahaja, iaitu sementara menunggu keputusan satu pilihan raya untuk memilih ketua negara yang akan diadakan dalam tahun 1956. Oleh yang demikian, dalam tempoh dua tahun Vietnam mempunyai dua kawasan pemerintahan militari yang berbeza. Pihak Washington berasa tidak puas hati dengan kehilangan Vietnam Utara kepada pihak Komunis dan enggan bersekutu dengan Persetujuan Geneva 1954. Namun begitu, wakil Amerika Syarikat tetap memberikan jaminan yang Amerika tidak akan menghalang pelaksanaan persetujuan ini. Selain daripada Amerika, pemimpin baru Boa Dai iaitu Ngo Dhin Deim bukan sahaja enggan melibatkan diri tetapi tidak mahu terikat dengan Persetujuan Geneva 1954.

Pembahagian ini sebagaimana pemisahan yang sebelumnya dibuat di Korea dimaksudkan sebagai penyelesaian sementara berhubung dengan masalah ketenteraan. Oleh itu, satu persetujuan telah dicapai iaitu mengadakan satu pilihan raya di seluruh Vietnam dalam tempoh dua tahun iaitu pada tahun 1956. Jelaslah, bahawa perjanjian Geneva merupakan satu pengakuan dunia antarabangsa bahawa Vietnam akan dipecahkan kepada dua seperti Korea dan Jerman. Bagi kerajaan Laos dan Kemboja tidak disentuh tetapi kedua-duanya dijadikan negara berkecuali dan jumlah angkatan tenteranya dihadkan iaitu bagi tujuan pertahanan negara itu sendiri.

Pentadbiran Selepas Pemisahan Vietnam
Kerajaan Vietnam Utara mempunyai kedudukan yang kukuh dan berkuasa sebelum perjanjian Geneva lagi. Vietnam Utara telah bersatu di bawah pemerintahan sebuah parti tunggal yang bercorak kuku besi iaitu Parti Komunis yang diketuai oleh Ho Chi Minh. Selepas tahun 1954, Vietnam Utara diperintah dari Hanoi oleh tiga hierarki iaitu pihak tentera, pentadbiran awam dan Komunis. Hierarki ini mempunyai pelbagai kuasa dalam tentera dan pegawai politik yang bertugas sebagai ahli tentera. Di peringkat atasan, terdapat orang yang sama memegang jawatan yang sama dalam parti dan pentadbiran awam. Misalnya, Ho Chi Minh sendiri berkhidmat sebagai pegawai kerajaan pusat parti dan sebagai Presiden Republik.

Pemerintahan kerajaan Ho Chih Minh turut mendapat penentangan dalam kalangan rakyat Vietnam Utara itu sendiri. Misalnya, penulis Truong Tuu dan Phan Khoi yang mahu kerajaan Vietnam memutuskan hubungan dengan Soviet Rusia dan China. Vietnam Utara berjaya dalam pentadbiran, ekonomi dan sosial walaupun terdapat kesukaran untuk membangunkan Vietnam Utara. Hal ini kerana, Vietnam berada di bawah pentadbiran kerajaan totalitarian yang cekap. Rakyat dibentuk kepada satu negara yang miskin tetapi maju melalui peranan Ho Chih Minh.

Boa Dai menjadi ketua negara di Vietnam Selatan sehingga tahun 1955 dan menjalankan kuasanya dari negara Perancis. Boa Dai telah melantik Ngo Dinh Diem sebagai Perdana Menteri pada 16 Jun 1954. Oleh sebab itu, sebagai perdana Menteri Diem menuntut supaya diberikan kuasa yang penuh untuk memerintah. Selepas itu, kerajaan Vietnam Selatan telah dipimpin oleh Ngo Dinh Diem yang juga berjaya mewujudkan kedudukan politik yang kukuh setanding dengan politik bahagian Vietnam Utara pada tahun 1954. Ngo Dinh Diem dalam pemerintahannya mendapat tentangan dari puak-puak bersenjata di Vietnam Selatan. Di samping itu, turut menghadapi persengketaan dengan kerajaan Vietnam Utara. Boa Dai pula masih menjadi ketua negara yang masih menjalankan pengaruhnya dari Perancis. Amerika Syarikat telah menjadi sekutu Vietnam Selatan telah memberikan bantuan kepada kerajaan Diem iaitu suatu tekanan ke atas Boa Dai dan mematahkan penentangan ini. Amerika menghantar bantuan terus ke Vietnam Selatan tanpa melalui Perancis lagi. Melalui bantuan ini Diem dapat mengukuhkan kedudukannya terhadap puak-puak yang menentangnya.

Selepas berjaya mengatasi tentangan dari golongan tempatan, beliau telah mengambil langkah untuk menghapuskan pengaruh Boa Dai yang dari luar negeri. Pada 16 Jun 1955, Diem telah memujuk Majlis Diraja supaya memecat maharaja Boa Dai dari tarafnya sebagai Presiden. Akhirnya, Diem berjaya memegang jawatan sebagai Presiden Republik. Diem yang anti-penjajah dan anti-Komunis memiliki kuasa di kawasan Vietnam Selatan dari tahun 1954-1963 sebagai diktator yang sombong. Diem telah diusir dan dibunuh pada tahun 1963 oleh tentera bersenjatanya sendiri.
Pilihanraya
Di Laos pilihanraya telah diadakan sebelum perjanjian Geneva lagi iaitu pada 15 Disember 1946, pilihanraya ini diadakan untuk memilih 44 orang ahli bagi Dewan Rakyat. Kemudiannya, pilihanraya dijalankan pada bulan Ogos tahun 1951 yang memberikan kemenangan kepada Parti Progresif. Selepas itu, diadakan pula pilihanraya pada 25 disember 1955 iaitu selepas perjanjian Geneva yang juga membawa kemenangan kepada Parti Progresif yang diketuai oleh Katay dan Souvana Phouma dengan jumlah kemenangan sebanyak 21 kerusi daripada 29 kerusi yang dipertandingkan.

Seperti yang terkandung dalam perjanjian Geneva, pilihanraya juga perlu dijalankan di Kemboja. Sebelum perjanjian Geneva dijalankan Kemboja telah pun mengadakan pilihanraya pada tanggal 11 September tahun 1946 yang mana ini merupakan pilihanraya pertama yang dijalankan di Kemboja. Pilihanraya yang pertama ini membawa tuah kepada Parti Demokrat apabila parti ini menang dalam Dewan Perhimpunan. Pilihanraya seterusnya diadakan pada 11 september 1955 iaitu seperti yang ditetapkan dalam Perjanjian Geneva. Pada asalnya pilihanraya ini dijadualkan berlaku pada 7 April 1955 tetapi ditunda kepada tarikh 11 September kerana masalah tertentu. Akibat daripada penundaan tarikh pilihanraya ini juga kerajaan Kemboja menuntut supaya diadakan pilihanraya secepat mungkin sebagai salah satu cara untuk mendirikan pemerintahan sendiri. Tuntutan ini berjaya mendapat sokongan daripada Britain, Perancis dan Rusia. Dalam pilihanraya ini Parti Sangkum Ryaster Niyum di bawah pimpinan Norodum Sihanouk berjaya memenangi pilihanraya dengan menewaskan Parti Demokrat. Parti Sangkum Ryaster Niyum telah memenangi 82% daripada keseluruhan undi.

Di Vietnam, perjanjian Geneva telah menetapkan bahawa pilihanraya perlu diadakan selepas dua tahun dari tarikh perjanjian bagi membentuk sebuah kerajaan bagi seluruh Vietnam. Tujuan pilihanraya ini adalah untuk menentukan hasrat penduduk Vietnam sama ada mahu bergabung di bawah satu pentadbiran tunggal atau sebaliknya. Sementara menunggu pilihanraya ini diadakan satu pungutan suara telah diadakan pada 23 Oktober 1954 yang mana dalam pungutan suara ini Ngo Dinh Diem telah memenangi pungutan suara ini dan pencabarnya iaitu Bao Dai telah tewas. Ngo Dinh Diem telah memenangi sebanyak 98.2% daripada 99.5% pungutan suara. Melalui kemenangan ini, dia telah mengisytiharkan Vietnam sebagai sebuah negara republik dan dia menjadi presiden. Selepas itu, Ngo Dinh Diem telah mengumumkan bahawa pilihanraya akan diadakan pada bulan Mac 1956. sebelum pilihanraya diadakan, rakyat Vietnam diberi jaminan terhadap kebebasan demokratik dan tidak akan berlaku penindasan terhadap individu. Walaubagaimanapun, pilihanraya ini tidak diadakan seperti yang termaktub di dalam perjanjian kerana hanya parti anti-komunis sahaja yang dibenarkan bertanding.


Kemerdekaan
Perjanjian Geneva menyediakan asas untuk kemerdekaan kepada negara yang masih digelar negeri-negeri pertubuhan vietnam selatan, kemboja dan laos. Dalam artikel 12, peristiharan Geneva telah menegaskan; menegenai kemboja, Laos dan Vietnam, tiap-tiap pihak yang terlibat dalam perjanjian Geneva akan menghormati kedaulatan, kemerdekaan, kesatuan dan keutuhan wilayah negara-negara tersebut dan tidak akan campur tangan dalam hal-hal dalam negeri tersebut. Perjanjian Geneva juga menegaskan bahawa tiap-tiap pihak yang terlibat di dalam perjanjian ini tidak akan campur tangan dalam hal ehwal negara-negara di Indo-Cina tersebut dan ini menunjukkan kemerdekaan ketiga-tiga buah negara ini secara tidak langsung.

Di Laos, kemerdekaan mula-mula diistiharkan pada tahun 1945 iaitu pada 14 September, Tioa Pethsarath telah mengistiharkan pembentukan Laos sebagai sebuah kerajaan yang bebas dan merdeka. Pada 4 Oktober 1946 pula beliau menyeru negara-negara berikat mengiktiraf kemerdekaan Laos. Pada 10 Oktober 1946, Tiao Pethsarath telah digantikan oleh Phaya Khammao dan kerajaan baru iaitu Pathet Lao telah ditubuhkan. Kerajaan baru ini merancang ke arah menyatukan negara, mengukuhkan kemerdekaan dan menyediakan rakyat ke arah politik moden. Pada 11 Mei 1947 perlembagaan Laos mula berkuatkuasa. Loas dijadikan sebuah kerajaan raja berperlembagaan, raja menjalankan kuasa pemerintahan bersama Dewan Kebangsaan dan Majlis Raja. Pada tahun 1950 iaitu pada 7 Februari Amerika Syarikat dan Britain mengiktiraf kemerdekaan Laos. Pada tahun 1953 iaitu pada 3 Julai, Peranchis pula menyatakan kesediaannya untuk memberikan kemerdekaan kepada Laos. Pada tarikh 24 Ogos 1953 pula, Putera Souvanna Phouma meminta semua pentadbiran yang dipegang oleh Perancis diserahkan kepada kerajaan Laos. Kesannya, telah berlaku rundingan yang telah diadakan pada 15 Oktober hingga 22 Oktober yang menghasilkan perjanjian antara Perancis dan Laos. Hasilnya, Perancis telah mengiktiraf kemerdekaan dan kedaulatan Laos.

Di Kemboja perjuangan bagi mendapatkan kemerdekaan mula dilakukan oleh Sihanouk pada 5 Mac 1953, tindakan Sihanouk ini kerana dia marah dengan pihak Peranchis yang tidak memenuhi tuntutannya bagi mendapatkan kemerdekaan. Buktinya, Sihanouk telah menulis surat kepada Vincent Auriol, Presiden Republik Perancis untuk menuntut kemerdekaan Kemboja. Setelah Sihanouk diangkat menjadi presiden, Sihanouk menekankan betapa pentingnya kemerdekaan di Kemboja bagi menghapuskan pengaruh komunis di Indo-Cina serta kekacauan yang dicetuskan oleh Viet Minh dan Issarak. Oleh itu, satu kenyataan telah dibuat dalam satu memorandum kepada Setiausaha Negara Amerika, J. Foster Dulles bertarikh 13 April 1953 bagi mendapatkan kemerdekaan. Walaupun tidak diiktiraf dengan rasmi sebagai sebuah negara yang merdeka sepenuhnya, namun Sihanouk cuba menjadikan Kemboja sebagai sebuah negara yang bebas tanpa terikat dengan mana-mana kuasa utama. Sekali lagi Sihanouk telah mengiktiraf sendiri kemerdekaan Kemboja pada 12 Jun 1953. Perancis telah menunjukkan dasarnya untuk memberi kemerdekaan kepada Kemboja dengan mengiktiraf prinsip kemerdekaan ekonomi, kewangan dan kastam Kemboja pada 24 Febuari 1954. Pada 25 September 1955, dengan penggubalan perlembagaan baru iaitu dengan mengantikan kemboja sebagai sebuah negeri yang merdeka dan berkuasa daripada kemboja negeri berkerajaan sendiri kepunyaan persatuan Perancis sebagai negeri pertubuhan. Dengan perlembagaan baru ini hubungan Kemboja dan Peranchis telah ditamatkan secara rasmi.

Perintis kepada kemerdekaan di Vietnam ialah apabila Amerika telah mendakwa kepada Perancis bahawa mereka mempunyai hak dalam menentukan dasar perang di Indo-Cina kerana mereka menanggung separuh perbelanjaan di Indo-Cina. Kerajaan Perancis telah diberitahu bahawa bantuan dari Amerika Syarikat hanya akan diberikan setelah Perancis memberi kemerdekaan kepada Vietnam. Pada 3 Julai 1953, Perancis telah mengumumkan kesediaannya untuk memberi kemerdekaan kepada Vietnam. Sebab lain Perancis memberikan kemerdekaan kepada Vietnam disebabkan kemerosotan kekuatan ketenteraan Perancis di Indo-Cina. Perkara ini terjadi kerana Perancis mendapat tentangan daripada tentera Viet Minh yang mendapat bantuan dari China dan Rusia. Pada 4 jun 1955 sebelum meletak jawatan, J.Laniel telah membuat perjanjian. Dalam perjanjian ini, perancis mengiktiraf kemerdekaan Vietnam buat kali kelima. Keinginan yang terburu-buru untuk mencapai perjanjian ini sebelum 20 Julai sebabkan timbulnya kekeliruan dari segi undang-undang dan politik. Jaminan politik yang terdapat dalam perjanjian itu diabaikan.

VIETNAM TERDEDAH KEPADA PERANG SAUDARA.
Tidak semua pihak bersetuju dengan perjanjian yang ditandatangani ini. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa ketegangan masih berlaku di Indo-China khususnya di Vietnam. Pembahagian Vietnam kepada blok utara dan selatan telah mengundang pelbagai masalah termasuklah penentuan siapa yang bakal menerajui Vietnam setelah pilihanraya umum yang akan diadakan pada tahun 1956.

Keenganan Perdana Menteri Bao Dai dari Selatan Vietnam iaitu Ngo Dinh Diem untuk mengisytiharkan perjanjian ini menyukarkan lagi proses pembentukan negara Vietnam secara aman. Beliau menganggap orang-orang yang menerima pembahagian Vietnam dan melepaskan sebahagian daripada Vietnam kepada komunis sebagai pengkhianat. Perjanjian ini hanya ditandatangani wakil Republik Demokratik Vietnam pihak barat yang menggelar Viet Minh dari Utara Vietnam sebagai Pham Van Dong.

Hal ini ditambah pula, penglibatan pihak luar bagi menyokong perjuangan pemimpin-pemimpin Vietnam. Antaranya ialah Amerika Syarikat, yang enggan terlibat dalam pengisytiharan 21 Julai 1954 ini. Pegawai-pegawai dari Washington telah membuat andaian kesan daripada perlaksanaan Perjanjian Geneva ini. Ia berkaitan dengan pilihanraya yang bakal diadakan pada 1956 akan dimenangi oleh pihak utara atau komunis. Kemungkinan ini tidak dapat diterima oleh Amerika Syarikat kerana ia memberi kesempatan kepada pihak komunis meluaskan kuasanya dan ia mestilah disekat di garisan lintang 17 darjah. Oleh yang demikian, pihak Amerika Syarikat telah menjalankan misi membantu Ngo Dinh Diem di Saigon dan membebaskannya dari pengaruh Perancis .

Rejim Diem telah melancarkan penindasan terhadap golongan liberal dan juga demokrat yang mahu supaya isi perjanjian dilaksanakan. Ia termasuklah golongan borjuis selatan yang tidak menerima pemerintahan utara. Penindasan ini termasuklah mengamalkan diskriminasi serta menangkap golongan yang mempunyai hubungan dengan Viet Minh. Hal ini menyebabkan berlakunya pemberontakan di bahagian selatan dengan melancarkan beberapa serangan gerila oleh Barisan Pembebasan Vietnam Selatan dan ”Barisan Kebangsaan Bersatu dan Revolusi”.

Melalui pembebasan ini, mereka telah melancarkan kebangkitan semula Viet Minh selatan, iaitu satu campuran para nasionalis yang ditubuhkan oleh pihak komunis. Ia bertujuan untuk memenangi kuasa Saigon dan menubuhkan sebuah kerajaan ” campuran nasional yang demokratik” yang berupaya menjalankan pembahagian semula tanah dan merundingkan penyatuan semula negara . Kekejaman Diem dan juga sokongan pihak Amerika terhadap dasar Saigon telah menyebabkan Vietnam berada dalam kancah peperangan yang teruk dalam era sejarah moden di Asia Tenggara. Hal ini juga, menyebabkan Amerika Syarikat mengambil kesempatan untuk memusnahkan ideologi komunis yang dipimpin oleh Soviet Union dengan menggunakan ketidakstabilan di Vietnam.


EKONOMI INDO-CHINA SELEPAS PERSIDANGAN GENEVA
Suatu aspek yang tidak disentuh secara langsung dalam Persetujuan Geneva 1954 ialah mengenai aspek ekonomi negara Indo-China iaitu Vietnam, Laos dan Kemboja. Namun begitu, segala syarat perjanjian ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi sistem ekonomi di negara tersebut. Permasalahan yang wujud dalam politik dan ketenteraan telah menghentikan dan merencatkan pembangunan ekonomi dan politik. Sebahagian besar penduduk hidup dalam kelaparan kerana pemulihan pertanian yang dijalankan tidak dilaksanakan dengan sempurna

Ekonomi di Vietnam
Pengunduran Perancis dari Hai Pong bukan sahaja menamatkan kehadiran tentera Perancis di Vietnam Utara tetapi juga telah mengakhiri harapan Hanoi supaya Perancis memberikan bantuan kepada Vietnam Utara seperti juga yang dibuat ke atas Vietnam Selatan. Ini menyebabkan kerajaan Hanoi semakin terdesak dan terpaksa untuk mendapatkan bantuan daripada China dan Soviet Rusia. Oleh yang demikian, China telah bersetuju untuk memberikan $326 juta kepada vietnam Utara melalui satu perjanjian persahabatan pada 7 Julai 1955. Pada 18 Julai 1955, Vietnam sekali lagi membuat satu perjanjian ekonomi dengan Soviet Rusia bagi mendapatkan bantuan kewangan sebanyak $100 juta untuk pembinaan kilang-kilang dan membekalkan tenaga mahir untuk teknik dan peralatan. Bantuan kewangan ini digunakan untuk membeli beras melalui Moscow dari Burma. Ini sekaligus memberikan hutang secara berterusan dalam tempoh yang lama dengan Rusia dan China.

Lembaga Perancangan Negara mengumumkan rancangan luas dalam “perkembangan perusahaan” untuk mengubah ekonomi negara mengikut dasar sosialis pada tahun 1955. Malah, rakyat jelata bukan Komunis tidak bersetuju dengan usaha pertanian yang dimiliki secara beramai-ramai dan penggunaan buruh paksa untuk pembinaan. Cengkaman kerajaan terhadap tuan tanah turut dirasai oleh petani-petani kecil. Ekoran daripada itu, satu pemberontakan berlaku pada bulan November 1956 di Nghe An yang menunjukkan rasa tidak puas hati rakyat di wilayah tersebut. Pemulihan tanah telah dilaksanakan dalam tempoh tahun 1953-1957 seperti yang dilakukan di China iaitu mengagihkan semula lebih daripada 800 000 hektar tanah kepada 9 juta rakyat. Selain itu, kerajaan mengumumkan perang rasmi terhadap ekonomi petani “individu” dan pemujaannya kepada harta persendirian. Oleh itu, pada 1958 kerajaan telah menukarkan pertanian kampung, perusahaan pertukangan tangan dan lain-lain bentuk kegiatan ekonomi kepada koperasi.

Ekonomi Vietnam Selatan
Pertolongan dan bantuan ekonomi Amerika Syarikat telah memenuhi kekurangan perbelanjaan tahunan untuk menampung pembinaan ketenteraan yang besar dan membina semula sistem perhubungan yang musnah. Selain daripada itu, Ngo Dinh Diem telah menjalankan reformasi tanah untuk melemahkan kedudukan tuan tanah yang anti-Diem dan cuba memusnahkan apa yang telah diusahakan oleh Viet minh. Walau bagaimanapun, tindakannya ini telah menimbulkan kebencian dalam kalangan golongan petani kerana diwajibkan membayar cukai sebanyak 25%. Malah, Diem telah mewujudkan rasuah di samping menjadikan kerajaan sebagai tuan tanah terkaya yang akhirnya telah membawa kepada penyelewengan dalam kalangan pegawainya.

Ekonomi di Kemboja
Pada tahun 1956, melalui Komunis China Kemboja telah membuat perjanjian iaitu China telah menanam modal dalam pengusahaaan perdagangan Kemboja. Selepas itu, mengadakan perjanjian dengan Rusia bagi melengkapkan peralatan perusahaan dan tenaga mahir dalam bidang teknik. Sementara itu, Amerika pula memberikan bantuan dalam tali air, pelajaran, kesihatan dan projek membina jalan. Selain daripada itu, Kemboja telah mengadakan satu perjanjian ekonomi dengan kerajaan Mao Tse Tung. Oleh itu, kerajaan China telah bertsetuju untuk memberikan bantuan sebanyak $22.4 juta untuk tujuan membangunkan sektor tekstil, simen, kertas dan papan lapis di Kemboja. Antara tahun 1954 hingga tahun 1959, Kemboja telah memperoleh hampir $335 juta daripada negara asing dan $288 juta daripadanya diberikan oleh Amerika Syarikat.

Ekonomi Laos
Ekonomi penduduk Laos selepas Persetujuan Geneva bergantung kepada peratanian secukup hidup yang dijalankan di kampung-kampung. Tidak wujud jalan keretapi, keadaan jalan-jalan amat buruk dan alat-alat pelayaran di Sungai Mekong sederhana sahaja. Laos yang berada jauh dari pelabuhan Saigon dan Bangkok sukar untuk mengadakan perdagangan dengan luar negeri. Laos seperti juga negara Indo-China yang lain turut menerima bantuan daripada luar negara terutamanya daripada Amerika Syarikat. Oleh itu, sejak tahun 1955 hingga 1959, Laos telah menerima bantuan sebanyak $190 juta dan besar bantuan tersebut disalurkan dalam bidang ketenteraan, polis dan perkhidmatan awam.

Kesimpulan.
Perjanjian Geneva yang berlangsung pada 1954 menyediakan asas kemerdekaan bagi Vietnam, Laos dan Kemboja. Tetapi kemerdekaan ini tidak secara keseluruhan. Ini dapat dilihat apabila selepas persetujuan ini dicapai dan dipersetujui oleh Indo-China, masih terdapat banyak lagi masalah yang timbul di Vietnam, Laos dan Kemboja. Perjanjian tersebut hanya bersifat sementara bagi menamatkan peperangan yang berlaku di Vietnam. Perkara ini dapat dibuktikan apabila selepas perjanjian Geneva ini termeterai, Vietnam lebih terdedah kepada perang akibat pembahagian dalam wilayah tersebut. Selain itu, Laos dan Kemboja juga terdedah kepada peperangan seperti perang Pol Pot. Dengan itu dapat dilihat bahawa perjanjian Geneva ini di samping memberi kebaikan kepada Indo-China, tetapi ia juga terikat dengan keburukan yang merugikan ketiga-tiga wilayah Indo-China itu sendiri.

No comments:

Post a Comment